Alam Sekitar

Kuantan bukan darul Planet Marikh? -Amirul Amin

KBLPM

Bermula pada bulan Mac ini, isu perlombongan bauksit tidak lagi meniti dibibir masyarakat Malaysia. Mungkin disebabkan oleh fenomena alam semulajadi  gerhana matahari, telah menutup fenomena alam “tidak semualajadi” (buatan manusia) melalui isu bauksit. Atau barangkali masalah ini telah selesai sepenuhnya dan segala masalah bauksit telah selesai dan ekosistem juga telah kembali pulih seperti sedia kala. Sebelum ini, isu perlombongan bauksit telah membawa kebimbangan masyarakat sekitar Kuantan sejak lebih dua tahun lalu.

Kebimbangan tersebut pernah dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Malaysia setelah mendapat liputan media mengenai isu ini pada penghujung tahun 2015. Pendedahan demi pendedahan media telah menarik  banyak pihak untuk bersatu bagi menghentikan kegiatan ini. Namun begitu, kegiatan perlombongan tetap diteruskan sehinggalah dihentikan buat sementara waktu bermula Januari 2016 lalu.

Bauksit ada nilai ke?

Bauksit merupakan bijih utama bagi menghasilkan aluminium. Bahan mineral ini terdiri daripada sekumpulan mineral aluminium hidroksida seperti gibsit, bohmid dan mineral tambahan seperti goetit, hematit, kaolini dan anatase.

Peningkatan dalam sektor perindustrian dan pembuatan menjadikan tahap permintaan bauksit menjadi tinggi. Berdasarkan statistik, sebanyak hampir sejuta tan bauksit telah dieksport pada tahun 2014 dan jumlah itu meningkat secara drastik pada tahun 2015 dengan anggaran sebanyak 20 juta tan bauksit dieksport.

Namun begitu, meskipun memperoleh keuntungan, namun untung yang diperoleh masih dikira sebagai sedikit berbanding impak buruk kepada ekosistem setempat dan manusia. Maka itulah harga yang terpaksa dibayar bagi memperoleh sedikit keuntungan material.

Bebas dari kesan buruk?

Kesan perlombongan bauksit paling ketara adalah perubahan terhadap kualiti udara setempat. Kawasan-kawasan sekitar tapak perlombongan  bauksit seperti Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Bukit Goh, dan Felda Bukit Kuantan mengalami pencemaran udara teruk dan disifatkan sebagai tidak sihat. Penghasilan debu-debu merah di ruang atmosfera setempat telah memaksa hidupan sekitar ruang tersebut menghirup udara tidak sihat. Pendedahan kepada kualiti udara tidak sihat secara berterusan akan membawa kepada masalah kesihatan malahan berpotensi membawa maut kepada hidupan sekitar.

Selain itu, wujudnya pandangan fizikal kemerah-merahan. Kawasan-kawasan sekitar seperti kediaman, kedai, jalanraya, tumbuhan dan lain-lain  bertukar kepada warna kemerahan kerana dipenuhi debu akibat kegitan perlombongan bauksit. Keadaan ini juga menyebabkan ada sesetengah pihak menggelar Kuantan sebagai “Planet Marikh.”

Seterusnya, kemerosotan punca-punca air sekitar. Ujikaji daripada pihak Jabatan Alam Sekitar mendedahkan bahawa beberapa sungai di Kuantan antaranya Sungai Riau, Mabok dan Pinang tercemar dengan kadar bahaya aluminium, ferum dan raksa. Bahan-bahan pencemar ini boleh membawa kerosakan otak, buah pinggang dan kematian kepada manusia serta haiwan. Secara fizikal, tahap pencemaran tersebut dapat dilihat dengan mata kasar terhadap perubahan warna sumber air daripada normal kepada kemerahan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa terdapat bahan pencemar dalam sumber air tersebut.

Penyelesaian?

Oleh itu, penilaian terhadap alam sekitar atau Environment Impact Assessment (EIA) perlu dijalankan dengan lebih teliti pada masa akan datang supaya kegiatan perlombongan atau pembangunan sesebuah kawasan tidak mengabaikan keadaan ekosistem setempat.

Semoga Kuantan terus kekal menghuni planet bumi yang sejahtera, bukan di planet Marikh lagi.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top