Agama

Apa Yang Saya Pelajari Dari Forum Kafir Harbi dan Budaya Dakwah di Malaysia – Nik Fatma Amirah

forum-harbi

Saya tidak ingin mengupas mengenai isi wacana, tetapi lebih kepada pemerhatian saya terhadap budaya yang wujud dalam forum tersebut dan budaya dakwah di Malaysia

16 Julai 2016 berlangsungnya sebuah Wacana Ilmiah bertajuk “Istilah Kafir Harbi: Masih Releven atau Tidak?” anjuran Biro Penyelidikan IKRAM yang membariskan panelis antaranya Ustaz Hasanuddin Yunus (AMANAH), Ustaz Engku Ahmad Fadzil (IKSIM), Ustaz Dr Maszlee Malik (UIAM), Ustaz Dr Fathul Bari (Pemuda Umno) dan Ustaz Zamihan Al Ghari (ASWAJA)

Wacana yang julung kali diadakan ini membuka mata seluruh rakyat Malaysia tentang isu yang sedang hangat pada hari ini tentang ‘kafir harbi’. Kronologi isu bermula dengan pandangan yang dilontarkan oleh Sohibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang mengaitkan satu Parti Politik iaitu Democratic Action Party (DAP) yang wajar ditentang dan dilabelkan sebagai Kafir Harbi.

Kenyataan yang dilontarkan oleh Mufti Pahang itu jelas menimbulkan satu perdebatan, penafsiran yang pelbagai dalam kalangan ulamak dan pendakwah di Malaysia dan ia mengelirukan orang ramai. Dan yang lebih merisaukan implikasi daripada kenyataan itu turut memberi impak kepada golongan bukan islam dan tidak dinafikan ada yang tertanya-tanya “Halalkah darah saya?”.

Berkenaan wacana tersebut, saya tidak ingin mengupas mengenai isi wacana, tetapi lebih kepada pemerhatian saya terhadap budaya yang wujud dalam forum tersebut dan budaya dakwah di Malaysia.

Pertama, budaya Intelektual dan diskusi sihat.

Budaya intelektual harus menjadi satu budaya yang tersebar dalam kalangan masyarakat kita hari ini, yang seringkali berhadapan isu dan polemik semasa. Diskusi secara sihat, forum yang ‘face to face’ ini penting supaya dapat memperbetulkan kefahaman masyarakat mengenai isu ini. Dengan kupasan yang rahmah dan harmoni, ia akan memberi impak yang lebih besar iaitu mengubah kefahaman masyarakat sekaligus diterjemahkan kepada tindakan yang lebih baik.

Forum semalam berjaya membuktikan bahawa kita mampu berdebat, berdiskusi dengan baik walaupun mungkin pada sesetengah keadaan kita mungkin berbeza pendapat. Kelima-lima panel semuanya mempunyai pendirian masing-masing, tetapi mampu mengutarakan secara hikmah.

Kedua, budaya berani untuk kehadapan untuk berforum, bukan baling batu dan label-melabel.

Kehadiran kesemua panelis pada malam tadi menunjukkan bahawa mereka berani untuk hadir bersama hujah mereka, bukan hanya menyerang yang lain di media sosial, label melabel antara satu sama lain. Badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu seharusnya mengamalkan prinsip ini. Berani untuk berhadapan menegakkan hujah kebenaran di saat masyarakat semakin keliru dengan isu yang dipolemikkan.

panelis-forum

Ketiga, budaya berdiskusi dengan hujah, bukan menegakkan benang yang basah.

Penyampaian hujah panelis cukup hebat dan mereka hadir dengan hujah yang sangat bagus melalui rujukan bahan ilmiah dan pandangan ulamak-ulamak yang muktabar. Ini jelas dilihat apabila Dr Maszlee Malik membuka ruang perbincangan yang cukup ilmiah dengan mendatangkan hujah dan pandangan ulamak yang muktabar mengenai istilah kafir harbi ini seperti pandangan Abdullah Ben Bayyah, Muhammad Abu Zuhrah, Sheikh Yusoff Alqaradhawi, Dr Wahbah Azzuhaily dan sebagainya. Namun, kupasan ilmiah tersebut tidak disahut dan diteruskan pada pusingan yang seterusnya oleh panel-panel yang lain padahal pendapat ulamak inilah yang menjadi rujukan untuk kita meletakkan isu ini tepat pada zaman kita hari ini.

Keempat, budaya berlapang dada dan keterbukaan dalam mencari penyelesaian terbaik.

Tidak dinafikan berlakunya elemen sindir-menyindir antara ahli panel dan ia berakhir dengan berlapang dada dalam mencari penyelesaian terbaik. Sikap wasatiyyah dalam memberi pendapat akan menyebabkan hadirin merasa aman dan rahmah terhadap hujah yang diutarakan.

Kelima, budaya mencari ulama yang kontemporari.

Iaitu ulama yg boleh menterjemahkan polemik semasa kepada membina bangsa yang lebih cemerlang bukan ulamak yang bertelagah antara satu sama lain sehingga menyebabkan masyarakat merasa jemu dan hilang hormat atau ‘thiqah’ kepada mereka.

Selain itu, ulamak yang kita cari adalah ulamak yang berakhlak baik, tutur katanya dijaga dan tidak menyerang peribadi yang lain. Dan amat malang sekali, ad panel yang gagal mendatangkan kupasan yang rahmah, sebaliknya lebih kepada jenaka dan sindiran serta serangan peribadi kepada panel dan penonton. Ini bukan akhlak yang sepatutnya dari seorang ulamak kontemporari yang akan membimbing ummah ini menuju jalan yang sejahtera.

Untuk konklusinya, isu ini seharusnya kita popularkan terma dakwah secara rahmah dan penjelasan yang harmoni kepada golongan bukan islam, bukannya memerangi mereka dan melabel mereka dengan Kafir Harbi. Pandanglah golongan bukan islam itu dengan pandangan rahmah, mereka berhak mendapatkan penjelasan dan berdebatlah dengan mereka dengan baik.

Dakwah kepada bukan islam diterajui oleh banyak NGO seperti Hidayah Centre, PERKIM dan sebagainya. Kita harus sentiasa komited dalam usaha dakwah kepada golongan bukan Islam dan usaha mendekati mereka secara rahmah dan harmoni sesuai dengan perutusan Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmah kepada sekelian alam.

“Embracing plurality, Managing Diversity”

Most Popular

To Top