Agama

Apakah Perbezaan Syariah Islamiah, Maqasid Syariah & Hudud di Malaysia?

jasser-audah-maqasid

Melihat realiti Malaysia, penulis senada dengan pandangan Dr. Jasser Auda yang menyatakan undang-undang Islam secara asasnya memang patut dilaksanakan, namun secara politiknya amat berisiko untuk dikuatkuasakan.

Alhamdulillah, sejujurnya penulis mengambil masa yang agak lama untuk menulis tentang tajuk ini, dengan harapan, semoga Allah santuni tulisan ini serta diberi ilham yang baik, berhati-hati untuk memilih perkataan-perkataan yang benar-benar harmoni, tidak untuk memaku mana-mana pihak bahkan tidak untuk mengejut fitnah yang sedang tidur. Penulis menulis ini kerana penulis juga sayang akan Islam, mahu juga melihat Islam tertegak di bumi Malaysia dengan rahmah & harmoni bukan dengan ‘Oh Haram’, label sana sini atau fitnah.

Penulis juga memilih tajuk ini kerana ia merupakan isu yang penting untuk dibahas bersama, kerana ia melibatkan ukhuwwah ummah. Perpaduan sangat dituntut dalam Islam, maka tidak hairan jika Allah menyebutnya dalam beberapa surah seperti surah al-Hujurat ayat 10, al-Anfal ayat 46, dan Ali ‘Imran ayat 103. Ini membuktikan peri penting perpaduan dalam Islam. Ukhuwwah asas ke’izzahan.

Mengurus Perbezaan & Kepelbagaian

Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,…”

Benar setiap Muslim itu bersaudara namun ia seakan-akan kata-kata penyedap hujah tanpa pengertian apabila berdepan dengan Muslim berlainan fikrah, pendapat & ijtihad.

Inilah sebab penulis mulakan dengan bab mengurus perbezaan & kepelbagaian kerana penulis mahu menyampaikan mesej mengenai, ummah belum mampu untuk capai perpaduan jika ummah belum benar-benar berani untuk memahami, mengenali, atau tidak bersedia untuk menerima perbezaan & kepelbagaian yang ada di Malaysia khususnya kepelbagaian Muslim itu sendiri.

Dengan menghukum kebenaran Islam itu milik eksklusif satu-satu kaum, pertubuhan, persatuan ataupun parti, merupakan satu pandangan yang penulis kira sangat simplistik & mengambil mudah. Cetusan kefahaman ini akan mengakibatkan sifat “Holier than thou”, penyakit dia sahaja yang betul, mengkuduskan diri dengan kebenaran sementelahan yang lain dinerakakan. Sedangkan Islam bersifat inklusif serta ia satu cara hidup yang sempurna.

Labelan Kepada Sesama Muslim

Kebelakangan ini perangai label-melabel ini menjadi-jadi. Yang menyedihkan pula ialah Muslim sesama Muslim melabel-label dengan labelan yang tidak mencerminkan akhlak Islam. Bertambah buruk lagi apabila labelan itu diucapkan mereka-mereka yang mewakili imej atau duta Islam.

Ucapan seperti kafir, barua, mufti anjing, perosak, parasit, penjilat, macai, sekular, liberal, penunggang agama, mabuk, ketum, dedak perlu dijauhi. Perkataan-perkataan itu sendiri tidak salah namun menjadi salah apabila penggunaan perkataan-perkataan itu salah. Tidak meletakkan pada tempatnya. Ucapan-ucapan buruk ini telah pun Allah larang dalam surah an-Nisa’ ayat 148, firman-Nya,

لَّا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Kepada rakan-rakan pejuang Islam di luar sana, jangan anggap penulis musuh. Kita nasihat-menasihati. Islam ini milik kita bersama. Islam bukan milik kalian perseorangan. Penulis mahu pecahkan satu khurafat, iaitu faham Islam bukan hanya terbatas kepada jenama-jenama Islam semata. Ramai lagi mereka-mereka yang faham Islam, lebih faham daripada kalian dan tidak bersama. Cuma, apabila tidak bersama dalam perjuangan, tidak bermakna menentang. Ada perkara boleh bersama. Janganlah mendabik dada anggap kalian sahaja yang buat kerja dakwah. Setiap insan berjuang dibidang masing-masing. Setiap orang berjasa. Ini sekadar nasihat penulis.

Syariah Islamiah, Maqasid Syariah & Hudud di Malaysia

Isu ini yang paling hangat diperbahaskan. Namun kelemahan dalam memahami isu ini juga dipolemikkan untuk menghalal segala labelan yang buruk-buruk itu kepada sesama Muslim hanya kerana berbeza pendapat, fikrah dan ijtihad.

Melihat realiti Malaysia, penulis senada dengan pandangan Dr. Jasser Auda yang menyatakan undang-undang Islam secara asasnya memang patut dilaksanakan, namun secara politiknya amat berisiko untuk dikuatkuasakan. Menurut Dr Jasser Auda lagi, Hudud tidak perlu lagi dilaksanakan di Malaysia kerana yang lebih diutamakan adalah mencapai kata sepakat, kestabilan dalam banyak perkara, bukannya menimbulkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan.

Keadaan dan kestabilan yang dikatakan sesuai bagi perlaksanaan Hudud ialah perlu melihat kepada المآلات (cause and effect). Jika perlaksanaannya membawa kepada ضرار (mudarat) yang lebih besar, maka perlaksanaannya itu belum cukup sesuai. Selain itu, Hudud akan sesuai dilaksanakan apabila Indeks Syariah tercapai (model seperti Indeks Syariah Malaysia). Bahkan, Hudud juga sesuai untuk dilaksanakan apabila majoriti menyokongnya.

Selain itu, penangguhan Hudud jika dilihat kepada kenyataan Syeikh Abdullah Ben Bayyah ialah kerana jika dipaksakan perlaksanaannya di negara-negara Islam akan membawa kepada fitnah dan salah sangka terhadap Islam.

Kita perlu mengambil ibrah dari sejarah negara Sudan yang melaksanakan Hudud dalam masa yang sama gagal untuk memahami waqi’ rakyat dan negara Sudan. Hasilnya, Sudan menjadi negara yang lemah dalam pengurusan & pemerintahan.

Gelandangan di Malaysia

Gelandangan di Malaysia

Jangan silap baca, penulis tidak mengatakan melaksanakan Hudud akan menyebabkan negara lemah, tidak sama sekali, maksud penulis ialah, sebelum melaksanakan hukum ini, perlu diambil kira segala aspek seperti kadar celik huruf, kadar pengangguran, kadar kemiskinan, secara ringkasnya realiti sebuah negara agar perlaksanaan hukum ini benar-benar adil & saksama. Bukan menzalimi. Kerana maqasid paling utama Hudud ialah keadilan.

Syariah Bukan Hudud Semata

Di dalam wacana “Maqasid al-Shariah and Its Application in Nation-Building” bertempat di Kompleks Utama Pertubuhan IKRAM Malaysia oleh Dr Jasser Auda ada menyebutkan tentang penghayatan sebenar maksud Syariah.

Undang-undang Syariah bukannya hanya mengenai Hudud semata-mata. Bahkan, Syariah juga bukannya mengenai Hudud semata-mata. Hudud hanyalah sebahagian daripada Syariah manakala Syariah lebih luas konsep & ruang lingkupnya. Perlu difahami, menegakkan keadilan adalah Syariah. Memberi makan rakyat faqir miskin ialah Syariah. Memberi kerja kepada penganggur ialah Syariah. Memberi perlindungan kepada orang lemah ialah syariah. Menangkap pencuri duit berbilion-bilion adalah Syariah. Memberikan pendidikan juga adalah Syariah.

Memetik kata-kata Dr Yusuf Al-Qardawi dalam al-Jazeera mengenai “Hudud dalam wacana fiqh masa kini” beliau menyatakan,

“Sebelum dilaksanakan hukum hudud, beri makan (terlebih dahulu) kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih (para) pekerja. Mesti dilakukan ini (semua) sebelum melaksanakan (hukum) hudud”.

Contoh lain ialah di Mesir, hampir sekitar 65-75% rakyat tidak tahu membaca. Sewaktu Dr. Morsi menjadi Presiden Mesir, beliau pernah ditanya tentang Hudud, dan respon beliau adalah, perlu diperbaiki ekonomi dan memupuk dalam kalangan rakyat Mesir agar benci gejala rasuah kerana jika rakyat Mesir masih miskin dan mampu mengambil rasuah, keberadaan untuk mendapat empat saksi tidak sukar (kerana boleh dirasuah) maka akan ramai rakyat Mesir dijatuhkan hukuman Hudud melalui saksi-saksi palsu dan hakim-hakim korup. Hudud hanyalah wasilah untuk mencapai keadilan kerana boleh sahaja berlaku kezaliman pada perlaksanaan Hudud jika ada gejala rasuah, salahguna kuasa dan saksi-saksi palsu.

Penulis ingin mencadangkan agar pembaca dapat mengkaji aspek hukum Hudud dari kaca mata Fiqh al-Maalat (Cause and effect) seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Abdullah Ben Bayyah dalam penulisan beliau.

Adakah berkeras dalam melaksanakan undang-undang Islam akan menyelesaikan masalah ini? Sebab itu, penulis menegaskan sekali lagi, perlu mencapai kestabilan dahulu, undang-undang Islam secara asasnya memang patut dilaksanakan, namun secara politiknya amat berisiko untuk dikuatkuasakan. Syariah itu luas konsep & ruang lingkupnya.

Rang Undang-Undang 355

Dr Jasser Audah dalam bukunya,

‎إناطة الأحكام مع المقاصد

ada menyebut bahawa, untuk merawat sesebuah maksiat boleh secara tadarruj, iaitu berperingkat seperti berperingkatnya Islam dalam merawat orang yang ketagihan arak. Kita lihat bagaimana akhlak Quran dalam hikmah pengharaman arak. Seperti mana arak itu diharam secara berperingkat, maka begitu juga jika mahu hukum Hudud diaktakan juga perlu berperingkat. Jika arak itu pada awal Islam dulu terus diharam secara total pastinya ia akan mencemar imej Islam kerana dilihat sebagai agama yang keras & ketat sedangkan Islam hadir bagi memudahkan & membantu urusan manusia. Perbuatan “jump into conclusion” tidak membantu manusia memahami kehadiran Islam sebagai pemudah urusan manusia.

Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. NSTP/GHAZALI KORI

Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. NSTP/GHAZALI KORI

Secara peribadi penulis menyokong usaha meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah melalui Rang Undang-Undang 355. Saban hari, ramai insan mula mengerti dan sedar akan keperluan kepada hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah-penjenayah. Masalah yang dihadapi mangsa-mangsa seperti mangsa rompak dan rogol sebagai contoh jelas menunjukkan undang-undang sivil tidak berkesan untuk menanam rasa takut bahkan jenayah ini seakan-akan tidak mahu berhenti. Laporan-laporan berita saban hari berjaya menyedarkan ummah agar sudah tiba untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah. Perlaksanaan berperingkat begini yang paling ideal pada menurut penulis.

Kesimpulan

Kata-kata imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah cukup untuk memberi kefahaman ringkas tentang tajuk ini, kata imam :

“الشريعة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها ، ورحمة كلها ، وحكمة كلها ،ومصلحة كلها ، فكل مسألة خرجت عن العدل إلي الجور ، وعن الرحمة إلي ضدها ، وعن المصلحة الى المفسدة، وعن الحكمة إلي العبث فليست من الشريعة وان أدخلت فيها بالتأويل

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.

[Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in]

Terakhir, penulis berharap agar penulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan yang baik kepada rakyat Malaysia khususnya Muslim. Sememangnya wujud pelbagai jenis golongan manusia dalam memahami Syariah, Maqasid Syariah & Hudud ini. Apapun sebagai Muslim, penulis juga berasa bertanggungjawab dalam meninggikan syiar Islam, mahu juga meninggikan syiar Islam. Namun, penulis juga mengambil kira aspek lain seperti kefahaman, waqi’ rakyat dan negara, “Cause and Effect” perlaksanaan, serta apa yang dikatakan al-Wa’yu al-Maqasidi (Falsafah objektif syariat). Maaf salah silap penulis dalam penulisan ini. Semoga bermanfaat.

SERBA SEDIKIT TENTANG DR JASSER AUDA

  1. Pemegang PhD dalam falsafah undang-undang Islam Universiti Wales.
  2. Pemegang PhD dalam analisis sistem Universiti Waterloo, Kanada.
  3. Pengerusi Pengajian Maqasid Al-Shatibi di International Peace College, Afrika Selatan.
  4. Pengarah Eksekutif Institut Maqasid (badan pemikir global yang berpusat di London).
  5. Beliau telah menulis 25 buah buku dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris (sebahagian daripada buku-buku tersebut telah diterjemahkan ke 25 bahasa).
  6. Pernah menjadi Profesor di Universiti Waterloo (Kanada), Universiti Alexandria (Mesir), Universiti Islam Novi Pazar (Sanjaq), Fakulti Pengajian Islam Qatar dan Universiti Amerika Sharjah..

Gambar Kredit: Malaysia Edition, NST

Most Popular

To Top