Hiburan

Clever Girl Malaysia, Clever ke? -Muhammad Musoddiq Bin Jaafar

clever-girl-iq2

Semalam, ramai rakan saya mengkritik dan mengulas mengenai rancangan Clever Girl. Ada berbagai reaksi yang saya lihat, seperti mengatakan soalan ditanyakan adalah susah, tetapi kebanyakan rakan saya mengkritik soalan tersebut adalah tahap KBAT (kemahiran berfikir aras tinggi) untuk murid sekolah rendah sahaja.

Ketika mendengar tajuk Clever Girl saya tertanya-tanya, kenapa perlu cari clever girl? Yang kita perlu cari dan dijadikan contoh adalah Intelligent Girl. Kerana Clever sering dikaitkan dengan seseorang yang lebih kepada self-interest atau lebih kepada diri sendiri dan bukannya secara meluas. Manakala intelligent pula lebih kepada meluas dan lebih kepada persekitaran.

Contoh yang mudah, budak yang dapat A dalam peperiksaan adalah clever. Murid yang clever cuma cepat belajar sesuatu ilmu dan menggunakan ilmu itu kembali dan tidak untuk berfikir luar dari ilmu tersebut. Tetapi murid yang intelligent mampu menggunakan ilmu yang diperolehi untuk berfikir dan mengaitkan dengan ilmu yang lain. Serta, dia mampu mengkritik semula ilmu tersebut dengan membawa bukti yang kukuh.

Contoh yang lain adalah, pelajar yang clever mampu belajar untuk buat tangga dengan cepat dan boleh membina tangga yang lain dalam masa yang cepat dan singkat. Tetapi pelajar yang intelligent mampu untuk belajar buat tangga dengan cepat dan menginovasinya menjadi tangga bergerak. Malah pelajar yang intelligent itu juga mencipta lif yang mampu menggantikan tangga bergerak untuk ke tingkat yang lebih tinggi.

Terlebih dahulu, saya suka untuk mengupas apakah yang dimaksudkan dengan clever dan intelligent? Mengikut kamus Cambridge, clever bermaksud individu yang mempunyai kebolehan untuk belajar dan memahami sesuatu dengan cepat dan senang. Manakala maksud intelligent adalah individu yang mempunyai kebolehan untuk belajar, memahami, dan mempunyai penghakiman atau mempunyai pendapat yang berdasarkan sebab dan logik mengenainya.

Untuk penulisan yang seterusnya, saya akan menterjemahkan clever sebagai bijak dan intelligent sebagai pintar.

Mengikut Carl Sagan, kepintaran terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu kepintaran fizikal (yang dimiliki oleh ahli sukan), kepintaran interpersonal (kebolehan untuk membangunkan rangkaian hubungan), kepintaran intrapersonal (kebolehan untuk melaraskan emosi dan komunikasi dengan yang lain atau sering dikaitkan sebagai EQ), dan kepintaran analisis (yang dikenali sebagai IQ).

Saya faham yang rancangan ini adalah untuk memperkasakan wanita dan mahu mengangkat ikon wanita yang bijak untuk dijadikan contoh kepada wanita yang lain. Namun perlu diingat yang ikon tersebut akan menjadi contoh kepada setiap lapisan masyarakat yang datangnya daripada pelbagai latar belakang dan budaya yang berbeza. Jadi dengan mengetengahkan ikon yang bijak adalah tidak sesuai kerana daya penghakiman dan pendapat untuk setiap isu yang berbeza memerlukan kepintaran dan bukannya kebijaksanaan.
Malah soalan yang ditanyakan lebih kepada fakta yang tidak membantu dalam menguji kritis dan skil menganalisis.

1. Analisis Soalan Clever Girl

Episod pertama rancangan Clever Girl mempunyai dua pusingan, pusingan pertama mempunyai 10 soalan yang terbahagi kepada sejarah, geografi, muzik, tokoh, pengetahuan am, skil menganalisis, dan bahasa. Pusingan kedua pula mempunyai 10 soalan dan dikatakan disediakan oleh Mensa Malaysia – The High IQ Society. Ianya terbahagi kepada matematik, tokoh, filem, dan skil menganalisis imej dan pola. Soalan bonus untuk penentuan perserta kedua terakhir pula berkisar tentang budaya dan penentuan peserta kedua teratas adalah mengenai filem.
Soalan untuk kedua yang tertiggi pula iaitu pertanyaan mengenai siapa model di dalam gambar dan soalan pengetahuan am yang berkisar mengenai jumlah bytes dalam 1KB.

a. Contoh seperti soalan mengenai tahun konfotnasi antara Malaysia-Indonesia
Soalan pengetahun am ini adalah berkisar mengenai sejarah dan soalan tersebut cuma bertanya tahun berapakah? Tujuan mempelajari sejarah bukanlah untuk memperingati tarikh dan peristiwa semata-mata. Tetapi lebih
kepada iktibar dan hikmah yang terdapat dalam sejarah tersebut. Konfrontasi tersbeut adalah disebabkan penentangan Indonesia terhadap cadangan pembentukan Malaysia yang bergabung dengan semenangjung Tanah Melayu, Sabah, Serawak, dan Singapura. Soekarno mengatakan yang penggabungan tersebut akan menyebabkan Sabah, Serawak di semenanjung Bornea akan menjadi blok British.

Terdapat juga analisa daripada sejarawan yang mengatakan permusuhan terhadap Malaysia adalah untuk menyatukan Indonesia. Seperti apa yang terjadi hari ini di mana Mahathir, Muhyidin, Lim Kit Siang, Wan Azizah, dan parti politik yang lain selama ini bermusuhan bersatu menentang musuh yang sama. Selain itu kita boleh melihat yang Jepun dan Russia pernah berkerjasama dengan masing-masing hanya kerana mempunyai musuh yang sama sedangkan mereka pernah berperang sewaktu perang dunia.

Soalan sejarah sepatutnya soalan yang lebih kepada iktibar atau hikmah yang kita boleh dapati dengan kaitannya terhadap peristiwa terkini.

b. Seterusnya soalan berkenaan siapakah Miss Malaysia, Siapakah artis yang mempunyai tajuk album Red, watak cicak man, pelakon suara latar karakter naga dalam filem The Hobbit, berapakah rumah yang terdapat dalam Hogwart adalah soalan sampah dan tidak releven sama sekali. Saya kecewa dengan soalan tersebut yang tidak signifiasi untuk menguji tahap IQ seseorang.

Contohnya, mereka boleh bertanyakan soalan mengenai lirik lagu ulek mayang dan ceritakan apakah sebenarnya lirik lagu epik tersebut mahu sampaikan? Ulek Mayang sebenarnya adalah epik percintaan antara dua darjat ketika zaman dahulu. Golongan bangsawan seringkali dikaitkan dengan orang dari kayangan/bunian yang cantik-cantik dan tampan. Sudah tentu percintaan antara nelayan yang patik dengan puteri bunian yang cantik akan mendapat tentangan yang hebat. Dan ianya boleh dikupas mengenai sociologi zaman dahulu dan sekarang ini.

Selain itu, mereka boleh mengupas setiap bait dan cerita daripada lagu O’Fortuna yang berasal daripada Medievel Latin Goloardic pada kurun ke 13 dan kenapa ianya kekal sehingga hari ini?

Untuk soalan mengenai artis dan atau ikon, mereka sepatutnya bertanya soalan ikon yang mengubah dunia dan apa sumbangan mereka dalam mengubah dunia. Seperti Martin Luther King dan ucapan epik “I have a dream” pada tahun 28 ogos 1963 yang menyeru untuk menghentikan rasis antara kulit putih dan kulit hitam. Malah ia menjadi semakin epik apabila President kulit hitam pertama Amerika Syarikat berucap pada tarikh yang sama tetapi selepas 50 tahun kemudian (28 Ogos 2013) dan membuat ucapan “I fulfil the dream”.

c. Soalan skil menganalisis juga amat mengecewakan kerana ianya lebih kepada KBAT sekolah rendah dan menengah. Seperti soalan masa terakhir untuk siri berikut (diberi urutan masa dan ramalkan masa yang seterusnya) adalah soalan pola matematik bertaraf budak darjah 3. Lengkapkan corak dan padankan imej apabila dilipat di dalam rancangan tersebut adalah soalan awalan dan pembukaan untuk ujian IQ. Malah, soalan mengenai segi tiga dan pentagon adalah soalan bertaraf PT3. Soalan yang diajukan tersebut tidak signifikasi untuk soalan IQ peringkat pertengahan atau tinggi.

Terdapat beberapa soalan yang saya akui adalah bagus sebenarnya kerana ia menguji tahap seberapa pantas menyerap maklumat, menganalisis situasi dan masalah, serta menyelesaikan masalah. Namun soalan tersebut Cuma ada satu sahaja iaitu perkataan yang mempunyai kaitan antara satu sama lain seperti meja-kaju-jati, kemeja-kain-kapas yang memerlukan kita menggunakan gambar rajah venn untuk memberikan jawapan yang logik.

Dan soalan yang kedua yang releven adalah soalan pola yang tahap sederhana iaitu FAM, GAN, HAO, IAP, yang memerlukan skil analisis yang sederhana dan menyelesaikan masalah dengan pantas dan cepat.

2. Adakah peserta Clever Girl bijak atau pintar?

Saya sebenarnya tiada jawapan untuk ini kerana saya baru sahaja melihat mereka tidak sampai sejam dan mereka hanya menjawab beberapa soalan yang saya kira sebenanya tidak munasabah untuk menentukan seseorang itu bijak atau pintar. Iya, ada antara mereka
yang tersilap jawab soalan mengenai jumlah warna di jalur gemilang.

Tetapi terdapat banyak faktor yang mungkin menyebabkan dia tersilap menjawab kerana mereka pertama kali berada di atas pentas dan kemungkinan besar gemuruh melanda jiwa. Saya pernah di atas pentas di hadapan ramai orang kerana diminta untuk memberi ceramah/ucapan mengenai sains kepada pelajar sekolah rendah.

Tetapi terus terang saya katakan itu adalah penyampaian yang teruk. Saya seperti mengomel, mengarut, dan tidak tahu apa yang ingin dikatakan walaupun sebenarnya saya sudah berlatih selama dua hari. Saya sangat gemuruh, gugup, dan kadang kala panik.

Tangan saya menggelatar apabila semua mata memerhatikan saya Saya sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya saya katakan dan mahu sampaikan. Gemuruh, gugup, atau panik memang boleh menyebabkan segala fakta hilang difikiran dan membantutkan pemikiran.

Tetapi akhirnya saya dapat menebus kembali apabila membentangkan seminar di UNIKL berkenaan fizik kuantum kepada orang awam yang bukan berlatarkan sains.

Saya nampak beberapa peserta yang mempunyai kekuatan dalam sejarah, dan saya nampak peserta yang kononnya mewakili Negeri Sembilan mempunyai skil menganalisis yang cepat kerana lebih menjawab soalan yang berunsurkan analisis dengan pantas. Ada pula yang kekuatannya adalah soalan filem atau isu semasa yang tidak signifikasi untuk mementukan tahap kebijaksanaan atau kepintaran.

Jadi, setiap peserta mempunyai kekuatan masing-masing dan tidak adil sekiranya kita mengadakan ujian memanjat untuk gajah dan ujian menyelam untuk arnab.

Jadi, ujian jenis apa yang sesuai untuk menguji tahap kepintaran? Yang ini saya akan ulas di bahagian penutup.

3. Wakili negeri?

Apa yang menjadikan peserta itu wakil sesebuah negeri? Adakah saringan kampung telah dilakukan untuk ke peringkat daerah? Adakah pemenang setiap daerah berentap untuk untuk ke peringkat negeri?

Jika kita menganalisis pertandingan yang mewakili negeri seperti bola sepak, catur, dan kuiz. Banyak saringan bagi setiap peringkat akan dilakukan. Pencari bakat akan turun setiap daerah untuk mencari calon yang susuai mewakili mereka seperti pertandingan peringkat kampung, dan seterusnya ke daerah akan dilakukan. Mereka perlu memastikan tiada siapa yang lebih hebat di dalam negeri itu daripada orang yang mewakili negeri masing-masing.

Apa yang saya ketahui, ujibakat Clever Girl cuma dilakukan di enam negeri sahaja dan tertumpu kepada wilayah timur semenanjung, barat semenanjung, selatan semenanjung, sabah dan serawak sahaja iaitu di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Seberang Jaya Pulau Pinang, dan Bandar Utama Selangor.

Selain itu, ujibakat juga diperluaskan di Instagram dan berdurasi 15 saat sahaja. 15 saat ini bagi saya cuma kosmetik dan tidak mampu untuk menzahirkan tahap kebijaksanaan mahupun kepintaran seseorang.

Jadi ujibakat yang diadakan tesebut bagi saya tidak layak untuk dikatakan mewakili negeri. Malah ianya akan menyebabkan wanita daripada negeri masing-masing akan tersinggung apabila yang dikatakan mewakili mereka tidak menunjukkan sifat yang bijak mahupun pintar. Malah, saya rasa di makmal dan jabatan saya ini ada banyak wanita daripada pelbagai negeri yang pintar dan bijak sedang melakukan eksperimen sains yang bertaraf dunia.

4. Penutup

Saya sebenarnya memuji tujuan dan konsep yang ingin diketengahkan, tetapi terdapat banyak elemen yang sangat lemah serta rapuh dan memerlukan penambahbaikan yang drastik. Soalan atau tugasan yang diberikan seharusnya mempunyai tiga elemen utama. Iaitu menguji kepantasan dan sebebarapa baik mereka menyerap maklumat, skil menganalisis yang baik (seperti pemikiran kritis, logik, sebab musabah, dan lain-lain), dan yang terakhir adalah kepandaian dalam menyelesaikan masalah.

Itu adalah tiga kunci utama dalam menentukan tahap kepintaran seseorang. Kerana itu soalan untuk menguji IQ sebenarnya tidak memerlukan pengetahuan matematik atau bahasa. Tetapi lebih kepada daya kognitif seperti memori, perhatian, kelajuan, dan lain-lain yang digunakan untuk berfikir, sebab, dan menyelesaikan masalah.
Konsep soalan yang bersesuaian adalah dengan memberi maklumat ringkas dan masalah. Tugas mereka adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan maklumat yang ada atau memikirkan cara yang luar kotak. Disitu kita akan dapat melihat bagaimana bagusnya mereka menyerap maklumat, menganalisis, dan menyelesaikan masalah.

Jadi, bagilah isu apa sekalipun seperti sociologi, ekonomi, sains, agama, ideologi, dan sebagainya tidak akan menjadi masalah baginya. Malah saya juga sarankan mereka mempunyai juri daripada ahli akademik yang pakar dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh, minggu ini mereka membincangkan isu ekonomi. Maka mereka perlu mempelajari free market, game theory, demand and supply, impossible trinity, dan berbagai lagi dalam masa yang singkat. Dengan maklumat yang dipelajari mereka menganalisis dan cuba menyelesaikan masalah yang diberi untuk diselesaikan. Juri yang menghakimi perlulah daripada professor, pensyarah universiti, serta ahli koporat yang berkaliber dalam bidang ekonomi.

Jika tidak, rancangan “Di Mana Joe Jambul” lebih mampu melahirkan ikon yang lebih bijak dan pintar berbanding Clever Girl.

*Artikel diterbitkan oleh penulis di laman Facebooknya

Most Popular

To Top