Agama

Menilai Semula Peranan Gerakan Islam dalam Proses Pembinaan Negara Bangsa – Helmy Sabtu

jasser-auda-malaysia

Setiap pemimpin yang lahir dari gerakan Islam hendaklah berupaya untuk menjadi pemimpin kepada sebuah negara bangsa.

Dr. Jasser Auda dalam sebuah wacana yang bertajuk “Maqasid Al-Syariah and Its Application in Nation Building” yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia di ibu pejabatnya di Seri Kembangan menyeru agar gerakan Islam menyelaraskan kembali objektif dan perjuangan mereka agar selari dengan perkembangan aliran pemikiran Islam yang terkini.

Dr. Jasser Auda yang merupakan salah seorang sarjana yang membahaskan pendekatan Maqasid Syariah menjelaskan bahawa setiap gerakan Islam perlu memainkan peranan yang optimum dalam proses pembinaan negara bangsa. Hal ini supaya setiap pemimpin yang lahir dari gerakan Islam berupaya untuk menjadi pemimpin kepada sebuah negara bangsa, dan bukannya hanya menjadi pemimpin yang tersepit dengan ideologi Islam semata-mata.

Menurut Dr. Jasser Auda lagi, pembinaan sebuah negara Islam sebenarnya perlu diselarikan dengan pembinaan sebuah negara bangsa, dan bukannya membina negara Islam dalam negara bangsa. Umat Islam tidak lagi boleh lari daripada berpegang kepada prinsip negara bangsa yang diamalkan oleh setiap negara pada hari ini. Konsep negara bangsa yang digunapakai hari ini bukanlah berasaskan agama sebaliknya adalah bercirikan kedaulatan, wilayah, sempadan, perlembagaan, dan kebangsaan tidak lagi boleh dinafikan.

Negara-negara yang mengaku merupakan negara Islam termasuklah Malaysia pada hari ini bukanlah negara Islam dalam erti kata yang sebenarnya dan penyatuannya bukanlah bersifat penyatuan ummah, sebaliknya hanyalah negara-negara bangsa yang telah dipisah-pisahkan dan tidak lagi bersatu. Maka, gerakan Islam hari ini berhadapan dengan sebuah situasi negara yang mana memerlukan kepada sebuah pembinaan semangat kebangsaan dan perlu berhadapan dengan kepelbagaian etnik dan agama.

Maka, ulama kontemporari seperti Yusuf Al-Qaradhawi dan ramai lagi sarjana Muslim telah memperkenalkan sebuah konsep yang dinamakan sebagai “ad-Daulah Al-Madaniyyah” ataupun negara sivil. Dalam konteks ini, Islam akan menjadi rujukan kepada negara. Hakikatnya, realiti dunia pada hari ini tidak membolehkan sebuah negara Islam didirikan. Mengambil contoh negara Islam pada zaman Rasulullah SAW, akan terdapat banyak perbezaan yang tidak sama rata yang harus diimplementasikan dalam sebuah negara Islam.

Contohnya adalah Muslim perlu membayar zakat dan menyertai tentera, polis, dan mahkamah, sedangkan bukan Muslim pula perlu membayar jizyah dan tidak layak untuk menyertai ketenteraan dan badan kerajaan yang lain. Hal ini tentu sekali sukar untuk dilaksanakan dalam sebuah negara bangsa hari ini kerana setiap negara hari ini mendukung semangat ekualiti manakala perlembangaan pula berfungsi sebagai sebagai autoriti tertinggi dalam negara.

Menurut Dr. Jasser Auda, gerakan Islam pada hari ini perlu memainkan peranan signifikan dalam proses pembinaan negara bangsa. Gerakan Islam perlu dilihat relevan dalam membantu pembinaan negara bangsa dengan membantu mencipta sebuah negara bangsa yang utuh dan kuat. Dalam konteks Malaysia, apa yang perlu dilakukan oleh gerakan Islam adalah dalam memainkan peranan dalam membina jambatan penghubung antara Muslim dan juga bukan Muslim yang terdiri daripada latar belakang etnik dan agama yang berbeza.

Misi bagi sebuah gerakan Islam di Malaysia seharusnya adalah untuk melahirkaan rakyat Malaysia yang kuat atau “strong Malaysian”. Dalam memberikan gambaran dalam hal ini, Dr. Jasser menyatakan sekiranya Malaysia mempunyai “strong Malaysian”, maka kekuatan tersebut akan boleh mempengaruhi negara-negara di luar selain Malaysia. Malaysia akan mampu membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di negara Arab, dan menggunakan pengaruhnya untuk menyelamatkan saudara-saudara Muslim di negara lain yang ditindas.

Dalam erti kata yang lain, sebuah negara Malaysia yang kuat akan melahirkan sistem pendidikan yang kukuh, sistem sosial yang lebih terpelihara, sistem politik yang lebih subur, dan lagi membolehkan kelangsungan institusi Islam dan dakwah terus berjalan dengan rancak. Sebuah pembinaan negara bangsa yang lemah dan gagal menurut Dr. Auda hanya akan melemahkan lagi penyatuan Islam.

Hal ini boleh diteladani daripada fenomena “Arab Spring” yang melanda dunia Arab pada 2011 yang memperlihatkan rakyat bangkit menentang sistem pemerintahan diktator di beberapa negara Arab, yang kemudiannya menyaksikan kemenangan gerakan Islam sebagai parti pemerintah yang baru seperti di negara Mesir dan Tunisia. Kemenangan gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir umpamanya telah membawa agenda pembangunan negara Islam telah mensasarkan Mesir untuk dibangunkan sebagai negara Islam. Malangnya, agenda ini gagal kerana asas kepada pembinaan Mesir moden adalah negara bangsa dan bukannya negara Islam.

Beliau akhirnya mencadangkan agar gerakan Islam di Malaysia perlu mula membina hubungan baik yang utuh dengan masyarakat berbilang etnik serta membina kekuatan ekonomi yang mampan. Dengan cara ini, maka syariah juga dapat ditegakkan. Beliau menyeru agar pelaksanaan syariah pada hari ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas di mana pembinaan negara bangsa yang kukuh serta sistem ekonoi yang mampan juga merupakan salah satu daripada tuntutan yang akan memenuhi matlamat syariah.

Apa yang lebih penting bagi gerakan Islam pada hari ini adalah untuk mengatasi isu kebuluran, kemiskinan, dan buta huruf. Ini adalah nilai Islamik yang perlu ditonjolkan oleh gerakan Islam. Agenda pembangunan, isu hak asasi manusia juga adalah sebahagian dari kerangka syariah yang meluas jika dilihat dari konteks Maqasid Syariah. Jalan penyelesaian bagi membolehkan gerakan Islam dilihat terus relevan adalah dengan memulakan dengan membina negara bangsa yang kuat.

Most Popular

To Top