Hiburan

Munafik dalam Industri Filem Malaysia -Sufyan Zahari

MDFM

Anugerah Juara lagu 30 yang lalu, telah membuka mata masyarakat apabila Rock Star Kesayangan Malaysian, Faizal tahir telah tampil dengan lagu penuh sengan mesej kemanusiaan dan bercirikan nilai islamik, dengan pembawaan lagu yang mengajak kita  memikirkan sejenak tentang nasib saudara kita di Syria dan palestin, “Assalamualaikum,” lantas memadamkan terus kontroversi dahulu seawal kemunculan beliau di persada seni negara.  Begitu juga kisahnya dengan Syamsul Yusof, filem sebelumnya disinggahi kontroversi sebelum beliau kini muncul dengan filem yang memecahkan panggung “Munafik.”

Menurut pengarah muda, Shamsul Yusuf, filem Munafik bolehlah diumpamakan seperti filem ‘comeback‘ beliau selepas suatu insiden terjadi pada filem KL Gangster 2.  Namun, setelah lama berehat, beliau kembali dengan karya terbaru yang lebih segar.

Penulis bukanlah insan yang terbaik untuk memberi komentar mengenai kualiti filem ini. Penulis juga tidak mahu mengulas mengenai aspek filem seram dalam file mini. Namun apa yang ingin diketengahkan adalah transformasi filem ini yang sememangnya diimpikan lama oleh peminat filem berunsur islamik ditayangkan di nusa bertuah ini.  Penulis juga bukanlah kaki wayang, namun muncul rasa terpanggil untuk menyaksikan apakah kelainan “Islamik” yang digemburkan media, lalu inilah pertama kali dalam hidup penulis ke pawagam pada hari pertama tayangan.

Sebagaimana Indonesia, Turki, dan Libya, yang semakin terkenal dengan filem bercorak Islamik, kini giliran Malaysia pula bertatih ke arah yang sama.  Antara yang menarik perhatian penulis mengenai kandungan filem ini iaitu seawal tayangan cerita, terdapat babak azan dilaungkan. Kalimah Allah yang maha agung memukau dan menjadikan seluruh pawagam yang sememangnya sunyi itu terus sayu, terpaku dilarutan gelap.  Sesungguhnya penulis amat percaya, ramai dikalangan penonton itulah kali pertama mereka mendengar azan dengan penuh hormat, khusyuk dan fokus, berbeza dengan waktu biasa.  Penulis membayangkan dan cuba membandingkan mungkin beginilah taatnya rakyat Thailand ketika mendengar “national anthem” mereka berkumandang.  Allah, filem apa ini?  Memang mengetuk hati. Alangkah harmoninya negara ini jika di alam luar pawagam, manusia mampu statik hormat begini ketika mendengar azan, alangkah rahmahnya Malaysia ini.  Namun tiada siapa yang ingin perjuangkan mahupun praktikan khususnya Muslim Malaysia sendiri.

“Kita milik Allah, ziarah kubur mengingatkan kematian, tiada tempat yang lebih tenang melainkan rumah Allah”.

Dialog di atas seakan-seakan jet pejuang yang merobos Pentagon hati penulis.  Penulis bagai terawangan dan seakan tidak percaya bahawa sedang menonton filem dalam pawagam.  Terasa seperti sedang mendengar kuliah maghrib di masjid.  Banyak petikan ayat quran yang di juadahkan dalam filem ini yang kebanyakannya dialunkan oleh pelakon sendiri. Antaranya Surah al-Fathir ayat 5 yang mengambarkan amaran tipu daya syaitan. Ini adalah membuktikan pelakon Malaysia berkualiti tinggi sehingga mampu menyampaikan mesej islamik serta dakwahnya. Usaha keras dari Syamsul Yusof dan pelakon lain wajar dipuji.

Darjat sebenar tranformasi filem ini dititipkan lagi apabila tiada langsung adegan sentuhan lelaki dan perempuan.  Ia amat sejajar dengan tuntutan agama Islam yang mengharamkan sentuhan dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram.  Watak Sabrina Ali dan Nabilah Huda pula dijaga oleh pengarah tentang auratnya.  Sepanjang lakonan, di dalam rumah atau diluar rumah, dua wanita ini mercukan martabatnya sejajar dengan agama yang sentiasa melindungi wanita, mereka berlakon dalam keadaan menutup aurat.  Saya yakin ini adalah arahan pengarah sendiri.

“Memalukan bangsa atau memalukan agama?”

 Dialog diatas pula adalah ayat keramat dari Adam (Syamsul Yusof) yang membuka minda dan sangat sesuai dengan budaya Malaysia.  Dialog ini meninggalkan pertanyaan untuk mengetuk hati-hati rakyat Malaysia khususnya, bahawa di negara keramat yang berpanjikan Jalur Gemilang ini dimiliki oleh lebih 80 kaum dan etnik.  Namun kita tidak seharusnya menjadikan ia sebagai sempadan kerana kita semua bersuluhkan agama, dan apa-apa keadaan sekalipun mesti agama didahulukan.  Lalu, apa-apa sahaja agama, Islam, Kristian, Budha, Hindu, Sikh dan lainnya pasti menggalakkan  umatnya kepada kasih sayang kerana semua agama menyuruh kepada persaudaraan.  Tiada beza diantara kita, Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau, Cina, Murut, Iban, Melanau, Bugis, dayak, India, Suluk, Bisayak dan lainnya, kita semua adik beradik kerana semua kita bermula dari Adam.

Justeru, harapan penulis agar Syamsul Yusof  terus berusaha menghasilkan filem sebegini.  Jika Turki ada Faruk Aksoy yang menghasilkan filem Fetih 1453, Libya ada Mustapha Akkad yang menerbitkan filem The Massage, Malaysia pula ada Syamsul Yusof dan ramai lagi pengarah berbakat seperti Afdlin Shauki, Aziz M.Osman, Yusri Abdul Halim, Abdul Razak Mohaideen, Farid kamil dan lain-lain lagi yang turut berpotensi.

Cadangan penulis, selepas ini, para pengarah mungkin boleh pula mencuba menerbitkan filem yang berkisar tentang perjuangan Rasulullah SAW, atau babak-babak yang berikisarkan peperangan di Syria dan Palestin sehingga kini berdarah parah.  Semua ini mampu mengangkat darjat kualiti filem Malaysia. Munafik membuktikan filem bernilai Islamik juga mampu menambat hati masyarakat Malaysia dengan kehadiran yang luar biasa oleh para penonton. Ini membuktikan bahawa masyarakat menginginkan filem-sebegitu. Pada akhirnya, penerbit filem mendapat keuntungan dunia dan akhirat hasil daripada niat melakukan dakwah dalam filem. Masyarakat juga beruntung kerana dapat menjadikan filem sebagai kaedah pendidikan yang tidak formal dalam menyampaikan mesej-mesej yang baik dan berkualiti.

Most Popular

To Top