Isu Semasa

Poyokah Doktor Itu?

whatsapp-dr-harlina2

Saya bukan berhasrat untuk mencari siapa yang betul atau salah namun adalah lebih utama untuk kita memahami dan menilai implikasi jurang komunikasi ini dalam kalangan netizen seterusnya masyarakat. Adakah hari ini generasi Y sudah kehilangan nilai berbahasa?

Isu “awak” yang hangat kini di media sosial adalah suatu kes jurang komunikasi antara Gen-Y dengan mereka yang sebaya ibu ayah kita.

Kelihatan poyo pada anak muda apabila Dr Harlina meminta agar lebih elok dipanggil sebagai Puan atau Dr sahaja. Namun sudut yang sensasi dijadikan sebagai bahan untuk memviralkan isu ini lantas menjadi perbahasan yang hangat dalam kalangan netizen.

Saya bukan berhasrat untuk mencari siapa yang betul atau salah namun adalah lebih utama untuk kita memahami dan menilai implikasi jurang komunikasi ini dalam kalangan netizen seterusnya masyarakat.

Pertama, lebih mencari sensasi daripada kebenaran. Admin Amran Fans boleh memilih sama ada memanggil dengan panggilan Puan atau ringkas sahaja Dr. Malahan Dr Mahathir sendiri selepas meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dalam sesi medianya memberitahu wartawan, “Anda boleh memanggil saya Dato Seri tetapi Tun itu lebih pendek”. Apakah Tun poyo?

Kedua, yang kurek itu kundi yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Melayu mengingatkan kita tentang adab apabila berkomunikasi sesama kita. Baik pada yang tua mahupun yang muda. Bagaimana membahaskan diri kepada orang lain adalah suatu hal yang dititikberatkan. Apakah hari ini generasi Y sudah kehilangan nilai berbahasa?

Adakah hari ini generasi Y sudah kehilangan nilai berbahasa?

Yang tua kita hormati, yang muda kita kasihi. Dalam bahasa masyarakat Iban di Sarawak, nuan atau deq membawa maksud kau. Namun dalam penggunaan bahasa Iban rasmi dalam pendidikan, perkataan nuan digunakan bukannya perkataan deq. Kerana nuan itu membawa konotasi yang lebih sopan dan lembut.

Ketiga, memviralkan sesuatu isu atau menegur secara personal. Mana yang lebih baik? Dalam hal ini saya mungkin berbeza pendapatan dengan Dr Harlina Siraj. Sewajarnya Dr. Har membuat teguran secara personal kepada Admin. Demikian juga Admin Amran Fans tidak wajar mengangkat isu ini sehingga dibahaskan secara terbuka oleh para netizens dan followers anda.

Saya khuatir budaya memviralkan sikap pihak tertentu seperti ini menjadi budaya dalam masyarakat. Lalu mendatangkan onar yang menyaksikan pertentangan dua kelompok . Bukan meriahnya pertentangan dua kelompok yang kita hendak, sebaliknya jauh lebih utama ialah bagaimana masyarakat mampu dididik dengan baik, lembut dan sopan.

Al Quran juga berpesan kepada kita,

Serulah manusia ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk [An Nahl:125]

Konklusinya, media sosial bukanlah medan untuk mencari penyelesaian. Apabila kita mencari penyelesaian di medan terbuka ia hanya akan membawa kepada pelbagai lagi masalah yang lain. Buat Amran Fans dan Admin Jadilah Seperti Rashid, tiada salahnya jika anda meminta maaf pada yang lebih tua. Tindakan itu akan menampakkan sikap lapang dada dan meraih penghormatan buat generasi muda di mata mereka yang lebih tua daripada kita.

Most Popular

To Top