Pendidikan

Guru Pembina Negara Bangsa -Mohd Fadli

Thank a teacher

” Nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (al-Mujãdalah: 11)

Surah al-Mujadalah telah menukilkan suatu penghargaan daripada Allah kepada mereka yang menyebarkan ilmu. Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu dan menyebarkan ilmu. Namun syarat utama yang Allah letakkan ialah mereka yang beriman. Jelas di sini mereka yang di pandang oleh Allah, adalah mereka yang terus meletakkan Allah di hadapan di dalam mendidik jiwa manusia. Siapa mereka yang menyebarkan ilmu itu ?
Apa sahaja gelaran mereka guru, cikgu, mualim, ustaz ustazah, pensyarah, ibu ayah mereka ialah insan menyampaikan ilmu kepada manusia seperti mana dijanjikan oleh Allah yang akan mengangkat darjat mereka dikalangan manusia lain.

16 Mei sambutan hari guru akan di sambut oleh semua guru di Malaysia. Tarikh yang begitu bermakna kepada semua insan yang mendidik jiwa jiwa yang memerlukan pengisian ke arah modal insan yang berkualiti. Guru Pembina Negara Bangsa, itulah tema pada tahun ini.

Perkataan Guru berasal dari bahasa Sanskrit, hasil cantuman dua buah perkataan ia itu “Gu” dan “RU”. “Gu” dalam Sanskrit bermaksud gelap, kegelapan, kesesatan dan sebagainya. “Ru” dalam Sanskrit bermaksud cahaya, keterangan, kebenaran, lurus dan sebagainya. Dalam erti yang lain, guru ialah seseorang yang membawa insan ke arah jalan menuju kebenaran.

PEMBINA NEGARA BANGSA YANG ULUNG 

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , telah membuktikan sebagai seorang guru yang membawa manusia dari zaman kebodohan ke zaman yang bertamadun. Anak didik Baginda, merupakan permata yang berharga sehingga ke hari ini. Rasulullah berstatuskan manusia yang dilantik oleh Allah dalam menyampaikan risalah.

Sebagaimana yang dikisahkan di dalam hadis 40. Rasulullah mendidik ibnu Abbas dengan begitu cantik. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah memberikan contoh penanaman aqidah yang padu ini ketika beliau mengajari anak saudara beliau, Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhuma dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi dengan sanad yang hasan. Ibnu Abbas bercerita,

“Pada suatu hari aku pernah berboncengan di belakang Nabi (di atas kendaraan), beliau berkata kepadaku: “Wahai anak, aku akan mengajari engkau beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan dapati Allah di hadapanmu. Jika engkau memohon, mohonlah kepada Allah. Jika engkau meminta tolong, minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah. kalaupun seluruh umat (jin dan manusia) berkumpul untuk memberikan satu pemberian yang bermanfaat kepadamu, tidak akan bermanfaat hal itu bagimu, kecuali jika itu telah ditetapkan Allah (akan bermanfaat bagimu). Ketahuilah. kalaupun seluruh umat (jin dan manusia)berkumpul untuk mencelakakan kamu, tidak akan mampu mencelakakanmu sedikitpun, kecuali jika itu telah ditetapkan Allah (akan sampai dan mencelakakanmu). Pena telah diangkat, dan telah kering lembaran-lembaran”.

Itulah cara seorang pendidik di dalam ranjau melakar atau membentuk jiwa jiwa yang hebat. Telah terbukti pada diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam membentuk peribadi sahabat. Oleh itu, guru yang hebat wajib menegetahui selok belok mendidik yang berhikmah seperti Baginda bagi melahirkan modal insan yang berkualiti

PEMBINA NEGARA BANGSA

Membina adalah satu usaha menbangunkan. Setiap yang ingin dibina memerlukan tenaga, pengorbanan dan secebis harapan bagi menjelmakan binaannya. Seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda mempunyai matlamat yang jelas di dalam mendidik sahabat sahabatnya. Matlamat yang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tanamkan yang utama ialah Allah iaitu aqidah yang mantap

Lihat sahaja bagaimana Bilal bin Rabbah diuji. Khabbab Al- A’rat di bakar panggang tubuhnya. Sumayyah dan Yaser di bunuh. Semua ini adalah kesan yang mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menanamkan perasaan cinta bermatlamat kepada Allah. Inilah kunci utama dalam langkah membina Negara Bangsa yang berkualiti

Melalui perjalan sirah ini Negara Bangsa ialah pembinaan individu kepada masyarakat yang akan mendukung satu bangsa dan satu negara yang tegak di atas satu identiti negara yang sama yang di manifestasikan oleh pemikiran, nilai-nilai sosio-budaya, lambang-lambang dan sentiasa berpegang kepada jiwa kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi. Bangsa yang bertamadun mempunyai identiti peradabannya yang tersendiri.

AL-QURAN DAN AS-SUNNAH ASAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Malaysia adalah sebuah negara yang majoritinya beragama islam. Agama rasminya Islam. Perdana Menterinya Islam. Oleh itu asas utama dalam pembinaan Negara Bangsa tidak lain dan tidak bukan Al-Quran dan As-sunnah. Di sinilah terpasaknya matlamat utama.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, telah membuktikan di dalam sejarah dunia bahawa pembinaan Negara Bangsa di bawah pendidikan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, telah menjadi suatu tamadun yang utuh sepanjang zaman dan sehingga ke akhir zaman. Hal ini di buktikan lagi oleh Michael H. Hart bahawa Muhammad bin Abdullah merupakan manusia yang pertama di dunia yang paling berpengaruh.

Methodologi pembinaan Negara Bangsa yang dipraktikkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran dan Sunnah. Dua perkara inilah yang ditinggalkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada kita sebagai guru untuk membentuk jiwa insan yang Berjaya.

Sebagai contoh. Mus’ab bin Umair. Seorang anak muda yang telah didik oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sejak dari Mekah. Beliau telah diutuskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinah untuk menjadi guru kepada bangsa Madinah. Mus’ab bin Umair mengajar bangsa Madinah dengan mengenal Allah dan mencintai Allah seterusnya menjadikan Allah dan Rasul matlamat utama. Pengenalan Allah dan Rasul itu di ambilnya dari Al-Quran. Hasilnya Madinah menjadi sebuah negara bangsa yang maju dari segi akhlak dan peradabannya.

Negara Bangsa mudah diungkap namun pembinaannya memakan masa yang lama. Mungkin apabila kematian menjemput kita sebagai pendidik, negara bangsa ini masih belum dapat diwujudkan atau masih belum mencapai kejayaan. Buktinya, Madinah dibangunkan bukan dengan sehari dua tetapi memerlukan tempoh masa yang lama bagi mencorak pemikiran dan peribadi.

Tetapi percayalah sekiranya Al-Quran dan Sunnah diaplikasikan di dalam pengajaran pasti aspek Jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seperti mana yang ada di dalam Falsafah Pendidikan negara dapat di capai. Tidak kira anda guru matematik, Bahasa Inggeris atau Pendidikan Jasmani yang tiada kaitan namanya dengan ‘Islamik’pasti akan Berjaya membentuk jiwa jiwa ke arah Negara Bangsa yang bertamadun. Kuncinya Al-Quran dan Sunnah.

Kesimpulannya, untuk membina negara bangsa, para pendidik wajiblah tahu dan memahami isi Al-Quran bukan hanya sekadar menghadiri program pembudayaan Al-Quran atau Yasin semata mata. Kedua para pendidik hendaklah menyelusuri sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang telah Berjaya membina jiwa jiwa yang berkualiti di dalam pembinaan Negara Bangsa.

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Most Popular

To Top