Agama

“Zakir Naik, Hidayah Centre, dan Malaysia” – Hamdi Ibrahim

zakir-naik-mujahid-rawa

Walaupun siri forum Dr ZN pada tahun ini sudah tamat, kita masih ada tugas asasi. Tapi, ia bukan bermula dengan ajakan untuk berdebat. Namun ia bermula dengan kita menawan hati dan perasaan manusia…

Kedatangan Dr Zakir Naik pertengahan April lepas ke Malaysia mengundang pelbagai reaksi dikalangan masyarakat malaysia, khususnya dari kalangan pemuka pelbagai agama dan kaum. Seperti tahun-tahun sebelum ini, media sosial, cetak, media elektronik kembali hangat dengan isu yang sama.

Ini bukan kali pertama beliau ke negara yang berbilang kaum ini. Sebelum ini, Dr ZN pernah hadir ke Malaysia pada tahun 2012 dan mengadakan ceramah terbuka di PWTC, dan juga UiTM Shah Alam. Bahkan, Tun Dr Mahathir, ayah kepada Marina Mahathir, juga turut hadir menyatakan sokongan kepada Dr ZN. Dan hal yang sama berlaku seperti yang berlaku pada pertengahan April 2016 yang lepas. Ada bantahan secara terang-terangan yang dibuat oleh beberapa NGO.

zakir-naik-ramasamy-waythamoorthy-igp

Bukan hanya wakil agama dan kaum minoriti seperti Hindraf bahkan Tunku Aziz Ibrahim, bekas Ahli Dewan Negara sulung DAP yang telah keluar dari DAP pun mengingatkan, Dr ZN supaya tidak datang untuk menghina rakyat Malaysia. Arahan dari Ketua Polis Negara juga suatu petanda bahawa, isu ini berkaitan keharmonian kaum di Malaysia. Walaupun kini  isu ini pergi bersama perginya Dr ZN dari malaysia, polemik ini pasti akan terus berulang jika dr ZN atau seangkatan dengan beliau datang ke negara ini.

Apapun, syabas kepada penganjur yang berani jemput dr ZN ke negara yang sangat berbilang kaum ini. Tidak dinafikan program-program dialog dan dakwah kepada masyarakat bukan Islam wajar diberikan galakan dan pujian oleh kerajaan dan semua pihak. Sesuai dengan sebuah negara yang dikatakan memberikan penghargaan kepada kebebasan bersuara.

Dakwah tanpa Zakir Naik

Namun, yang harus ingat bahawa, sebelum ZN datang ke Malaysia, sudah ada banyak pihak seperti parti politik dan NGO yang bekerja untuk dakwah non muslim. Dan yang menariknya, NGO ini sudah pun melakukan engagement dan dialog dengan pihak belum Islam. Lujnah Perpaduan Nasional PAS sewaktu ketika dahulu adalah success story parti Islam tertua di negara ini. PAS melalui Dr Mujahid Rawa, adalah contoh yang terbaik dalam dialog antara agama. Ketika muncul isu panas antara Muslim dan umat Kristian di Malaysia pada 2009 tepatnya selepas Mahkamah Tinggi pada 31 Disember memutuskan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya setelah dilarang dan disekat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mujahid melalui Lujnah Perpaduan Nasional PAS telah berjaya menjadi pereda sentimen perkauman dan konflik beragama.

mujahid-rawa-2

Masakan tidak, sebahagian umat Melayu yang reaktif dan mudah melatah pasti akan terbakar dan meluap kemarahan apabila terpapar di media elektronik mahupun media sosial bahawa;

  1. Kononnya ada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian
  2. Terdapat Gereja Methodist Damansara Utama yang mengadakan majlis memurtadkan orang Islam
  3. Isu ahli Parlimen Lembah Pantai dikontroversikan sebagai menyokong murtad.
  4. Ucapan Krismas Ketua Menteri Pulau Pinang yang disensasikan
  5. Terkini demonstrasi ke atas ahli Parlimen Parit Buntar dan cubaan menghalang usaha dialog antara agama di Gereja Anglican Butterworth.

Walau bagaimanapun, isu di atas hanyalah isu. Agama Islam tetap agama rasmi Persekutuan. Tidak ada yang dimurtadkan. Dialog antara agama berjalan dengan harmoni. Konflik antara umat Islam ditangani dengan pendekatan rahmah oleh PAS, dibawah teraju Dr Mujahid Yusof Rawa yang kini bersama Amanah. Isu ini diabadikan oleh beliau dalam travelog Berdialog Dengan Gereja, yang tersemat kata-kata pengantar dan sokongan dari Allahyarham TG Nik Abd Aziz.

Kritikan terhadap Dr Zakir Naik

Dr Zakir Naik adalah seorang yang sangat menguasai subjek perbandingan agama. Beliau berhujah dengan bukti dan fakta yang ada dalam kitab rasmi setiap agama.

xifu-naser

Namun pendekatan ini perlu dilihat dalam pelbagai sudut. Terutama dalam konteks Malaysia. Kritikan terhadap pendekatan ZN daripada Xifu Nassir, Pengerusi Skuad Mubaligh Selangor (SMASH) dalam Sinar Harian 5 April 2016 wajar diperhalusi. Istilah seperti Idolisasi terhadap tokoh dan McDonaldisasi program dakwah, wajar dipandang secara adil

Adakah daie sekadar satu “watak” di pentas? Bagaimana dengan kehebatan daie-daie belakang tirai?

Begitulah punchline terakhir dari Xifu Nasir yang buat saya termenung dan mengakui, saya mempunyai pendapat yang sama dengan beliau.

Hidayah Centre dan Ambiga

Namun, saya cuba membandingkan pendekatan yang di ambil oleh Dr ZN dgn pendekatan yang diambil Hidayah Centre, sebuah NGO dakwah kepada bukan Islam. Pada Ramadhan tahun lepas, iaitu pada julai 2015, berlaku fenomena yang sangat menarik dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Hidayah Center Foundation. HCF yang sinonim dengan kerja dakwah kepada non muslim di Malaysia, bukan hanya menjemput 400 mualaf baru untuk diraikan,  turut dihadiri kira-kira 50 peserta bukan Islam yang berminat untuk merasai suasana berbuka puasa bersama-sama umat Islam lain. Faizal Tahir hadir dengan “Assalamualaikum” melengkapkan keceriaan majlis yang sudah barakah itu.

ambiga-miphc11

Kredit: FB Hidayah Centre

Dan lebih terperanjat adalah, HCF sebuah agensi IKRAM juga menjemput bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan; Naib Presiden PKR,  Tian Chua; President Indian Athma Sakhti Association, Vasantha Kumar. Mereka duduk semeja dengan golongan ustaz seperti Dr Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR), Presiden IKRAM, Dr Parid Syeikh Ahmad, dan ramai lagi. Majlis ini juga dihadiri oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Zainal Abidin Jaafar.

Yang penulis ingin highlight-kan adalah kehadiran tokoh kontroversi bagi sesetengah Melayu: Ambiga. Ambiga kalau menurut kaca mata pejuang Melayu seperti PERKASA dan ISMA adalah musuh yang berbahaya kepada agama dan bangsa. Namun apabila bersama HCF, Ambiga dilayan seperti seorang adalah mad’u (manusia untuk didakwahkan). Dan tahukah kita bahawa pada majlis tersebut turut menyaksikan pengislaman saudari Annaletchumy Sundram yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan?

Kesimpulan

Pendekatan rahmah Lujnah Perpaduan Nasional PAS dan Hidayah Centre Foundation melalui Majlis Iftar Perdana yang harmoni dan sederhana ini menurut saya, wajar dicontohi oleh seluruh ummat Islam di negara kita. Ia lebih wajar menjadi teknik dan metode no. 1 untuk dakwah kepada belum Islam. Dengan iklim masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, debat dan cabaran terbuka di stadium besar oleh tokoh perbandingan agama terkemuka bukan tidak sesuai, malah boleh mengundang mudarat yang lebih besar. Boleh berdebat dengan saudara yang belum Islam, namun dalam kerangka ilmiah, bukan emosi dan seakan-akan pertandingan debat ala parlimen.

Harus diingat bahawa Malaysia bukan India, dan Pakistan. Malaysia bukan Mesir dan Indonesia. Malaysia adalah Malaysia yang perlu pendekatan tersendiri sesuai fiqh Malizi.

Tapi yang paling asas adalah, walaupun siri forum Dr ZN pada tahun ini sudah tamat, kita masih ada tugas asasi. Tapi, ia bukan bermula dengan ajakan untuk berdebat. Namun ia bermula dengan kita menawan hati dan perasaan manusia terlebih dahulu, bukan mencabar ego mereka, yang mengakibatkan pintu dialog dikunci kemas, pintu kebencian dan hasutan terbuka lebar. Zakir Naik Dah Balik, Sudah Selesai Tugas Kita?

Most Popular

To Top