Kesihatan

Adakah pisang boleh membutakan mata?

pisang

Pada satu hari, Pak Pandir dan Mak Andih menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Di dalam keretapi tersebut, mereka diberikan seorang sebiji pisang. Kemudian…

Pada satu hari, Pak Pandir dan Mak Andih menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Di dalam keretapi tersebut, mereka diberikan seorang sebiji pisang. Secara kebetulan, seumur hidup mereka, mereka tidak pernah melihat buah pisang. Oleh itu mereka sangat teruja untuk merasai keenakan buah tersebut.

“Sayang, u jangan makan buah ni dulu. Biar I rasa dulu. Manalah tahu buah ni pahit dan beracun. Biarlah I yang mati dulu”, kata Pak Pandir.

Mak Andih bersetuju. Pak Pandir pun membuka kulit pisang tersebut. Sewaktu Pak Pandir menggigit pisang tersebut, secara kebetulan keretapi melalui sebuah terowong yang amat gelap. Secara tiba-tiba Pak Pandir menjerit.

“Sayang, jangan makan pisang tu! Buah pisang ni buat kita jadi buta”

Cerita pendek ini pasti nampak lucu bagi kita kerana kita tahu yang menggelapkan pandangan Pak Pandir adalah terowong yang dilalui dan bukannya pisang yang dimakan.

Walaupun lucu, cerita ini sebenarnya mengajar kita bagaimana persepsi kita ke atas sesuatu perkara boleh menyebabkan kita melakukan kesimpulan yang tidak tepat.

Contohnya, para perawat yang menggunakan bahan yang tidak mempunyai asas saintifik dalam perubatan untuk merawat bermacam jenis penyakit.

Dan kadangkala apabila ‘rawatan’ mereka mendatangkan hasil, mereka hebat mencanangkan keberkesanan bahan yang mereka gunakan. Namun apakah dapat dibuktikan samaada keberkesanan itu disebabkan oleh bahan tersebut (pisang) atau faktor-faktor lain (terowong).

Adakah perawat-perawat tersebut mempunyai disiplin ilmu yang jelas untuk menilai keberkesanan rawatan? Berupayakah mereka memahami kesan-kesan rawatan yang diberikan samaada positif atau negatif? Adakah mereka boleh menerangkan risiko rawatan? Yakinkah mereka tentang dos yang selamat mengikut umur, keadaan dan tahap penyakit? Adakah rawatan tersebut akan berkesan kepada semua?

Kefahaman tentang ilmu merawat sesuatu penyakit perlu datang dengan pembelajaran dan hasil kajian mengikut disiplin-disiplin ilmu yang betul. Jika tidak, minda dan pemikiran kita akan terjerat dan terkongkong seperti kisah Pak Pandir dan Mak Andih tadi.

Most Popular

To Top