Mahasiswa

Sistem Pendidikan Malaysia – Apakah Ada Ruang Penyelesaian?

pendidikan

Isu sistem pendidikan di Malaysia sering dibincangkan oleh masyarakat umum. Di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun universiti, perkara ini dibangkitkan saban tahun oleh golongan ibu bapa, guru-guru dan pelajar sendiri yang merasakan bahawa sistem yang sedia ada tidak dapat memberikan kemudahan untuk mereka mempamerkan kebolehan serta bakat yang terpendam dalam diri masing-masing. Media juga turut menyokong suara-suara ini, dan pelbagai artikel telah ditulis untuk menyatakan pendirian sesetengah individu penting seperti pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang kurang bersetuju dengan polisi pendidikan yang diamalkan.

Apakah yang menjadi punca utama ketidakpuasan hati pelbagai pihak dengan isu sistem pendidikan ini, sehinggakan semua golongan mempunyai hujah berkenaan isu terbabit? Dan sejauh manakah isu sistem pendidikan Malaysia memberikan impak negatif kepada pelajar dan masyarakat umum yang mungkin kelihatan tidak tersentuh sedikit pun dengan perkara ini? Apakah pula peranan yang boleh dimainkan golongan mahasiswa selaku pihak luar dalam menangani isu ini?

Sistem pendidikan informal

Sebelum wujudnya sebuah negara merdeka yang diberi nama Malaysia (atau Malaya sebelum 1963), pelbagai sistem pendidikan digunapakai secara informal dan tidak berpusat. Sebagai contoh, masyarakat Melayu yang menetap di kawasan luar bandar menitikberatkan pendidikan agama Islam, maka pengajaran berkaitan pembacaan dan pemahaman kitab suci al-Quran diberi perhatian di samping pengajian hukum-hukum agama yang lain. Masyarakat India yang dibawa masuk untuk bekerja di kawasan ladang pula diberikan pendidikan bahasa dan matematik asas oleh para majikan di waktu itu, dan masyarakat Cina yang menetap di bandar pula menubuhkan sekolah persendirian atau swasta untuk menekankan aspek bahasa dan pengiraan. Sistem sekolah mubaligh yang dibawa masuk oleh pihak British juga agak terkenal, tetapi kemasukannya agak terhad disebabkan faktor status dan sukatan pelajaran yang terkehadapan berbanding apa yang ditawarkan oleh sistem-sistem informal yang lain.

Namun begitu, sistem sekolah mubaligh (yang boleh dikenali melalui nama-nama berunsur Inggeris seperti Convent, Anglo Chinese School, La Salle dan lain-lain lagi) kian diterima masyarakat umum, dan semakin ramai pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa menghadiri sekolah-sekolah berkenaan. Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantara utama dikuasai oleh para pelajar sekolah, meskipun latar belakang mereka mungkin menampakkan seolah-olah mereka tidak layak untuk berjaya berbuat demikian. Sukatan pelajaran yang dibawa dari negara Barat yang lebih cenderung ke arah akademik turut membolehkan para pelajar ini mendapat ilmu yang tersusun dan dikemaskini seiring dengan peredaran zaman.

Sistem peperiksaan

Dewasa ini, sistem pendidikan yang ada menumpukan aspek-aspek yang difikirkan penting untuk menyediakan para pelajar untuk menghadapi peperiksaan-peperiksaan umum, seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) (kini diganti dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tidak dinafikan, sistem ini amat membantu para pengajar dan pelajar dalam menguasai sesuatu subjek atau bidang secara tersusun, dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Akan tetapi, sistem ini juga dilihat kurang berfokus dalam melahirkan para pelajar yang benar-benar tahu akan minat dan kemampuan sebenar masing-masing, yang akan membantu sesudah mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan memasuki alam kerjaya. Bidang-bidang yang ditawarkan di kebanyakan sekolah harian terhad kepada bidang sains tulen dan kesusasteraan, sedikit sebanyak menyempitkan aliran pemikiran serta visi kerjaya para pelajar. Dengan memperbanyak subjek-subjek yang menumpukan kepada minat pelajar seperti pengaturcaraan komputer, pertukangan, kejuruteraan dan lain-lain lagi, mereka dapat mengetahui arah tuju kerjaya di peringkat awal lagi, dan mampu mencorakkan sistem pendidikan Malaysia ke arah sistem yang mengutamakan kemampuan pelajar di samping memastikan kecemerlangan akademik secara holistik.

Bagi mengusahakan inisiatif sebegini, pihak berwajib perlulah memainkan peranan, dengan sentiasa berkomunikasi dengan para pengajar, pelajar dan ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak yang dikasihi. Sesungguhnya sistem pendidikan sesebuah negara adalah aspek penting yang perlu diteliti sebaik mungkin sebelum sesuatu langkah diambil, kerana pendidikan adalah cara terbaik untuk membentuk sesebuah generasi. Sesuatu langkah yang direncana tidak boleh diambil mudah dan diteruskan hanya kerana ia difikirkan bagus atau bermutu oleh satu-satu pihak sahaja. Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Hakikatnya, para pengajar dan pelajar menghadapi isu-isu peribadi berdasarkan masalah akademik disebabkan implementasi sistem yang rapuh, sedikit kelam-kabut dan kurang jelas, lalu mengakibatkan kurangnya kefahaman tentang sistem evaluasi pelajar yang turut mempengaruhi tahap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Untuk menghasilkan pelajar yang bermutu, golongan tersebut tidak sepatutnya diperlakukan seperti ‘tikus makmal’. Dengan mengambil kira pendangan semua pihak, barulah sistem pendidikan yang berkualiti dan maju dapat diwujudkan dan diterimapakai masyarakat umum, termasuk golongan pelajar.

Peranan mahasiswa

Sebagai mahasiswa, isu-isu pendidikan di peringkat rendah amat penting untuk dikuasai. Sudah tentu, isu berkaitan sistem sedia ada tidak mungkin dapat ditangani dalam jangka masa terdekat, tetapi perbezaan umur yang rapat dengan golongan pelajar sekolah menengah khususnya boleh dijadikan motivasi untuk membantu kumpulan pelajar terbabit. Antara pendekatan yang boleh dicuba adalah melalui sistem mentor-mentee, di mana mahasiswa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membantu pelajar-pelajar yang mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu subjek atau topik. Ada kalanya pendekatan yang dipelopori oleh golongan mahasiswa lebih efektif kerana konsep yang lebih santai serta komunikasi dua hala yang membentuk suasana pembelajaran yang lebih harmoni.

Selain itu, para mahasiswa juga boleh cuba untuk memberi gambaran tentang aplikasi konsep-konsep
yang dipelajari oleh golongan pelajar di peringkat menengah, supaya mereka lebih faham tentang keperluan kefahaman konsep dan subjek. Ia juga membantu pelajar tersebut tahu tentang kaedah untuk menceburi bidang yang berkaitan dengan minat mereka di peringkat awal. Aspek sedemikian kurang dijelaskan oleh para pengajar yang lebih fokus ke arah pembelajaran secara teori, yang berbalik kepada isu sistem pendidikan sedia ada.

Sistem pendidikan sesebuah negara yang berkesan adalah kunci kepada pembangunan generasi yang matang serta masyarakat moden yang mampu untuk membangun sendiri. Oleh itu, amatlah penting untuk pihak berwajib memikirkan cara terbaik untuk memastikan para pelajar yang dilahirkan oleh sistem pendidikan Malaysia berkualliti dan dapat menyumbang kepada produktiviti dan pembangunan negara di waktu akan datang. Nasib mereka tidak seharusnya diperjudikan sewenang-wenangnya, kerana hakikatnya merekalah yang akan menentukan hala tuju Malaysia kelak. Kesepakatan antara semua pihak yang terlibat diperlukan demi memastikan satu sistem pendidikan yang kompetitif dan inovatif dapat diwujudkan, sekali gus menghasilkan situasi menang-menang, khususnya bagi golongan pelajar sebagai pencorak masa depan negara.

Ditulis oleh Muhammad Fadhil Abdul Rahman, seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil jurusan PhD business economic (Ijazah Kedoktoran). Merupakan Aktivis IKRAM Siswa UPM

Most Popular

To Top