Politik

PAS, ‘super hero’ dalam blok pakatan baharu? -Sufyan Zahari

blok 3

blok 3

PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan Islam paling tua di Malaysia.  Parti ini diasaskan pada 24 November 1951.  Parti yang berusia usia 64 tahun ini telah melalui pahit manis jalannya, namun kini PAS terus gah di persada politik tanah air.  Apa yang menarik, situasi politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum 2013 (PRU ke-13) menyaksikan kecelaruan yang maha dahsyat.

Isu-isu kenaikan kos sara diri yang membebankan, kejatuhan nilai ringgit yang paling teruk dalam sejarah negara, kenaikan harga tol, isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua ini telah menambah arang ke muka kerajaan pemerintah yang hampir jatuh dalam siri PRU yang lalu.  Namun dalam masa yang sama, rakyat juga sudah hilang kepercayaan kepada gabungan pembangkang. Keadaan ini bermula apabila langkah ‘Kajang Move’ yang menyaksikan bibit-bibit awal perpecahan kompenan ampuh pembangkang, sehingga akhirnya PAS dingin terhadap Pakatan Rakyat (PR) kerana merasakan pendirian, perjuangan dan dasarnya telah dicabar.

Ini menunjukkan PAS adalah sebuah parti yang berpegang teguh pada prinsip.  Apabila hubungan dingin PAS di dalam PR semakin meruncing, ‘mood rakyat’ khususnya bumiputera Muslim (semenanjung) menjadi serta merta berubah dan tidak sama lagi dengan sebelum PRU-13 yang sebulatnya mengharapkan PR sebagai kerajaan baru.  Mereka juga mula menentang PR.  Lihat betapa kuatnya aura parti yang pernah dihina sebagai ‘parti kampung’ ini.  Kini, rakyat ingin kerajaan yang baik namun tiada pilihan yang terbaik.  Maka PAS perlu tampil menjadi ‘Super Hero’ penyelamat agama dan negara.  Apakah metodnya?

Berdasarkan analisis diatas, PAS tidak boleh lagi berada dipenjuru ketiga politik tanah air kerana itu bukan tempat yang layak untuk parti sehebat PAS.  Sifir untuk kerajaan perseketuan di Malaysia juga adalah mustahil tercapai jika sesebuah parti itu berdiri sendiri tanpa gabungan parti-parti lain.  Lalu, sekarang tibalah masanya PAS perlu tegas dan segera menyertai BN lantas menjadi watak utama dalam pentadbiran kerajaan.

PAS Parti ‘Super Hero.’

Dengan menyertai BN, skop dakwah PAS menjadi lebah besar.  PAS perlu menyebarkan benih dakwahnya dari dalam setelah gagal usahanya dari luar.  Matlamat rakyat kini, tidak kira gabungan mana yang memerintah, yang penting ianya adalah kerjaan yang baik.  Jangan lagi diungkit kisah silam 1970-an kerana UMNO dan PAS yang dulu amat berbeza kepimpinannya dengan sekarang.  Sememangnya ramai yang bimbang jika PAS bergabung dalam BN, maka dikhuatiri PAS akan sekali lagi berpecah.

Bagi penulis sama sekali tidak, kerana apa?  Pengikut dan peneraju yang memandu PAS kini adalah mereka yang telah melalui tahap tapisan.  Golongan yang tidak kuat taat setianya telah bersama kapal baru di dalam Parti Amanah Negara.  Mereka yang masih cekal di dalam PAS kini adalah mereka yang berpegang teguh kepada tarbiyah acuan PAS dan bersedia menuruti apa sahaja keputusan syura.

Faktor lain pula adalah figura Tuan Guru Haji Hadi yang mempunyai aura yang memukau mampu meyakinkan ahli PAS.  Lihat sahaja, pada tahun 80-an, saat beliau habisan menentang UMNO, maka pengikutnya juga begitu bersemangat menentang UMNO.  Bila tiba ‘era Reformasi 98’, kerana sokongan beliau terhadap Saudara Anwar Ibrahim yang tanpa belah bagi telah membawa sokongan dari majoriti pengikut PAS tanpa ragu terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.

Bila tiba tahun 2008, keputusan PAS untuk menyertai Pakatan Rakyat yang berkerjasama dengan DAP dan PKR, Haji Hadi memainkan watak utama dalam menjelaskan tentang keperluan ‘tahaluf siyasi.’  Ianya disambut baik oleh pengikut dan kepimpinan PAS yang lain.  Begitu juga apabila parti dibawah kepimpinan beliau itu memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015, walau ada yang menentang namun tidak ramai.  Masih ramai yang mempercayai kewibawaan Hj Hadi, buktinya beliau menang kerusi presiden parti itu dalam muktamar yang lalu.  Tidak hairanlah beliau diangkat sebagai Naib Presiden Ulamak Dunia.

Begitu juga jika sekarang syura memutuskan PAS menyertai BN.  Tiada masalah untuk pengundi dan ahli PAS terus menumpahkan taat setia mereka. Ditambah lagi dengan kehebatan para pemimpin PAS yang lain seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Nik Ammar Nik Abdullah, Nasaruddin Hj. Daud, yang mempunyai ‘super power’ dalam menyampaikan penerangan isu kepada rakyat.  Ini semua merupakan potensi jelas bahawa PAS tetap adalah penyelamat rakyat yang paling tepat jika PAS mampu untuk segera bergabung dengan BN.  Tiada sebab lagi untuk PAS bersama Pakatan Harapan mahupun terus bersendirian kerana PAS perlu tampil sebagai ‘super hero’ menyelamtkan rakyat dan negara.

PAS mesti menyertai BN untuk Islam, survival politik dan Bangsa Malaysia

Dari sudut agihan kerusi juga sangat mudah bagi kompenan (BN+PAS), kerusi yang ditandingi UMNO boleh diagihkan separuh kepada PAS.  Ia pastinya menjadi pengimbang yang tepat dimana kerusi yang telah dimenangi UMNO dibiarkan untuk UMNO, dan kerusi yang dimiliki PAS dan PKR kini dimana tempat UMNO pernah tewas diserahkan kepada PAS yang mana pastinya PAS berpotensi besar untuk menang kerana sudah mempunyai pengundi setianya di kawasan tersebut.  PAS juga bukan sahaja diundi oleh pengundi PAS, tetapi juga mendapat undi orang UMNO dan mungkin juga sebahagian undi PKR yang mula kecewa dengan parti berkenaan.  Ini menjadikan PAS semakin kuat serta juga menjadikan PAS sebagai antara parti yang mendominasi BN setelah PAS hanya melukut dalam PR.

Penyatuan dua penyokong dan kepimpinan parti Bumiputera Islam terbesar ini menjadikan Islam semakin kuat lantas memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di Malaysia berdasarkan konsep ‘syumul.’  Hal ini memudahkan usaha dakwah PAS untuk meletakkan Islam sebagai asas pemerintahan serta pemahaman Islam yang memberi keadilan kepada seluruh rakyat.  Kelantan adalah hasil tangan PAS yang juga dihuni kepelbagaian kaum dan agama, tapi PAS mampu memahamkan golongan bukan Islam di Kelantan bahawa Islam tidak meminggirkan agama dan bangsa lain akhirnya PAS diterima oleh bukan Islam di negeri berkenaan.

Dengan keadaan sekarang yang agak sukar bagi PAS merampas kerajaan BN untuk membetulkan negara, maka tiada salahnya PAS menyelinap masuk ke dalam BN dan memohon jawatan tertinggi kerajaan perseketuan serta berganding bersama UMNO dan parti kompenan BN yang lain, memperbetulkan yang telah ada dengan wajah baru demi membela nasib rakyat Bangsa Malaysia seluruhnya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top