Agama

Zakir Naik vs Selena Gomez: Malaysia di Ambang Kecelaruan

zakir-naik-selena-gomez

Untuk mendengar syarah ilmu Dr. Zakir Naik kita hanya perlu menadah telinga secara percuma namun untuk mendengar syarahan Selena Gomez sedikit bayaran diperlukan bermula RM 285.00 hingga RM485.00 tidak termasuk RM3.00 fee tiket dan 6% GST. Tapi saya yakin …

Selamat datang Dr. Zakir Naik ke Malaysia. Saya cukup berbangga menyampaikan ucapan tersebut. Para pencinta ilmu sudah pasti menantikan kedatangan Dr. Zakir Naik yang keilmuannya tidak lagi dipertikai. Perbahasan agama yang dibawa oleh Dr. Zakir Naik seringkali full house dan pecah panggung. Sesi soal jawab bukan sekadar sembang warung kopi tetapi penuh fakta dan membawa pendengar ke arah dimensi keilmuan yang berbeza.

Namun kebelakangan ini iklim Malaysia sedikit bingung. Setiap kali datang pendakwah luar negara ke Malaysia, sudah pasti akan ada isu yang dibangkitkan. Masihkah kita ingat suatu ketika dahulu ketika Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais melawat Malaysia ada golongan yang menyebarkan berita menyesatkan Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Sehingga ada yang mengatakan bahawa kehadiran beliau untuk meluaskan jaringan dan pengaruh wahabi di Malaysia. Pada pandangan saya tuduhan tersebut sangat tidak bijak dan perlu dibuktikan.

Apabila Dr. Zakir Naik datang ke Malaysia datang pula satu kumpulan yang membuat onar dengan pelbagai tohmahan sehingga menggangu kelancaran program. Sehingga pada 11 April 2016 satu sidang media khas perlu dibuat oleh penganjur untuk menjernihkan semula keadaan. Pihak polis terpaksa diheret untuk menyelesaikan masalah ini sedangkan Dr. Zakir Naik ialah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013. Adakah kita telah silap memberi anugerah itu kepada orang yang dilabel wahabi dan pelampau agama? Adakah ini trend Malaysia menyambut kedatangan pendakwah luar yang hadir ke Malaysia?

zakir-naik-tokoh-maal-hijrah-2013

Gambar dari TheStar

Namun Malaysia sangat aman apabila menyambut barisan artis dan penghibur antarabangsa. Kita cukup aman dan damai ketika menerima artis K-POP yang memeluk anak melayu di atas pentas. Selepas kejadian peluk viral barulah netizen menyatakan bantahan di laman sosial. Kita cukup aman dengan konsert dan hiburan yang melampau. Bahkan kita amat berlapang dada dengan agen-agen hiburan yang dibayar untuk merosakkan anak-anak bangsa Malaysia.

Saya amat tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Bin Abd Rahman yang menyatakan kehadiran Dr. Zakir Naik adalah dibawah tanggungan Dr. Zakir Naik sendiri kecuali penginapan dan makan minum yang ditanggung oleh kerajaan Negeri Terengganu. Terlintas di fikiran saya, siapa yang akan menanggung perbelanjaan Selena Gomez yang dijadualkan akan datang ke Malaysia pada 25 Julai 2016 di Malawati Indoor Arena, Shah Alam.

Untuk mendengar syarah ilmu Dr. Zakir Naik kita hanya perlu menadah telinga secara percuma namun untuk mendengar syarahan Selena Gomez sedikit bayaran diperlukan bermula RM 285.00 hingga RM485.00 tidak termasuk RM3.00 fee tiket dan 6% GST. Tapi saya yakin kita masih berlapang dada. Bahkan ketika netizen sudah hingar tentang kos sara hidup saya yakin bayaran untuk menghadiri majlis ilmu Selena Gomez masih berada dalam ruang mampu milik rakyat Malaysia.

zakir-naik-ramasamy-waythamoorthy-igp

Saya amat bangga dengan Rakyat Malaysia yang begitu teliti dan terperinci dalam menentukan soal agama. Tahniah kepada ASWAJA yang sentiasa mengambil sikap ambil peduli terhadap siapa yang datang ke Malaysia. Sehingga MIC dan HINDRAF juga terasa begitu bertanggungjawab menjaga soal akidah dan keharmonian Islam. Sekiranya Dr. Zakir Naik dan Sheikh Dr. Abdul Rahman Sudais perlu ditapis soal ilmu dan pegangan mereka suka saya mencadangkan agar tapisan yang sama kita gunakan kepada Habib Umar Bin Hafidz yang mampu memanggil Rasulullah shallallahu alaihi wasallam datang ke majlis-majlisnya.

Penapis yang sama kita gunakan untuk pendakwah-pendakwah dari tareqat Naqsyabandiah al-Aliyyah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mampu melihat dan berinteraksi dengan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam ketika program-program selawat perdana. Tidak keterlaluan juga saya mencadangkan jaring yang digunakan untuk menapis pendakwah seharusnya digunakan untuk menapis artis yang datang ke Malaysia. Apakah budaya dan ideologi yang mereka bawa?

Adakah ideologi dan budaya itu sesuai dengan manhaj Ahlus Sunnah Wal jamaah yang dipegang oleh rakyat Malaysia? Janganlah kita begitu cermat dalam menapis satu golongan dan koyakkan jaringan tapisan pada satu golongan yang lain.

Demi anak muda Malaysia

Most Popular

To Top