Gaya Hidup

Masyarakat Melatah -Shakirah Sharifuddin & Ammar Hasbullah

masyarakat latah

Apabila Dr Zakir Naik dihalang dari memberikan syarahan beliau di sebuah institut pengajian, tidak sikit dari kita yang menunjukkan solidariti terhadap beliau dan tidak kurang juga yang terus menyalahkan beberapa pihak, atas alasan tidak pernah bersetuju dengan gerakan dakwah Islami. Begitulah kita sekarang, hidup di dalam zaman yang keadaan politiknya kacau bilau, juga masalah perkauman masih wujud meskipun peristiwa 13 Mei sudah lama berlalu, suasana harmoni antara kaum dan agama masih lagi menjadi isu perbincangan. Justeru, isu-isu yang berkisar tentang agama, kaum dan politik sering mengambil tempat di dalam media sosial.
Sangat ramai dari kalangan kita yang memberikan respon terhadap isu-isu panas sebegini, tetapi persoalannya, bagaimanakah cara untuk mengawal reaksi terhadap sesebuah isu?

Hakikat dan realiti masyarakat

Seringkali apabila isu-isu ini dibangkitkan, akan timbul pelbagai reaksi dari masyarakat khususnya di Malaysia. Kita sangat cepat melatah dan ghairah dalam merespon terhadap sesuatu isu tanpa menilainya terlebih dahulu. Atau satu hal yang lain, seseorang menilainya hanya secara kasar, mendapat keterangan daripada satu pihak sahaja kemudian terus sampai kepada kesimpulan tanpa mendalami isu tersebut dengan baik. Dengar sahaja isu-isu yang dibangkitkan menyentuh kaum dan agama, terus ‘melompat’ dan mahukan tindak balas. Masalahnya cuma satu, kita terlalu ghairah menjadi hero sesebuah kaum dan agama yang sebenarnya keghairahan ini mampu membunuh. Telusurilah sejarah, lihat bagaimana sifat ghairah Hang Tuah melaksanakan taat setia pada titah sang raja akhirnya menyebabkan banyak nyawa tergadai hatta rakan karibnya sendiri. Begitu juga jika kita telusuri episod keghairahan cinta Romeo dan Juliet yang akhirnya sama-sama mati keracunan dan Kamal Attaturk tentang kisah keghairahannya mensekularisasikan negara Turki seiring dengan kuasa barat.

Bijak kawal situasi

Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya timbul rasa marah dan bangkit bersuara jika hak seseorang ditindas. Masyarakat semua faham akan kepentingan reaksi untuk menjaga nama baik kaum dan agama, kerana ia boleh dijadikan indikator keprihatinan seseorang itu terhadap prioriti kehidupannya. Bahkan dalam prinsip Maqasid Asy-Syar’iyyah di bawah tajuk Hifz Al-Mal, kita diajar bahawa seharusnya tidak menyerahkan harta kita sewenang-wenangnya apabila dirompak dan ini menunjukkan bahawa Islam tidak mengajar untuk berdiam diri, dan disitu ada hak yang perlu dipertahankan.

Namun, perlu juga untuk mempertimbangkan semula cara kita bertindak balas demi menunjukkan salah satu keprihatinan kita juga terhadap keadaan semasa yang melanda negara. Kadang-kadang kita terlupa yang kita hidup dikelilingi pelbagai latar, bangsa dan agama. Dalam keghairahan kita untuk membela dan bersuara, kita sebenarnya menimbulkan perasaan yang kurang enak antara kaum di Malaysia.

Dalam hal ini, perlunya ada sikap tabayyun atau teliti dalam satu-satu isu dan dalam masa yang sama kita perlu meraikan kepelbagaian, saling menghormati dan terbuka untuk berdiskusi antara satu sama lain supaya akhirnya membuahkan reaksi yang matang dan harmoni.

Sesungguhnya masih jauh perjalanan kita untuk mencapai misi Malaysia sebagai negara yang rahmah sekiranya hal-hal sebegini masih belum dapat diselesaikan. Kejayaan negara yang diimpikan oleh semua tidak akan dikecapi dengan sebegitu mudah jika tiada persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan kesanggupan kaum untuk saling menerima seadanya.

*Penulis merupakan pelajar di pusat asasi UIAM. Kedua-duanya merupakan jawatankuasa tertinggi CFS IIUM Arabic Debate Club dan Ahli IKRAM Siswa UIAM PJ

Most Popular

To Top