Global

Analisa Ringkas 5 Faktor Yang Mempengaruhi #BREXIT

brexit-eu

Berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan perbincangan bersama rakan-rakan British, Malaysian, European dan lain-lain, saya dapat simpulkan bahawa …

Keputusan undian menunjukkan 51.9% ingin keluar dari EU, manakala 48.1% ingin kekal dalam EU.

Merujuk kepada peta berikut, kawasan biru merupakan kawasan yang ingin keluar, manakala kawasan kuning ingin kekal dalam EU.

map-eu

Apa yang menarik, dua bandar terbesar di UK, London dan Manchester beserta dua bandar universiti, Oxford dan Cambridge memilih untuk kekal dalam EU. Apakah justifikasi kepada keputusan ini?

Berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan perbincangan bersama rakan-rakan British, Malaysian, European dan lain-lain, saya dapat simpulkan bahawa :

1. Ramai golongan profesional dan berpendidikan.

London dan Manchester merupakan bandar besar dan hub ekonomi kepada UK. Terdapat banyak syarikat dan kegiatan ekonomi yang mengumpulkan banyak golongan profesional dari seluruh pelusuk dunia. Tambahan lagi, mereka lebih berfikiran terbuka dan menikmati kerjasama yang wujud dalam EU untuk merancakkan lagi ekonomi dan pelaburan merentas Eropah.

2. Kewujudan banyak universiti.

Terdapat banyak universiti dan kolej di London dan Manchester. Secara tak langsung, sebilangan besar penduduk London dan Manchester terdiri daripada warga universiti, samada pensyarah, pekerja dan pelajar. Pihak universiti lebih cenderung untuk UK kekal bersama EU kerana banyak manfaat yang diperoleh. Sebahagian dana dan geran penyelidikan universiti adalah daripada European Council.

Selain itu, kebanyakan pensyarah universiti UK membuat kolaborasi dengan pensyarah universiti di Eropah, terutamanya universiti di Jerman. Sebilangan pelajar PhD di UK pergi ke Jerman untuk melakukan eksperimen dan menggunakan instrument/facilities kerana Jerman mempunyai teknologi yang canggih dan menawarkan kemudahan kepada pelajar UK. Jadi hubungan baik ini wujud disebabkan UK merupakan salah satu anggota EU, seperti Jerman.

Bandar universiti seperti Oxford dan Cambridge juga memilih untuk kekal bersama EU kerana majoriti penduduknya adalah dari kalangan warga universiti.

3. Bilangan imigran/warga asing yang tinggi.

Tidak dinafikan, London dan Manchester mempunyai bilangan imigran/warga asing yang tinggi. Sebahagian imigran ini telah menjadi warganegara British dan sebahagian lagi datang daripada negara Komanwel (Pakistan, India, Bangladesh, Malaysia) yang turut sama mengundi. Golongan ini lebih cenderung untuk UK kekal di dalam EU kerana ingin mengekang gerakan ‘Britain for British’.

bnp_britain_for_the_british_2_1

Golongan sayap kanan seperti United Kingdom Independence Party (UKIP), Britain First dan lain-lain sedang memperjuangkan UK(Britain) hanya untuk orang British sahaja. Gerakan ini mungkin memberi kesan kepada imigran sedia ada dan imigran yang akan datang.

 

4. Golongan kaya yang mempunyai hartanah (property) di negara Eropah.

Sebilangan warga British yang berpendapatan tinggi membeli hartanah seperti rumah di negara Eropah, terutamanya di Sepanyol. Golongan ini kebanyakannya bekerja dan tinggal di London dan Manchester. Disebabkan status UK di dalam EU, golongan ini dapat membeli hartanah di Sepanyol dengan harga yang lebih murah, disamping menikmati kebebasan untuk keluar masuk Sepanyol dengan mudah. Golongan ini ingin UK kekal bersama EU.

5. Komposisi golongan muda yang tinggi.

Sudah pasti bandar besar seperi London dan Manchester mempunyai bilangan penduduk di kalangan golongan muda yang tinggi. Golongan muda ini terdiri daripada pelajar dan pekerja. Keadaan ekonomi dan sosial yang stabil menyebabkan golongan muda ingin UK terus kekal bersama EU. Sekiranya UK keluar, terdapat risiko dan kemungkinan kejatuhan ekonomi yang boleh mengurangkan peluang pekerjaan dan kejatuhan mata wang.

Walaupun majoriti penduduk di London dan Manchester ingin kekal bersama EU, namun bilangan ini tidak dapat mengatasi keinginan penduduk UK di kawasan lain untuk keluar dari EU.

Sudah pasti kita ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selepas ini. Apakah reaksi negara-negara Eropah yang lain?
Kita tunggu dan lihat.

Gambar kredit: Al-JazeeraBBC dan BNP.

Most Popular

To Top