Agama

MEMAHAMI ISU TUDUNG, ANTARA PENUTUP KEPALA ATAU TIRAI YANG MENUTUP MINDA? -Nik Fatma Amirah

tudung penutup minda II

“What is on your head is not as important as what is in your head”

Apa yang menutupi kepalamu tidak sepenting apa yang ada dalam kepalamu. Apa yang ada di dalam kepalamu adalah lebih penting!

Bertudung pada mulanya merupakan satu tuntutan Islam khusus kepada golongan wanita, tetapi dek perubahan zaman, wanita seolah-olah lebih memilih untuk bertudung disebabkan fesyen dan terikut-ikut trend masa kini.

Kotak pemikiran wanita pada hari ini telah diisi dengan keinginan terhadap fesyen tudung terkini. Bukan lagi meletakkan tudung sebagai satu yang meninggikan syariat Allah. Tudung yang menutup kepala mereka, seolah-olah menutup minda mereka.

Kesedaran untuk menutup kepala atau bertudung sepatutnya datang dengan kefahaman asas, iaitu asas islam yang mana Allah menyebut di dalam Alquran secara spesifik berkenaan etika pemakaian tudung, menutup aurat, memelihara akhlak, berjimat cermat dan juga asas hidup bermasyarakat.

Fesyen tudung vs maqasid bertudung

Bertudung adalah syariat, namun fesyen menjadi ‘kegilaan’.

Ramai yang memakai tudung kerana fesyen, bukannya memahami maqasid bertudung itu sendiri. Bertudung sebenarnya bukan untuk memelihara aurat semata-mata, tetapi ia lebih dari itu. Hakikatnya bertudung atau pemakaian muslimah mestilah mencerminkan kesucian batinnya yang terdidik dengan asas tauhid, akidah dan nilai akhlak yang baik.

Kita tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan sikap ‘tabarruj’ wanita pada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam kerana tujuan bertudung atau berpakaian menurut perspektif Islam bukan untuk mempamerkan keistimewaan pemakainya, menarik pandangan dan kekaguman yang lain.

Satu hal lagi adalah berkaitan dengan sikap wanita atau pembeli tudung yang mencerminkan akhlak yang kurang baik seperti contoh tidur di kaki lima semata-mata untuk menunggu kedai tudung dibuka, potong barisan, bertolak-tolak, bergaduh, buruk sangka, bercampur tanpa batas lelaki dan perempuan, ia secara automatik akan menyebabkan terbatalnya maqasid atau niat baik untuk bertudung itu sendiri.

Ingin memelihara satu niat yang baik, habis yang lain tergadai.

Biar sederhana, tetapi syariat terjaga!

Wanita pada hari ini lebih gemar untuk memilih fesyen tudung yang mahal bukan lagi mementingkan penilaian atau kriteria tudung yang mengikut lunas syariat.

Mahal, asalkan bergaya!

Inilah mentaliti terkini wanita hari ini. Mereka sanggup ‘membuang’ duit semata-mata untuk tudung yang mahal, sama harga dengan gajinya untuk sebulan. Ini adalah satu perbuatan boros!

Ukurlah baju dibadan sendiri. Bersederhanalah.

Mereka tidak sedar bahawa harta atau duit yang mereka ada tidak sepatutnya digunakan untuk hal tersebut. Bersederhanalah dalam pemakaian kita. Tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk, riak dan bermegah-megah kerana memiliki tudung yang mahal yang istimewa, tidak dimiliki sesiapa pun, kerana yang sepatutnya adalah memenuhi kehendak syariat itu.

Biar sederhana, tetapi syariat terjaga!

Syariat diketepikan, fesyen diutamakan

Satu komen yang membina saya petik dari Sohibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Mohd Noor di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 4 April 2016.
Katanya, “Pereka tudung sepatutnya memahami konsep berhijab atau menutup aurat di dalam Islam dan mematuhi peraturan berpakaian menurut Islam.”

Tegasnya,“Tidak sepatutnya pakaian muslimah dijadikan sebagai trend atau bahan persaingan. Ia seolah-olah  memperagakan fesyen terkini dan model semasa. Sebaliknya, dalam berpakaian termasuk tudung, umat Islam mesti mengutamakan tuntutan menutup aurat sebagaimana ditetapkan oleh syarak.”

Perniagaan tudung mengikut lunas syariat

Perniagaan orang islam terutamanya dalam perniagaan tudung atau fesyen terkini seharusnya lebih menjaga dan memelihara lunas syariat. Perniagaan tudung juga ada asasnya iaitu asas halal dan haramnya. Begitu juga asas monopoli harga dan asas konsumerismenya. Semuanya perlu diambil perhatian sewajarnya.

Syarikat perniagaan tudung sepatutnya lebih mengutamakan untuk mengeluarkan tudung yang menepati kehendak syariat, bukannya tudung yang singkat dan terdedah aurat!

Saya memuji usaha ramai peniaga tudung yang banyak mengeluarkan pelbagai fesyen tudung, tetapi ia selari dengan kehendak syarak, mesra solat dan wuduk dan sebagainya. Ini yang sepatutnya dianjurkan oleh peniaga islam, bukannya menghasilkan tudung yang singkat, sehingga menampakkan dada.

Bebaskan minda yang terpenjara!

Kesimpulannya, jika Saidina Umar Al-Khattab ada pada hari ini, pasti dia hadir ke kedai tudung yang ramai berebut-rebut itu, lalu dihalau semuanya pulang, ditariknya permit perniagaan, dihalaunya semua yang tidur bergelimpangan di kaki lima, disuruhnya pegawai keselamatan ketuk ketampi dan dirotannya mereka yang memotong barisan dan saling bergaduh.

Inilah Umar seorang yang ‘principle centered’. Tidak membuat yang mungkar untuk memenuhi tuntutan agama. Realistik. Umar adalah refleksi bagaimana islam ini diterjemahkan ke dalam nilai beragama, nilai akhlak, nilai kemasyarakatan dan nilai sivik sesebuah masyarakat.

Kita sepatutnya bebaskan minda kita yang terpenjara ini. Terpenjara dek kerana fesyen yang melalaikan, kecantikan yang tidak kekal dan seruan untuk meletakkan syariat yang paling bawah.

Semoga tudung penutup kepalamu, tidak menjadi tirai penutup mindamu!

Most Popular

To Top