Gaya Hidup

Dek Kerana Drama Melayu, Habis Pelamin Anganku Musnah! -Wan Ridzwan

hantaran-kahwin-sam-shaheizy

Baru-baru ini isu wang hantaran kahwin telah mencetuskan satu pergaduhan besar sehingga menjadi isu yang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar serta menjadi perbincangan di media-media sosial. Isu jelas menunjukkan dimanakah tahap nilai moral dalam sesetengah masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu? Apatahlagi ‘peperangan’ tersebut berlaku di dalam rumah ibadat umat Islam. Meskipun banyak versi penceritaan punca kepada pertelingkahan, namun rumah ibadah seharusnya menjadikan sebuah tempat yang dihormati dan sebuah tempat penyatuan, bukan pemecahan.

Secara tidak sedar, penayangan filem-filem dan drama yang kerap dipaparkan di kaca televisyen untuk tontonan masyarakat telah mendidik masyarakat secara halus untuk bersikap materialistik. Sebagai contoh, plot kebiasaan drama Melayu menggarap tema konflik percintaan, kemewahan yang melampau, dan gaya hidup bebas. Kebanyakkan jalan cerita drama Melayu, membawa para penonton diulit dengan angan-angan yang menggunung serta menyimpang daripada realiti sebuah kehidupan masyarakat yang sebenar.

Sebut sahaja tentang tema percintaan, drama Melayu memang boleh diberikan anugerah kisah kasanova terbaik dengan madah cinta yang mampu mengalahkan ceritera cinta di Barat. Kisah cinta dalam drama Melayu bagaikan memberikan galakkan terhadap kerosakan akhlak yang berleluasa di negara ini.

Maka, lantas dengan itu, filem dan drama Melayu ni menjadi pengaruh sosial yang besar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ia telah mengubah sikap, kepercayaan, persepsi malah tingkah laku sesetengah masyarakat Malaysia menjadi buruk dan menjatuhkan ketamadunan manusia pada zaman millenium ini.  Tema-tema yang diangkat dalam drama Melayu pada masa kini tidak lagi relevan untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Para produser drama tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana mereka hanya menghasilkan drama mengikut permintaan masyarakat. Namun berbekalkan sikap tanggungjawab, pembikin drama harus memikirkan aspek amanah mereka terhadap masyarakat.

tundukkan-playboy-itu

Tidak dapat dinafikan drama seperti Cinta Si Wedding Planner, Tundukkan Playboy Itu, dan Duda Terlajak Laris telah menjadi drama yang popular pada abad ini. Namun alangkah baiknya jika para remaja dan pemuda disajikan dengan drama yang sarat dengan elemen pendidikan, kemanusiaan, dan nilai-nilai islamik. Tajuk-tajuk drama yang kurang matang tidak menguntungkan generasi muda kerana generasi ini terus menerus ‘dikanak-kanakkan.’

Belum lagi kita melihat rumahnya, banglo, villa, kondominium mewah manakala keretanya pula, adalah kenderaan continental seperti BMW, Honda, Audi dan Mini cooper yang harganya mencecah jutaan ringgit Malaysia. Gaya hidup secara kebaratan secara tidak langsung menghilangkan keunikan adat resam Melayu itu sendiri.

Realiti hari ini, masyarakat kita sebenarnya sedang hidup susah dan tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Tatapan drama-drama yang menonjolkan materialistik melampau bukan sahaja menyebabkan masyarakat kita tergila-gilakan kemewahan, malah menyebabkan ramai masyarakat kelas bawahan yang tidak lagi mengukur baju dibadan sendiri.

Secara tidak sedar mereka telah meletakkan matlamat hidup mereka untuk menjadi seperti watak dalam lakonan tersebut. Jika sekolah dan universiti menjadi gedung pengajian secara formal, alangkah baiknya jika tanggungjawab dalam seni lakonan yang besar impaknya dapat bertanggungjawab sebagai sebuah gedung pengajian tidak formal kepada masyarakat. Semoga generasi baru Malaysia dapat dibina dengan sebaik-baiknya.

Diharapkan agar konflik cinta tragis dalam mana-mana drama Melayu tidak dijadikan rujukan terhadap riwayat rumah tangga masyarakat kita. Adengan perkelahian di masjid tidak akan membawa kemenangan kepada salah satu pihak. Pada akhirnya, kemulian masjid yang tercalar dan dipandang sinis oleh masyarakat yang bukan beragama Islam.

Semoga masjid, perkahwinan dan drama televisyen terus menjadi simbol dan agen kepada penyebaran kebaikkan bukan sebuah kekeliruan dan persengketaan.

Gambar kredit: Hanasuva dan One Direct Moviez

Most Popular

To Top