Kesihatan

Apabila subjek Pendidikan Jasmani “dikelaskeduakan” ? -Aniq Akif

pjk-stretching-min

Kesihatan merupakan satu anugerah tuhan yang sangat besar dan sangat bermakna. Meskipun seseorang mempunyai harta, ilmu mahupun kemahiran yang banyak tanpa kesihatan yang baik kesemua perkara tersebut akan menjadi sia-sia. Ini membuktikkan bahawa kesihatan adalah satu anugerah  yang tidak ternilai dan wajib dipelihara. Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia berperanan untuk merangka kurikulum mata pelajaran Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Sehinggalah PJK telah menjadi salah satu subjek yang perlu dipelajari oleh setiap murid di  sekolah.

PJK subjek kelas kedua?

Kini, subjek pendidikan jasmani seolah-olah dipandang enteng dan dilihat sebagai satu subjek yang tidak perlu diberikan fokus kerana tiada apa-apa kepentingan.

Ini merupakan salah satu persepsi yang perlu diubah oleh ahli masyarakat. Penyebab utama wujudnya stigma bahawa PJK adalah subjek yang tidak penting kerana subjek PJK tidak dimasukkan ke dalam senarai subjek peperiksaan awam. Sedangkan ibu bapa dan guru-guru amat mementingkan prestasi akademik anak-anak. Mereka percaya bahawa gred dan pencapaian dalam peperiksaan adalah perkara yang maha penting yang perlu dicapai oleh seseorang pelajar sehingga mengabaikan pendidikan terhadap kesihatan pelajar dan anak mereka.

Selain itu, sikap para pelajar yang menganggap subjek pendidikan jasmani hanyalah subjek yang boleh bermain secara suka-suka dan bukanlah salah satu kelas wajib seperti subjek Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi punca kepada masalah ini. Persepsi ini cukup merugikan para pelajar.

“Pendidikan jasmani merupakan satu subjek penting yang memberi pengajaran tentang kesihatan dan bukan hanya tertumpu kepada pengajaran tentang permainan sahaja.”

Hakikat subjek PJK yang perlu diketahui!

PJK merupakan satu subjek penting yang memberi pengajaran tentang kesihatan dan bukan hanya tertumpu kepada pengajaran tentang permainan sahaja. Sebagai contoh, dalam buku teks pendidikan jasmani ada menerangkan tentang cara penjagaan makanan dan cara memilih makanan yang sihat. Para pelajar juga diajar tentang cara-cara pemakanan yang sihat. Pendidikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kebaikan dan kesan positif pada kesihatan pelajar.

Selain itu, PJK juga menerangkan tentang teknik senaman yang betul. Biasanya, kita sering melakukan kesilapan ketika melakukan senaman. Kita perlu mengetahui bahawa teknik senaman yang salah akan mencederakan diri kita, malahan sehingga mampu menyebabkan kecacatan pada diri seseorang tersebut. Antara solusi yang boleh dilakukan adalah dengan menjadikan subjek pendidikan jasmani sebagai satu subjek yang ada didalam peperiksaan besar iaitu UPSR, PT3 dan SPM.

Terdapat negara-negara Eropah yang sudah lama menjadikan Pendidikan Jasmani sebagai salah satu subjek wajib. Kita dapat melihat kebanyakan daripada rakyat di barat mempunyai tubuh yang agak sasa ataupun fit bagi lelaki serta tubuh yang ideal bagi seseorang perempuan kerana pendidikan mereka sangat menerapkan aspek kesihatan dalam diri warga mereka. Penerapan pendidikan kesihatan tersebut telah dibudayakan oleh mereka dan segala-galanya telah bermula dari sekolah dan rumah. Justeru, semua pihak perlu memandang serius perkara ini.

Apabila tubuh badan cergas maka akal fikiran akan cerdas! Tambahan lagi, kecerdasan akal amat diperlukan bukan sahaja untuk digunakan dalam mempelajari subjek-subjek wajib malah penting untuk sebuah kehidupan. Namun semuanya bermula dari pendidikan.

Gambar kredit: Blog SK Mohd Khir Johari

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top