Global

Perbandingan ringkas sistem pentadbiran dan pengurusan di United Kingdom dan Malaysia

uk-malaysia

Selepas isu BREXIT dan UK mendapat Perdana Menteri wanita yang baru, ini adalah perbandingan ringkas antara kerajaan UK dan Malaysia.

3 minggu lepas, dunia digemparkan dengan keputusan UK untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui EU Referendum.

Hari ini, dunia sekali lagi digemparkan dengan pelantikan Perdana Menteri (PM) baru UK, Theresa May. Perdana Menteri wanita yang kedua selepas Margaret Thatcher.

Beberapa perkara menarik yang saya perhatikan :

1. Pemimpin kerajaan dan parti pembangkang di UK mudah melepaskan jawatan dan menarik diri daripada sesuatu jawatan.

Hal ini mungkin disebabkan kurang mendapat sokongan ataupun sekiranya terlibat dengan isu atau skandal. Walaupun hakikatnya mereka boleh lagi memegang jawatan tersebut, tetapi mereka merasakan lebih baik mereka melepaskannya dan memberi laluan kepada orang yang lebih layak.

Banyak sangat contoh yang kita boleh lihat. Yang paling hampir adalah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri oleh David Cameron. Kalau ikut boleh sahaja beliau tebalkan muka kekal sebagai PM, tetapi beliau memberi laluan kepada orang lain.

david-cameron

Begitu juga dengan Boris Johnson. Beliau adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi PM menggantikan David Cameron, walau bagaimanapun beliau turut menarik diri walaupun hanya selangkah lagi nak jadi PM. Ya, PM beb. Bukan ketua kelas.

Jika dibandingkan dengan situasi di Malaysia, baik pemimpin kerajaan ataupun parti pembangkang, jarang-jarang kita dengar mereka meletak jawatan walaupun dikaitkan dengan banyak isu dan skandal. Selagi mana boleh memegang jawatan tersebut, maka mereka akan memegangnya puluhan tahun.

2. Bilangan jawatan yang kurang di peringkat kementerian, jabatan dan universiti di UK berbanding Malaysia.

Buat masa ini, tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri di UK. Semuanya diuruskan oleh Perdana Menteri, menteri kabinet dan menteri-menteri lain.

Sebelum ini pernah wujud jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2010-2015 yang dipegang oleh Nick Clegg. Pada waktu tersebut, kerajaan UK merupakan kerajaan campuran daripada Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat. Walaubagaimanapun, pada tahun 2015 Perti Konservatif menang besar dan tidak perlu lagi mewujudkan kerajaan campuran. Jadi jawatan Timbalan Perdana Menteri dihapuskan.

Begitu juga dengan jawatan Timbalan Menteri. Tiada jawatan timbalan menteri di UK, yang ada hanya Menteri sahaja.

Jika melihatkan pentadbiran kerajaan UK, ianya terdiri daripada kementerian dan jabatan yang diketuai oleh Secretary of State/ Minister. Mereka ini teridiri ahli parlimen-dewan rakyat (House of Commons) dan ahli dewan negara (House of Lords).

Jika dibandingkan dengan kementerian di Malaysia, ada 3 individu paling atas iaitu Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha (KSU). Tetapi di UK, 3 jawatan ini disekalikan menjadi satu jawatan sahaja yang dikenali sebagai Secretary of State/Minister.

Begitu juga dengan pengurusan universiti. Di Malaysia terdapat banyak fakulti, berbeza dengan universiti di UK yang bilangan fakulti lebih sedikit. Mereka gabung fakulti-fakulti ini menjadi satu fakulti besar. Sebagai contoh, kebanyakan universiti di Malaysia, fakulti kejuruteraan dibahagiakan mengikut bidang kejuruteraan (Mekanikal, Elektik dan lain-lain). Berbeza dengan kebanyakan universiti di UK yang menggabungkan semua jenis fakulti kejuruteraan ini kepada satu fakulti sahaja.

Sudah pasti terdapat kebaikan dan keburukan masing-masing.

Kebaikan

Apablla bilangan jawatan bertambah, maka peluang pekerjaan lebih luas. Sebagai contoh ada 3 jawatan paling atas di kementerian yang boleh di isi oleh 3 orang (Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha). Berbanding di UK yang hanya di isi oleh seorang sahaja (Secretary of State)

Begitu juga diperingkat universiti. Apabila bilangan fakulti bertambah, maka jawatan dekan turut bertambah. Lagi ramai individu yang boleh memegang jawatan tersebut.Tambahan lagi, setiap dekan mempunyai timbalan dekan dan pembantu peribadi. Secara tak langsung ianya membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Keburukan

Jika bilangan jawatan bertambah, sudah pasti kos juga akan bertambah. Setiap jawatan tersebut akan diberikan gaji dan elaun. Anda sendiri tahu jumlah gaji dan elaun yang diterima oleh Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Dekan dan sebagainya. Apabila bertambahnya bilangan kementerian atau bilangan fakulti, maka sudah pasti dana dan peruntukan akan bertambah untuk membayar gaji dan elaun mereka.

Saya mempunyai rakan British yang bekerja sebagai civil servant (ala-ala macam Pegawai Tadbir Diplomatik-PTD) di Kementerian Sains dan Universiti UK. Ya, di UK mereka gabungkan jadi satu kementerian, berbanding di Malaysia yang ada dua kementerian berbeza, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di Jepun lagi jimat, mereka gabungkan 4 kementerian di Malaysia :

  1. Kementerian Sukan
  2. Kementerian Kebudayaan
  3. Kementerian Pendidikan
  4. Kementerian Sains

menjadi satu kementerian sahaja yang dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.

3. Penjawat awam/kakitangan kerajaan.

Di UK, terdapat 3 jenis kategori pekerja :

  1. Civil servants (kakitangan sivil) : mereka yang bekerja dengan kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan. Kalau di Malaysia adalah mereka yang kebanyakannya bekerja di Putrajaya, seperti Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)
  2. Public servants (kakitangan awam) : mereka yang bekerja di agensi awam seperti sekolah, hospital, polis dan lain lain.
  3. Private servants (kakitangan swasta) : mereka yang selain di atas.

Di Malaysia, kategori 1 (civil servants) dan kategori 2 (public servants) digabungkan dan dikenali sebagai penjawat awam/kakitangan awam.

Disclaimer :

Tujuan perbandingan ini dibuat bukanlah untuk mengatakan yang mana satu paling baik. Sudah pasti setiap sistem dan kaedah mempunyai kebaikan dan keburukan sendiri. Ianya juga bergantung kepada situasi di negara masing-masing. Mungkin di UK perlu sistem A, manakala di Malaysia perlu sistem B.

Info-info yang saya dapat ini adalah hasil perbincangan dengan rakan British yang bekerja dengan kerajaan UK di Kementerian Sains dan Universiti dan juga melalui lam web rasmi kerajaaan UK.

Gambar kredit: ITV

Most Popular

To Top