Agama

Awas! Ramadhan Bukan Sekadar Pentas Ibadah Individual

Sebut sahaja ‘Ramadhan’, kita sudah membayangkan Solat Sunat Terawih, Puasa, Sadaqah, Iktikaf, Tilawah al-Quran, Lailatul Qadar dan sebagainya.

Di corong radio, dikaca televisyen, kebanyakannya akan mengupas isu bagaimana menggalakkan peningkatan amalan seperti membaca Alquran, sedekah dan sebagainya. Ya tidak dinafikan, ia adalah satu sisi yang sangat penting dan sepatutnya kita lakukan dengan cemerlang dan perlu ditingkatkan sehingga ketahap yang terbaik.
Tetapi ada satu lagi sisi yang perlu menjadi fokus kita. Iaitu melihat Ramadhan bukan sekadar pesta ibadah untuk individu kita sahaja, tetapi kita melihat Ramadhan melebihi ibadah ritual, implikasi kemasyarakatan melepasi ruang individual dan amal fizikal dan pengorbanan melepasi ruang spiritual.

Ramadhan adalah satu bulan pelatihan atau ‘training’ yang kita lalui sebanyak 30 hari dan impaknya sepatutnya meresapi dalam kehidupan kita secara menyeluruh. Sebulan Ramadhan yang dilalui seolah-olah menjadi proses ‘battery charging’ untuk bekalan 11 bulan yang berbaki.

Puasa atau Ramadhan bukanlah untuk peribadi semata-mata, tetapi ia lebih dari itu. Sehebat manapun kita berterawih, berqiamullail, bertadarus Alquran tetapi jika masih ramai umat Islam yang dalam kemiskinan, tidak ada makanan untuk berbuka puasa, rasuah masih berleluasa, penindasanan terus bermaharaja lela, ia masih belum mencapai impak sebenar disebalik ibadah puasa dan bulan mulia Ramadhan.

Puasa seharusnya ada kesan secara menyeluruh dalam segenap penjuru kehidupan masyarakat, negara dan ummah ini termasuklah sudut ekonomi, kekeluargaan, pengurusan dan pentadbiran negara, politik dan sebagainya.

Contoh yang praktikal, bagaimana Ramadhan berperanan melebihi ruang individu. Antaranya:

  1. Sebagai ibu dan ayah, seharusnya mereka menjadi model kepada anak-anak mereka. Sentiasa mendorong anak-anak untuk berkhidmat untuk masyarakat dengan sekecil-kecil usaha seperti contoh menyertai program-program di surau kariah masing-masing, mengedarkan edaran berbuka dan sebagainya. Anak-anak akan memahami sebenarnya Ramadhan bukan sahaja berpuasa, menahan lapar, tetapi Ramadhan adalah bulan melakukan amal jariah.
  2. Sebagai Ahli Jawatankuasa surau atau masjid, seharusnya Ramadhan memberi kesan kepada mereka dalam beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat, menyediakan program-program yang bermanfaat, menyusun atur jadual ceramah mingguan dan bertindak mengaktifkan surau atau masjid sehingga menjadi pusat rujukan masyarakat.bb1m-rasuah
  3. Sebagai seorang pemimpin, seharusnya Ramadhan membuatkan mereka lebih malu dan takut untuk melakukan penyelewengan, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Ramadhan mendidik mereka menjadi pemimpin yang lebih bersikap rahmah kepada rakyat, berkhidmat dengan kasih sayang terhadap rakyat, menjauhi ketirisan wang dalam pentadbiran, bersikap sederhana dalam segenap perkara dan menjauhi akhlak yang negatif.
  4. Sebagai masyarakat umum, Ramadhan menuntut ummah untuk lebih prihatin kepada permasalahan global, melepasi batasan lokal. Disebalik kita berborak mengenai bazaar Ramadhan, menu untuk iftar dan sebagainya, cuba kita fikir sejenak penderitaan ummah di Gaza, Syria dan sebagainya. Mereka mengharungi saat getir, ketiadaan makanan dan perlindungan dan sebagainya.
  5. Sebagai pekerja dalam apa jua sektor samaada kerajaan atau swasta, sepatutnya Ramadhan menjadikan mereka lebih produktif. Hadir ke tempat kerja tepat pada masanya atau lebih awal, melakukan kerja dengan penuh berdedikasi, bersemangat dan beramanah sehingga jabatan masing-masing mencapai peningkatan produktiviti yang ketara dan konsisten.

Ingin saya tekankan disini bahawa, Ramadhan bukan sahaja melahirkan seorang yang tekun beribadat seorang diri, tetapi melahirkan ahli politik atau pemimpin yang mengasihi rakyat dan beramanah dengan tanggungjawab, ibu bapa yang sentiasa mendorong anak-anak melakukan kebajikan dan amal, ahli Jawatankuasa masjid atau surau yang beramanah dalam mengendalikan pentadbiran masjid atau surau, ummah yang prihatin terhadap penderitaan saudara seislam di negara lain dan juga pekerja yang sentiasa meningkatkan produktiviti kerja.

28EffectiveWaysToIncreasePersonalProductivity-640x371Inilah bukti yang jelas bahawa Ramadhan bukan sahaja ibadah individu, tetapi ia melepasi ruang ritual, amalnya melepasi ruang spiritual dan impaknya melebihi ruang individu.

Tarbiyah Ramadhan yang dilalui melahirkan individu yang memahami konsep islam secara syumul dan rahmatan lil alamin. Sekiranya konsep ini difahami secara baik, puasa kita bukan sahaja puasa untuk diri sendiri atau ‘tamak pahala’ bersendirian, tetapi ia akan memberi kesan kepada keluarga, organisasi, masyarakat, negara dan ummah.

Sebagai kesimpulan, kesan sebenar puasa merangkumi seluruh tahap masyarakat, bukan sekadar individu atau peribadi sahaja. Selain itu, kesan berpuasa bukan sekadar bermusim, tetapi untuk selama-lamanya dan puasa seharusnya ada kesan kepada semua tingkah laku kita, bukan sahaja dalam amal ibadah, tetapi lebih dari itu, merangkumi tingkah laku kita dalam berpolitik, tingkah laku kita sebagai ibu bapa, akhlak kita sebagai pemimpin dan tingkah laku kita sebagai pekerja sektor awam mahupun swasta dan sebagainya.

Selamat Menyambut Ramadhan 1437H!

Most Popular

To Top