Gaya Hidup

Bagaimana Menangani Isu Pedofilia di Malaysia?

pedophiles

Pedofilia ialah keinginan seks secara langsung terhadap kanak-kanak. Setiap pihak perlu melihat secara serius isu jenayah Pedofilia yang sungguh mencemaskan ini.

3 hari yang lepas, saya telah dijemput ke Darul Quran Kuala Kubu Bharu bagi membentangkan tentang satu isu jenayah yang agak meruncing melibatkan maruah anak-anak kecil kita iaitu PEDOFILIA. Kerisauan saya ini perlu dikongsikan agar rakyat Malaysia khususnya, mempunyai kesedaran, selalu berhati-hati & serius untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Apa Itu Pedofilia?

Di dalam ilmu perubatan, Pedofilia diertikan sebagai ‘sexual feelings directed towards children’ (keinginan seks secara langsung terhadap kanak-kanak). Ia merupakan salah satu ketegori gangguan psikiatri melibatkan orientasi seksual yang mana kebanyakan pedophile boleh menjadi seperti heteroseksualiti, homoseksual atau biseksual. Ia melibatkan rangsangan erotik, fantasi dan tarikan seksual terhadap kanak-kanak. Bedasarkan DSM-III (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) dan Persatuan Psikiatri Amerika, 1987) menyenaraikan ciri-ciri dan kriteria penting pedofilia sebagai berulang-ulang, dorongan seksual, kebangkitan fantasi dan hubungan seks serta berlaku sekurang-kurangnya tempoh enam bulan. Ia melibatkan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak yang umumnya berumur 13 tahun ke bawah. Sumber: WebMD

Nur Fitri Azmeer & Richard Huckle

fitri-azmeer

Nur Fitri Azmeer Nordin

Pada November 2014, Malaysia pernah digemparkan dengan seorang pelajar Malaysia pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, yang dihukum penjara 5 tahun selepas disabit dengan 17 kesalahan memiliki, membuat serta menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak lebih daripada 30,000 imej. Nur Fitri yang juga merupakan pelajar tajaan MARA, menuntut di Imperial College telah ditahan di kediamannya serta mengaku bersalah di mahkamah Southwark Crown, London.

Baru-baru ini pula, kita dikejutkan pula dengan berita seorang warga Britain, Richard Huckle, 30 tahun, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia di antara enam hingga 12 tahun.

Huckle dilaporkan telah mencabul & membuat serangan seksual sehingga 200 kanak-kanak! Kebanyakkan mereka dari komuniti miskin, gelandangan di Kuala Lumpur ketika berada di Malaysia sebagai guru Bahasa Inggeris pada usia 18 atau 19 tahun.

Rakyat Malaysia sekalian, lihatlah, bayangkanlah, betapa seorang pedofil boleh mengancam hampir 200 kanak-kanak. Bagaimana jika 10 orang pedofil? Maka 2000 kanak-kanak berpotensi diancam! Menurut seorang aktivis, Syed Azmi, di Malaysia telah ada satu kumpulan Pedofilia yang ahlinya telah melebihi 750 orang. Sumber lain pula mengatakan lebih 70,000 ahli atas talian seluruh dunia. Ini sangat membimbangkan kita semua!

Sentuhan Selamat & Tidak Selamat

Saya berterima kasih kepada Wanita IKRAM daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) atas kecaknaan & respon yang pantas untuk menganjurkan wacana ilmiah bertajuk “Pedofilia: Sejauh Mana Kita Diancam?”.

Menurut Hjh Susilawati Hamzah, Ketua Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan, penekanan tentang ruang peribadi (personal space) dan sentuhan selamat serta tidak selamat (safe and unsafe touch) perlu difahami dengan jelas oleh kanak-kanak bermula di alam pra-sekolah lagi. Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan HUKM, Dr. Harlina Halizah Bt Hj Siraj, pendidikan seksualiti ini perlu untuk semua lapisan peringkat umur, bukan sekadar hanya untuk kanak-kanak kerana ia adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.

Pendidikan seksual ini mengambil kira segala aspek berkenaan ruang privasi, interaksi antara berlainan gender, aurat & ruang lingkupnya, fungsi alat sulit, keselamatan diri & tindakan.

Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan melalui Unit Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak memandang serius jenayah Pedofilia yang sangat membimbangkan ini. Tiada peruntukan hukuman berat untuk jenayah Pedofilia dalam perundangan di Malaysia, bahkan undang-undang sedia ada juga tidak bersifat mendidik (educate), & tidak mampu menerapkan ketakutan (fear) dalam diri penjenayah menjadikan jenayah ini semakin berleluasa.

Akta Kanak-Kanak 2001 tidak menyatakan secara jelas sebarang peruntukan untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah pedofilia. Perkara 17(2) (c) Akta Kanak–Kanak 2001 menyatakan bahawa kanak-kanak yang teraniaya dari segi seks atau terlibat dalam apa-apa aktiviti berunsur seks harus diberikan perlindungan. Namun tidak dinyatakan bagaimana pencegahan harus dibuat supaya jenayah ini dapat dihindarkan.

Iklan kempen kesedaran pedofil

Iklan kempen kesedaran pedofil ‘Innocence en Danger’

Kesimpulan

Penulis prihatin terhadap situasi ini dan ingin menggesa beberapa tindakan berikut:

  1. Meminda dengan segera Akta Kanak-Kanak 2001 dan mengambil kira penambahan peruntukan untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah Pedofilia. Pelaku yang disabitkan dengan jenayah Pedofilia ini perlu dikekang oleh undang-undang daripada berurusan atau bekerja di tempat yang melibatkan kanak-kanak seperti pusat penjagaan, institusi pendidikan dan taman-taman rekreasi.
  2. Meningkatkan kawalan sekuriti siber dengan mewujudkan pasukan polis siber yang mengawasi secara serius dan mengambil tindakan terhadap laman sesawang lucah yang mengeksploitasi kanak-kanak.
  3. Menyediakan sistem sokongan yang padu, kaunseling dan tempat perlindungan yang selamat untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa.
  4. Menitik beratkan pendidikan tentang ruang peribadi (personal space) dan sentuhan selamat serta tidak selamat (safe and unsafe touch) yang perlu difahami dengan jelas oleh kanak-kanak bermula di alam pra-sekolah lagi.
  5. Meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, penjaga dan guru tentang bahaya yang mungkin menimpa kanak-kanak dibawah pengawasan mereka, dengan sentiasa berwaspada dan prihatin terhadap tingkahlaku di luar kebiasaan kanak-kanak.
  6. Mewujudkan pelan pemulihan (rehabilitasi) dan kaunseling untuk pesalah yang terlibat di dalam jenayah seksual kanak-kanak agar jenayah ini tidak diulangi lagi oleh pelaku.

Perlu diingat, dalam kes ini, majoriti mangsa (prey) ialah kanak-kanak & pemangsa (predator) ialah orang dewasa, maka usaha mendidik tentang perilaku buruk Pedofilia perlu untuk semua lapisan umur kerna setiap lapisan berpotensi untuk menjadi ‘prey’ mahupun ‘predator’.

Sudah tiba masanya untuk setiap pihak melihat secara serius isu jenayah Pedofilia yang sungguh mencemaskan ini. Mengambil langkah menghentikan jenayah yang menjijikkan ini adalah tanggungjawab dan urusan semua pihak. Sejauh mana sesebuah masyarakat itu memelihara keselamatan kanak-kanak dan melindungi mereka melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai dan menyayangi kanak-kanak. Semoga bumi Malaysia menjadi sebuah negara rahmah yang melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Malaysia menuju negara rahmah!

Kredit gambar: Melvister, Best Ads on TV dan DW.

Most Popular

To Top