Global

Apa yang Anda Perlu Tahu Mengenai Referendum Kesatuan Eropah

EU-referendum-ballot-paper-638210

Pada hari ini Khamis 23 Jun 2016, rakyat United Kingdom akan mengundi dalam satu referendum yang dinamakan sebagai Referendum Kesatuan Eropah (EU). Referendum ini bertujuan bagi menentukan keahlian United Kingdom dalam EU. Referendum ini juga dipanggil ‘plebiscite’ kerana undian berbentuk jawapan kepada satu persoalan.

SOALAN UNDIAN

Pengundi akan ditanya soalan: “Adakah United Kingdom wajar terus menjadi ahli (remain) atau tinggalkan (leave) Kesatuan Eropah?”

SIAPA YANG LAYAK MENGUNDI?

  • Rakyat British atau Irish yang tinggal di UK
  • Rakyat negara Komanwel yang tinggal di UK (Termasuk rakyat Malaysia)
  • Rakyat British yang tinggal di luar UK tidak melebihi 15 tahun dan telah berdaftar sebagai pengundi

BAGAIMANA UNDIAN DIJALANKAN

  • Di pusat mengundi: ini berdasarkan alamat daftar pengundi
  • Melalui pos: Boleh dimohon tidak kira samada berada dalam atau luar negara
  • Melalui Proksi: Mengamanahkan seseorang yang lain untuk mengundi bagi pihak pemilih. Seorang proksi mestilah seorang pemilih berdaftar juga dan layak mengundi

LATAR BELAKANG REFERENDUM

Keahlian United Kingdom dalam EU sudah lama dibincangkan sejak awal penyertaan pada tahun 1973. Ini adalah kali kedua referendum berkenaan keahlian UK dalam EU. Referendum 1975 berlangsung bagi memenuhi manifesto Parti Buruh dalam Pilihanraya Umum 1974. Keahlian UK dalam EU telah mendapat 67% sokongan.

Referendum 2016 pula adalah bagi memenuhi manifesto Parti Konservatif dalam Pilihanraya Umum 2015 yang dimenangi oleh mereka. Secara umumnya semua pihak bersetuju dengan referendum ini kecuali Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang membantahnya dalam Parlimen.

MENGAPA ‘REMAIN’?

brexit-600x375

Ini informasi yang disediakan oleh pihak kempen www.strongerin.co.uk

Lebih kukuh – dari segi ekonomi UK menerima pulangan £91 billion setahun. Ketokohan UK juga lebih menyerlah di peringkat antarabangsa kerana dapat duduk di meja rundingan EU. Selain itu UK juga mendapat lebih nilai bagi matawang sepuluh kali ganda kerana penjimatan cukai, pelaburan dan peluang pekerjaan.

Lebih selamat – Waran Tahanan Eropah membolehkan pesalah ditahan di mana-mana sahaja di seluruh Eropah. Selain itu permasalahan serantau dapat ditangani dengan lebih berkesan seperti ancaman pengganas dan juga perubahan iklim serantau.

Lebih baik – 10% daripada relung pekerjaan adalah berkaitan dengan EU. Persaingan ekonomi serantau juga menyebabkan kos sara hidup menurun. Hampir separuh sektor eksport UK juga adalah melibatkan EU.

Secara ringkasnya, pihak kempen Remain menjual fakta bahawa adalah lebih baik bagi rakyat UK dengan meraih kekuatan serantau. Perubahan keahlian UK dalam EU juga akan menggugat kestabilan sediada dan UK akan menghadapi krisis dalam jangka masa terdekat.

MENGAPA ‘LEAVE’?

Kempen ‘Leave’ turut dikenali sebagai Brexit, singkatan bagi ‘Britain Exit’. Ini informasi yang disediakan oleh pihak kempen voteleavetakecontrol.org

Isu immigran – undang-undang EU menetapkan ‘hak kebebasan berpindah’ menyebabkan UK dibanjiri dengan pendatang dari serata EU. 250,000 pendatang membanjiri UK dalam tempoh setahun terakhir

Jumlah keahlian EU terus berkembang – ketika UK mula-mula menyertai EU, hanya terdapat 9 buah negara. Kini terdapat 28 buah negara dan 5 buah negara lagi dalam proses permohonan.

Kuasa EU terus berkembang – kuasa EU masa kini adalah berbeza berbanding semasa UK mula-mula menyertai EU. Semakin lama semakin banyak aspek pentadbiran negara yang diambil-alih oleh EU

UK menyumbang sebanyak £350 juta seminggu kepada EU, tanpa dapat mengawal ke manakah wang tersebut disalurkan

Hilang kedaulatan negara kerana EU mengawal perundangan mengatasi undang-undang negara ahli dalam isu-isu penting seperti immigran, perdagangan, cukai barangan, dan anti keganasan.

Secara ringkasnya, pihak kempen ‘Leave’ menjual fakta bahawa UK mempunyai kawalan yang lebih dalam membuat keputusan. Keluar daripada EU bukan bermakna memutuskan hubungan perdagangan dengan Eropah. Switzerland dijadikan contoh sebagai model kekukuhan ekonomi tanpa perlu bergantung kepada EU.

Pihak ‘Leave’ juga cuba menarik perhatian rakyat UK dengan persepsi soalan tersebut secara terbalik – ‘Adakah kita mahu menyertai Kesatuan Eropah?’ Dari segi psikologi soalan seumpama ini mengalihkan isu mahu kekal demi kestabilan dan juga bagi meraih undian atas pagar.

RUMUSAN

Sama seperti apa jua keputusan, setiap pilihan mempunyai kebaikan dan keburukan. Referendum berbentuk soalan ini menghadapi masalah meraih sokongan atas pagar kerana mereka tidak mempunyai insentif untuk keluar mengundi. Pihak ‘Remain’ cuba memancing golongan atas pagar ini mengundi ‘Remain’ bagi memastikan kehidupan berjalan seperti biasa, manakala pihak ‘Leave’ pula cuba memancing mereka dari mana-mana sudut ketidakpuasan hati mereka terhadap EU, walaupun mungkin sudut tersebut hanyalah kecil berbanding gambaran isu yang lebih menyeluruh.

Gambar kredit: Express dan CatholicHerald

Most Popular

To Top