Gaya Hidup

Konsert Selena Gomez vs ‘Konsert’ Dr Zakir Naik – Mohd Afiq Mohd Nor

selena-gomez1

Sebagaimana kita telah mendengar adanya bantahan-bantahan terhadap ‘konsert’ Dr Zakir Naik beberapa bulan lepas, begitu juga kita telah dan akan mendengar lagi bantahan demi bantahan terhadap Konsert Selena Gomez  yang dirancang akan diadakan pada minggu hadapan bertarikh 25 Julai 2016.

Alasan-alasan terhadap bantahan program Dr. Zakir Naik adalah kerana sensitiviti agama, penghinaan terhadap agama Hindu dan kononnya beliau pernah mempromosi serta menyokong aktiviti kumpulan ekstremis.

Manakala bantahan terhadap konsert Selena Gomez pula adalah kerana juga sensitiviti agama, serta konsert itu mampu merosakkan aqidah, ibadah dan akhlak umat Islam.

Isu seperti ini akan sentiasa berputar kembali apabila tiba masanya. Malah ia akan diambil kesempatan oleh golongan tertentu untuk mensensasikannya bagi meraih sokongan terhadap pihaknya. Ia boleh menjadi semakin buruk apabila mencapai tahap label-melabel sekiranya ada ‘batu api’ dicampakkan ditengah-tengahnya.

Jika kita perhatikan dengan teliti, isu ini boleh berada sama ada diantara dua penghujung ekstremisme atas bantahannya atau berada ditengah-tengah atas toleransinya.

Tatkala kedua-duanya berada di posisi penghujung yang saling berjauhan, maka isu seperti ini sukar untuk mencapai kata sepakat serta keputusan yang terbaik. Masing-masing akan cuba menegakkan hak dan pendirian sendiri untuk memastikan ia dapat dipenuhi. Contoh dalam kes ini, mereka akan membantah sehingga program itu tidak akan dianjurkan langsung. Manakala satu pihak lagi, akan berusaha sungguh-sungguh untuk memastikan ia dapat diadakan seperti dirancang.

Walhal andai kedua-dua pihak berada di pendekatan posisi pertengahan, mengambil sikap memahami dan toleransi antara satu sama lain, secara logik akalnya, satu keputusan yang terbaik boleh dicapai dengan adil dan harmoni.

Konsert Selena Gomez

Umum mengetahui bagaimana suasana dan atmosfera yang bakal dijelmakan oleh Konsert Selena Gomez ini berdasarkan kepada penganjuran konsert-konsert sebelum ini yang pernah diadakannya di tempat-tempat lain di luar negara.

Oleh itu, jika konsert seperti itu ingin dianjurkan di Malaysia, di mana negaranya dalam perlembagaan secara rasmi agamanya adalah Islam, budayanya adalah ketimuran, dan salah satu rukun negaranya adalah kesopanan dan kesusilaan, perkara-perkara tertentu yang akan menyentuh sensitiviti terhadap asas-asas itu mesti diambil perhatian oleh pihak penganjur dan ia mesti dimaklumkan kepada Selena Gomez secara langsung.

Namun, selagi ia tidak melanggar peraturan-peraturan penganjuran sesuatu program yang besar seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai contoh etika pemakaian, gangguan bising, keselamatan peserta serta penularan pengedaran arak dan dadah, sepatutnya ia tidak ada masalah. Tetapi, jika berlaku sebaliknya, tindakan tegas atau saman besar terhadap penganjur dan artis mesti dikenakan.

Perlu dihalang?

Adalah agak sukar untuk sesuatu program seperti ini dihalang 100% kerana hak rakyat terutamanya bagi bukan Muslim untuk berhibur tidak bertentang dengan perlembagaan. Maka, ia juga perlu dihormati semua dan pada masa yang sama tidak diabaikan asas-asas lain yang ada di dalam perlembagaan dan rukun negara juga.

Jangan sampai kes-kes seperti yang telah berlaku di Music Festival Asia di Bukit Jalil (2014) dan isu wanita bertudung di konsert K-pop (2015) berulang kembali barulah hendak bertindak, bak kata pepatah sudah terhantuk baru terngadah. Kita juga tidak mahu jatuh ke lubang yang sama untuk kali kedua.

Halangan oleh Ketua Polis Negara terhadap ceramah Dr. Zakir Naik yang dirancang diadakan di Melaka pada awal tahun ini sebenarnya juga menggunakan asas yang sama kerana tajuknya ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ boleh mengundang kegusaran dan menyentuh sensitiviti agama masyarakat Hindu. Manakala, programnya di Bukit Jalil pula dibenarkan kerana ia tiada kaitan dengan unsur-unsur seperti itu.

Kecelaruan dalam mengurus perkara seperti ini sepatutnya tidak timbul lagi setelah negara mencapai lebih 50 tahun kemerdekaannya. Malangnya ia tidak berlaku, kerana ada pihak tertentu suka sahaja mempermainkan isu perkauman dan agama ini semata-mata untuk mempertahankan kedudukan politiknya terutamanya ketika musim pilihan raya.

Hedonisme

af7

Menyentuh kepada isu ini di kalangan umat Islam, bagi saya ia adalah peranan pelbagai pihak seperti badan-badan Islam, NGO-NGO, institusi pendidikan untuk meningkatkan lagi usaha dakwah bagi memberi kesedaran, ilmu dan kefahaman terutamanya di kalangan para remaja terhadap cabaran-cabaran budaya hedonisme yang suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, yang akhirnya boleh menjejaskan akhlak mereka.

Budaya Hedonisme inilah yang menyebabkan para belia dan remaja kini mudah terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan arak, dadah rokok, judi, bahan-bahan lucah, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang amat membimbangkan.

Rancangan-rancangan hiburan mingguan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in A million dan pelbagai lagi yang semakin berkembang melalui media-media massa arus perdana telah diberi publisiti yang meluas sehinggakan generasi muda mengambilnya sebagai matlamat dalam meraih kejayaan kehidupan.

Kaedah halangan secara undang-undang adalah salah satu cara, namun generasi kini sudah bijak dalam manoeuvre mereka untuk mengatasi sekatan-sekatan itu. Mereka boleh sahaja menggunakan pelbagai alternatif yang terbentang dalam era globalisasi kini untuk menikmatinya jika mula terhalang.

Oleh itu pendekatan mendidik, memberi kesedaran, menyebarkan ilmu dan kefahaman secara berterusan dan lebih gigih yang sebenarnya akan lebih memberi kesan yang mendalam dan menjadi asas yang kukuh kepada jati diri mereka pada masa akan datang.

Gambar Kredit: BeritaPremium

Most Popular

To Top