Agama

Menilai Sains Melalui Sistem Ilmu Hadis – F.H Abad

scientific-research

Seringkali kita dengar mengenai kajian-kajian yang menunjukkan sel-sel kanser telah dapat dibunuh oleh beberapa bahan-bahan terutamanya yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan. Kebiasannya kajian-kajian tersebut merupakan kajian yang dijalankan oleh ahli sains di peringkat universiti. Oleh sebab itu masyarakat kadang-kala melihat ahli perubatan di hospital dan klinik tidak telus dalam memberikan rawatan dan mempunyai agenda tersendiri sewaktu merawat pesakit.

Untuk mendalami masalah ini, kita perlu fahami jenis kajian saintifik yang dilakukan. Secara amnya, kajian yang melibatkan penghasilan ubat ini terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Kajian In Vitro
  2. Kajian In Vivo

Kajian in vitro adalah kajian yang dijalankan di dalam makmal yang menggunakan kulat, sel, kuman dan sebagainya dan dijalankan di luar sistem biologi normal organisma hidup (dijalankan di dalam tabung uji/radas). Contoh kajian in vitro adalah kajian ke atas sel kanser yang dilakukan di atas piring petri (petri dish).

Kajian in vivo pula merupakan kajian yang dijalankan di dalam sistem biologi sesuatu organisma. Contoh kajian in vivo adalah mengkaji kesan sesuatu ubat ke atas perubahan fisiologi haiwan atau manusia.

Kebanyakan kajian yang menunjukkan keberkesanannya dalam membunuh kanser adalah kajian-kajian jenis in vitro. Sekiranya ada pun kajian in vivo, kebanyakannya adalah kajian-kajian berbentuk eksperimen ke atas haiwan. Kajian-kajian begini mempunyai tahap pembuktian yang sangat rendah dan belum boleh dijadikan hujah untuk kaedah berubat dalam perubatan.

TAHAP-TAHAP KAJIAN

Tahap kebolehpercayaan dan penentusah kesahihan sesuatu kajian dalam ilmu sains bergantung kepada jenis dan format kajian yang dilakukan. Sebagai analogi tahap kesahihan kajian sains ini bolehlah disamai ilmu takhrij dan kesahihan hadis (Walaupun ini bukanlah perbandingan yang literal antara kedua-duanya). Secara tamsilannya, ia boleh dibandingkan seperti berikut:

  • Hadis Sahih = Meta Analysis
  • Hadis Hasan = Randomized Clinical Trials
  • Hadis Daif Lemah = Observational Studies (Cross sectional, cohorts, case control etc)
  • Hadis Daif = Case Studies, narrative review, expert opinion
  • Hadis Palsu = cakap-cakap yang tiada pembuktian

Kajian-kajian makmal atau kajian ke atas haiwan tidak mencapai tahap pembuktian walaupun pada kadar yang minima. Ia biasanya hanya digunakan sebagai data tambahan untuk menyokong hasil-hasil kajian yang lebih kuat. Ia juga boleh digunakan sebagai asas untuk meneruskan kajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk sesuatu hasil kajian digunapakai dalam rawatan pesakit, ia perlulah mencapai tahap kajian yang paling tinggi (Meta Analysis / Randomized Clinical Trials). Ini sama konsepnya dalam sistem sumber hukum agama Islam yang kebanyakannya hanya menerima Hadis Sahih dan Hadis Hasan sebagai dalil dalam sesuatu perkara.

Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati dalam menilai sesuatu kajian yang dikongsi kepada kita. Ini kerana kajian tahap rendah tidak dapat memastikan keberkesanan dan keselamatan sesuatu bahan untuk dijadikan rawatan kepada manusia.

Kita perlu bersikap lebih kritikal apabila disuapkan dengan informasi-informasi kesihatan terutamanya oleh ‘perawat-perawat’ yang mungkin cuba untuk menjual produk mereka dan mengambil kesempatan ke atas pesakit yang terdesak.

Bagi mereka yang mempunyai amanah ke atas ilmu, sepatutnya kajian-kajian seperti ini tidak dipasarkan dengan tujuan mengaut keuntungan. Apa yang perlu dilakukan adalah meneruskan kajian tersebut sehingga mencapai tahap pembuktian yang sahih.

Gambar kredit: Financial Tribune

Most Popular

To Top