Agama

Siapa Yang Berpuasa Sebenarnya? – Kamil Yazid

edit_h.sani-mrym

Ada sebuah permainan yang tak sepatutnya dianggap permainan.

‘Game’ yang zalim dalam kalangan warga Arab yang kurang daya fikir. Taharrush Jamai atau Taharrush Gamea. ‘Bermain’ rogol dan cabul wanita dalam kelompok besar lelaki di ruang awam.
Disebalik kebanggaan revolusi Mesir beberapa tahun lalu, ada memori hitam terpahat di Medan Tahrir buat wartawan CBS. Ketika itulah Lara Logan dicabul ganas dan terbuka oleh sekumpulan besar lelaki.

Dikatakan bahwa ia wujud sejak lama dahulu di Mesir, dan sebahagian katanya bermula di belahan barat Eropah. Taharrush ini katanya tercipta untuk menakut-nakutkan kaum wanita dalam masyarakat mereka supaya tidak keluar dari rumah kecuali bersama suami mereka.

Seperti ada sesuatu yang gagal dicerna akal.

1. ‘Wrong Number!’

Berfikir secara salah, arah yang sangat keliru, dan matlamat yang tidak tepat.

Melalui watak utama dalam filem PK, Aamir Khan mengkritik salah arah yang ditunjukkan dalam amalan beragama, disebut sebagai ‘wrong number’.

Lain permasalahannya, lain pula ‘jalan penyelesaiannya’. Mencapah daripada permasalahan asal.
Begitulah apabila permasalahannya tentang untuk kononnya menjaga kesejahteraan wanita, tetapi caranya adalah dengan mencabul, menzalimi wanita.

Awal Ramadhan, saya membaca satu kenyataan yang dikeluarkan seorang Mufti sebuah negeri, menyarankan supaya bersempena Ramadhan ini, wanita bukan Islam disarankan menutup aurat demi menghormati orang yang berpuasa.

Dan sekitar akhir Ramadhan pula seorang kenalan saya, saudari Maryam Lee menuntut ‘kebebasan’ untuk makan secara umum sewaktu Ramadhan ketika sedang didatangi haid. Meskipun saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan ‘tuntutan’ tersebut, tetapi respon umum ‘netizen’ membuat hati rasa hiba.

Ketika ramai antara kita menolaknya atas dasar tuntutan moral dan etika, bahasa sebahagian kita pula melambangkan sebaliknya. Antara yang mencuri perhatian saya, komen menyamakan ‘hak’ makan tersebut dengan ‘hak’ untuk saudari tersebut disetubuhi secara terbuka. Juga antara lain, memburukkan keperibadian saudari tersebut dengan menyatakan bahawa ibu ayah pasti menyesal melahirkan beliau.

Bagaimana dalam kita menuntut seseorang supaya menghormati atas dasar moral, perilaku kita pula seolah membunuh idealisme itu sendiri? Itukah sikapnya orang yang sedang berpuasa?

2. Bertanya dan menjawab.

Dalam berjuta video di Youtube, ada beberapa yang suka saya tonton.

Antaranya, rakaman ABIM’s Public Lecture Series bertajuk Revival & Reform in the Malay World.
Sebahagian kecil intipati syarahan Prof. Madya Dr. Syed Khairudin Aljunied, menekankan tuntutan untuk islah (memperbaiki) bermula dengan diri sendiri.

Dimensi keperibadian yang disebut beliau didalam video tersebut, adalah dimensi penting dalam mencorak gerakan keagamaan pada masa akan datang.

Justeru yang harus sebenarnya berpuasa adalah diri Muslim sendiri. Yang harus memelihara aurat adalah diri Muslim sendiri. Yang harus mengelak dari singgah ke tempat yang tidak sepatutnya, adalah diri Muslim sendiri.

Yang seharusnya patuh kepada etika dan moral yang diterima umum dalam masyarakat, adalah kita sendiri. Yang harus mendidik diri menjaga pertuturan, kita sendiri. Yang harus berlatih untuk tidak menyakiti hati jiran, kita sendiri. Yang harus konsisten dengan amal-amal kebajikan, kita sendiri.

Yang harus bersama menyantuni golongan kurang bernasib baik, kita sendiri. Yang harus lebih menghormati wanita, kita sendiri. Yang harus belajar untuk tidak membazir, kita sendiri. Yang harus terus menerus memperbaiki diri, diri kita sendiri.

Biarlah kita yang tunjukkan bahawa kitalah yang sedang berpuasa, berbanding menyuruh orang lain bersifat seperti orang yang berpuasa. Biarlah akhlak yang menzahirkan seseorang yang berpuasa.
Bukan paksaan untuk menghormati, tanpa sebelumnya dia terlebih dahulu menghormati rakan-rakan lain.

Memetik nasihat hikmah oleh Raja Ali Haji melalui Gurindam 12;

“Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memelihara dari yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.”

Menilai semula peranan diri, kita pun bertanya, siapa yang sebenarnya berpuasa?

Penulis ialah Kamil Yazid, seorang mahasiswa di USIM. Penuntut ilmu sepenuh masa.

Most Popular

To Top