Teknologi

Mengapa anda perlu mula menerima kewujudan iklan di laman kegemaran anda?

Your-ad-here

Portal The Malaysian Insider akhirnya ditutup buat selama-lamanya pada 15 Mac 2016 yang lalu.

The Edge mengakui bahawa meskipun menduduki tempat ketiga dalam kedudukan portal berita paling popular di Malaysia, mereka hakikatnya kerugian hampir atau sekurang-kurangnya RM10 juta. Hal ini disebabkan oleh kurangnya sokongan komersial untuk memastikan portal tersebut terus hidup.

Kepentingan sokongan komersial

Sesiapa saja atau mana-mana pihak yang terus mahu mengembangkan sayapnya – ataupun mahu terus kekal bernyawa – tidak dinafikan amat memerlukan sumber kewangan walaupun bergerak dalam alam maya.

Malaysiakini contohnya menawarkan pakej langganan bulanan untuk mengakses kandungan penuhnya, terutamanya kandungan yang disediakan dalam Bahasa Inggeris. Tidak cukup dengan itu, Malaysiakini juga masih lagi menunggu agar permohonan mereka mengeluarkan versi bercetak untuk akhbar mereka diluluskan kerajaan.

Menyokong kandungan yang kita gemari di internet

Sungguhpun begitu, tidaklah begitu ramai sangat rakyat Malaysia yang benar-benar mahu mengeluarkan belanja untuk mengakses kandungan yang mereka benar-benar gemari, apatah lagi jika Bahasa pengantar yang lazim digunakan pengguna ini ialah Bahasa Melayu.

Mereka akan terus persoalkan, “Dah aku bayar mahal-mahal Unifi ni sebulan takkanlah aku nak kena bayar nak tengok benda lain pula? Baik aku beli CD daripada bayar iflix kalau tengok bahan di internet pun kena bayar sekali lagi!”

Mungkin ini dilihat adil pada pihak pengguna. Tetapi bagaimana pula dengan pihak pembekal bahan kegemaran anda?

Cuba bayangkan berapa banyak kos pembuatan video kegemaran anda di YouTube dengan kualiti HD, suntingan video menggunakan perisian asli daripada pembangun perisian asal, sewaan tempat penggambaran video, masa yang diperlukan oleh penyunting dan pengarah video bagi bagi memastikan video yang bakal dimuat naik memenuhi kehendak orang ramai masa ini?

Bagaimana pula dengan bayaran pelakon, tambang mereka ke lokasi dari tempat tinggal, makan minum mereka dan antara yang paling sukar, idea asal mereka?

Begitu juga dengan pembekal bahan berita dan artikel dalam talian yang 100% percuma seperti Free Malaysia Today, Majalahjom.com dan yang baru ditutup baru-baru ini, the Malaysian Insider.

TMI-shut-down3

Cuba bayangkan, mereka, seperti organisasi berita dan media lain juga punya wartawan mereka sendiri, jurugambar mereka sendiri, staf sumber manusia dan ramai lagi staf pengurusan lain. Siapa yang akan menanggung nasib mereka?

Cuba anda kira sendiri (jika mampu), berapa tambang yang perlu wartawan dan jurugambar ini bayar untuk tiba ke tempat kejadian? Berapa harga perakam yang perlu mereka beli bagi memastikan ketepatan berita yang bakal mereka laporkan?

Tidak cukup dengan itu, bagaimana pula penderitaan mereka apabila terpaksa “mengharungi” staf editorial yang ketat dalam tapisan mereka? Bagaimana pula dengan masa yang terpaksa mereka korbankan bagi mendapatkan berita terbaik pada masa yang tepat dan masa yang terpaksa mereka korbankan untuk menyunting berita mereka dengan tarikh akhir penerbitan berita mereka?

Sebab itulah ruang iklan atau polisi membenarkan iklan di portal-portal ini dan di video-video yang dimuat naik ke laman YouTube amatlah membantu para pembangun dan pengeluar bahan kegemaran anda.

Mungkin mereka tidak mengharap wang ringgit anda dan semata-mata mengharap kesetiaan anda. Tetapi bagaimana pula dengan komitmen daripada pihak kita?

Tahukah anda, bahawa iklan-iklan inilah yang selama ini menjadi antara punca utama mereka untuk terus kekal berada dan bekerja untuk terus membekalkan anda kandungan yang anda gemari setiap hari dan minggu?

Tahukah juga anda bahawa dengan memasang perisian menghalang iklan, anda telah, dengan signifikannya menutup salah satu cara agar mereka dapat terus mencipta dan membangunkan kandungan media mereka?

Ya, itu hak anda untuk mendapatkan kandungan anda mahu. Tetapi anda harus pertimbangkan mana lagi sumber kewangan mereka jika anda tidak membeli kandungan mereka dalam versi cetak, versi digital mahupun menderma dengan ikhlas kepada mereka?

Ideanya di sini ialah bukanlah kita perlu sedih terhadap mereka. Sebaliknya, kita perlu menghargai usaha mereka yang sedaya upaya menyampaikan bahan yang terbaik buat tatapan anda, lebih-lebih lagi jika anda tidak perlu membayar sesen pun kepada mereka!

Sekurang-kurangnya jika tidak dapat menghargai penat jerih mereka sekali pun, hargailah usaha mereka menghasilkan idea asli terbaik mereka sebagaimana kita menghargai filem yang kita sanjungi dengan menontonnya di pawagam atau membeli cakera fizikal asli mereka.

Oleh itu, selepas ini, apa kata anda pertimbangkan menutup “Adblocker” anda seketika atau sekali-sekali sekala?

Mungkin jika tidak ada “Adblocker” sebelum ini (dan sekatan daripada SKMM), The Malaysian Insider ungkin masih ada dan terus membekalkan bahan dan berita yang berlainan daripada apa yang ada di luar sana.

Gambar kredit: PRNewser

Most Popular

To Top