Agama

Pertimbangan antara Maslahah dan Mafsadah dalam Politik Islam

maslahah-mafsadah

Dalam Islam, sudut muamalat atau hubungan sosial tidak berdiri di atas nas-nas khusus, tetapi dibina atas asas-asas yang bersifat umum, dan bertujuan bagi membina keadilan dan kedamaian.

Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan keadilan dan kedamaian. Di samping sisi ‘ubudiyahnya, Islam mengangkat tinggi nilai manusiawi dan cara berinteraksi. Berbeza dengan sudut ibadah yang mempunyai dalil-dalil yang khusus dan kerangka yang berfokus, sudut muamalat atau hubungan sosial tidak berdiri di atas nas-nas khusus, tetapi dibina atas asas-asas yang bersifat umum, dan bertujuan bagi membina keadilan dan kedamaian.

Maka dalam sesebuah pentadbiran negara Islam, penilaian terhadap sesuatu perkara perlu dilihat daripada kaca mata yang lebih luas, bukan dilihat sebagai isu yang bersendirian atau isolated. Dengan mengambil kira pertimbangan ini, boleh jadi seseorang pemerintah itu membiarkan mafsadah yang telah merebak dalam masyarakat, dan menyelesaikan mafsadah lain yang lebih kecil. Pertama kerana, menyelesaikan mafsadah yang lebih utama itu boleh menyebabkan berlaku mafsadah yang lebih besar, atau yang kedua, menyelesaikan mafsadah yang lebih kecil itu lebih penting dan utama.

Atau, seseorang pemerintah itu tidak melaksanakan maslahah yang wajib dilaksanakan, kerana apabila melaksanakannya boleh menyebabkan mafsadah yang lebih besar daripada maslahahnya, ataupun kerana melaksanakan masalah lain yang lebih kecil merupakan perkara yang lebih utama. Inilah sebenarnya Siyasah Syariyyah (politik Islam), sepertimana yang ditakrifkan oleh Ibn ‘Aqil, bahawa siyasah merupakan suatu perlaksanaan untuk mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan, walaupun tidak ada wahyu yang turun atau pensyariatan daripada Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Mafhum Maslahah dan Mafsadah

Maslahah dari sudut bahasa bermaksud manfaat atau kebaikan. Manakala dari sudut istilah fiqhnya, maslahah bermaksud sesuatu yang membawa manfaat dan menolak mudharat. Ulama usul fiqh mengkhususkan konteks maslahah yang membawa maksud pemeliharaan terhadap tujuan pensyariatan (agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta). Maka, boleh difahami bahawa maslahah merupakan wasilah untuk mencapai dan memelihara maqasid syariat (tujuan pensyariatan).

Adapun mafsadah, ianya adalah sesuatu yang bertentangan dengan maslahah, iaitu bermaksud pengabaian terhadap maqasid syariat, dengan membawa mudharat atau menolak manfaat. Atau bahasa yang lebih mudahnya, mafsadah ialah setiap perkara yang bertentangan dengan maqasid syariat.

Pertimbangan antara Maslahah dan Mafsadah

Pertimbangan atau dalam bahasa arabnya muwazanah antara maslahah dan mafsadah berdiri di atas prinsip membawa manfaat dan menolak mudharat. Secara asasnya, menolak mudharat diutamakan berbanding membawa manfaat. Hal ini berlaku ketika mana maslahah dan mafsadah pada tahap yang sama, atau mafsadah lebih besar berbanding manfaat. Manakala dalam keadaan maslahah lebih besar berbanding mafsadah, maka membawa manfaat lebih diutamakan berbanding menolak mafsadah.

Daripada asas ini, kita boleh fahami bahawa tidak mungkin bagi seseorang mukallaf untuk melaksanakan sesuatu perkara yang mendatang manfaat, tetapi dalam masa yang sama mendatangkan mafsadah yang lebih besar. Begitu juga, seseorang mukallaf tidak boleh meninggalkan sesuatu manfaat, hanya kerana takut berlakunya mafsadah jarang-jarang berlaku, seperti apa yang disebutkan oleh Al-‘Izz Abdul Salam dalam buku agungnya Al-Qawaid Al-Kubra.

Dalam masa yang sama, pertimbangan ini juga berlaku sesama perkara maslahah. Jika berlaku pertembungan antara dua maslahah, maka maslahah yang lebih besar dan lebih umum perlu diutamakan berbanding maslahah yang bersifat khusus dan lebih kecil. Kaedah fiqhiyyah menyebut, ‘maslahah masyarakat lebih diutamakan berbanding maslahah individu’. Andai maslahah itu boleh dilaksanakan serentak, maka itu lebih baik. Jika tidak, penilaian perlu dibuat dan dipilih maslahah yang lebih besar. Hal yang sama dalam menolak mafsadah.

Contoh pada zaman Nabi dan para sahabat

Pertimbangan antara maslahah dan mafsadah ini boleh dilihat dalam banyak contoh yang ditunjukkan oleh Nabi dan para sahabat. Berikut merupakan sebahagian daripada kisah-kisahnya.

1. Peristiwa Nabi sallallahu alaihi wasallam ingin membina ka’bah sepertimana binaan asal oleh Nabi Ibrahim, tetapi baginda tidak melakukannya. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari Nabi bersabda, “Wahai `Aisyah, kalaulah bukan kerana kaummu (yakni kaum Quraisy) masih baru meninggalkan suasana jahiliyyah nescaya aku akan mengarahkan supaya diruntuhkan Ka`abah dan dibinakan semula dengan memasukkan bahagian yang telah dikeluarkan oleh Quraisy dan merendahkan binaan (pintunya) di atas tanah, membuat baginya dua pintu – satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat, binaannya menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim alaihis salam.”

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani mensyarahkan hadis ini dengan berkata: “Faedah yang boleh didapati daripada hadis ini, ialah meninggalkan maslahah, kerana ingin menjaga daripada berlakunya mafsadah. Atau dengan kata lain, meninggalkan usaha yang boleh menolak kemungkaran (membiarkan mafsadah), kerana takut akan berlaku kemungkaran yang lebih besar…”

Imam Syatibi juga menyebutkan, boleh untuk meninggalkan sesuatu yang dituntut, kerana takut berlakunya mafsadah yang lebih besar daripada maslahah perkara yang dituntut itu, sepertimana yang disebutkan dalam hadis Aisyah. Perkara yang serupa juga disebutkan oleh Ibn Taimiyyah dalam bukunya Fatawa Kubra.

2. Kisah Nabi sallallahu alaihi wasallam menghalang daripada membunuh orang-orang munafik. Dalam satu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Jabir r.a, Umar Al-Khattab meminta untuk memenggal kepala Abdullah Bin Ubay. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkata: “Biarkanlah dia, agar manusia tidak berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya.” Nabi sallallahu alaihi wasallam menghalang sahabat membunuh Abdullah Bin Ubay yang penuh dengan kezaliman, untuk mencapai maslahah iaitu, menunjukkan kesatuan masyarakat Islam di hadapan musuh-musuhnya. Dan untuk menolak mudharat yang lebih besar iaitu, cetusan api peperangan dalaman dan kekeliruan, serta melemahkan pembentukan negara islam yang sedang dibina. Maka, walaupun membunuh si munafik itu merupakan maslahah dan menghilangkan mudharat serta menolak kemungkaran, tetapi perlaksanaannya akan membawa mafsadah yang lebih besar berbanding maslahah yang dibawa.

3. Peristiwa Nabi sallallahu alaihi wasallam menghalang daripada menjatuhkan hukuman hudud semasa peperangan? Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi daripada Busr Bin Artoh: Aku mendengar Nabi sallallahu alaihi wasallam berkata: “Jangan kamu memotong tangan pencuri ketika dalam peperangan.” Amirul Mukminin Umar Al-Khattab juga menyebutkan: “Seseorang panglima tentera tidak boleh menyebat atau melaksanakan hukuman hudud ke atas seseorang daripada kalangan muslimin ketika dalam peperangan, sehinggalah setelah pulang ke tempat asal. Supaya dia tidak dihasut syaitan dan mendekatkan diri dengan pasukan kuffar.”

Ibn Al-Qayyim dalam bukunya I’lam Al-Muwaqqi’in menyebutkan berkaitan kisah ini, “ini merupakan antara batas-batas Allah (hudud), tetapi ianya dilarang perlaksanaannya ketika peperangan, kerana takut akan berlaku kesan yang lebih teruk dan lebih dibenci Allah; iaitu sahabat akan mendekatkan diri kepada pasukan musyrikin.” Kalaulah ianya semudah seperti kata-kata kebanyakan orang ‘ini hukum Allah, pasti Allah akan bantu perlaksanaannya’, sudah tentu tidak timbul isu ini di zaman Nabi dan para sahabat. Tetapi dengan kebijaksaan kepimpinan mereka, mereka melihat kepada kesan dan implikasi atau apa yang disebut sebagai النظر إلى المآلات dalam setiap perlaksanaan.

Contoh-contoh Semasa

1. Maslahah membina sokongan ummah terhadap perintah-perintah syariat, sama ada hudud atau lain-lainnya, lebih diutamakan berbanding maslahah melaksanakan perintah tersebut secara sekaligus tanpa keharmonian dan berperingkat-peringkat. Jika tidak, ianya akan membawa kepada penolakan terhadap syariat dan pemerintah. Dr. Zulkifli Hasan ada menyebutkan dalam bukunya:

“Perancangan menegakkan syariah bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat tetapi ia perlu melibatkan usaha dan perancangan jangka masa panjang.”

2. Maslahah mendapatkan sokongan dan ketenangan daripada orang-orang bukan Islam yang minoriti lebih diutamakan berbanding maslahah mengutip jizyah daripada mereka, merobohkan rumah-rumah ibadat, atau menghalang pembinaannya. Jika tidak, akan berkemungkinan berlaku fitnah dalaman dan penentangan terhadap pemerintah.

Perkara ini boleh dilihat dalam kisah Umar Al-Khattab dan Nasrani Bani Taghlib, apabila mereka tidak ingin membayar jizyah, tetapi ingin membayar zakat. Sekaligus permintaan ini sebenarnya merupakan pengiktirafan sebagai warganegara dan mendapat hak yang sama seperti muslim yang lain. Lalu Umar bersetuju dengan permintaan tersebut dan mensyaratkan untuk membayar dua kali ganda, dan mereka tidak boleh menasranikan anak-anak mereka. Bani Taghlib terkenal sebagai bangsa Arab yang kuat dalam peperangan. Maslahah mengekalkan mereka dalam negara Islam lebih besar berbanding maslahah mengutip jizyah. Jika Umar berkeras ingin menggunakan istilah ‘jizyah’ terhadap mereka, akan berlaku mafsadah yang lebih besar seperti penggabungan mereka dengan tentera Rom ketika itu.

3. Maslahah menutup pusat-pusat zina dan kedai-kedai arak dengan membekalkan kepada mereka jaminan kerja-kerja yang syarie untuk mencukupkan keperluan mereka dan memberi peluang taubat kepada mereka serta menggabungkan mereka dengan masyarakat Islam, lebih diutamakan berbanding menjatuhkan hukuman dan menjadikan mereka sebagai musuh dan penjenayah negara.

Hukuman perlulah dilakukan secara berperingkat dan harmoni, sepertimana pengharaman arak yang dicela sebanyak dua kali sebelum diharamkan secara total. Lihat sahaja kisah Umar Abdul Aziz, beliau tidak terus menghukum rakyatnya, sehingga anaknya berkata: “Mengapa tidak dilaksanakan semua perkara Islam, padahal kita sudah memerintah?” Umar bin Abdul Aziz menjawab, “Jangan kamu tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, kemudian diharamkan pada kali yang ketiga. Aku bimbang, jika aku laksanakan kebenaran kepada manusia secara total, bimbangnya mereka menolak kebenaran itu secara total juga.”

Konklusi

Setelah kita melihat pelbagai kisah daripada zaman Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat, konsep muwazanah ini perlulah diteliti oleh seseorang pemimpin dalam negara Islam. Bahkan, para agamawan juga perlu memahami dengan bijak setiap permasalahan yang berlaku supaya tindakan dan kata-katanya tidak menimbulkan fitnah kepada agama mulia ini.

Umara’ dan ulama perlu memahami setiap isu dengan menyeluruh, bukan melihat sesuatu perkara sebagai benda yang terpisah. Dengan itu, pertimbangan antara maslahah dan mafsadah boleh dilakukan dengan penuh adil dan harmoni, sekaligus memperlihatkan kepada dunia keindahan Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun, untuk menguasai konsep ini, perlulah diteliti dengan mendalam ilmu-ilmu asas syariah, kerana agama ini tidak berdiri di atas nafsu dan kehendak manusia, tetapi berdiri di atas nas-nas, sama ada umum ataupun khusus.

Pada hari ini, isu-isu negara yang berlaku di Malaysia seperti penyelewangan, ketidakadilan sistem, rasuah, penindasan ke atas rakyat, kerajaan yang boros, kepimpinan yang tidak telus, dan macam-macam lagi menunjukkan bahawa kezaliman ini perlu dihentikan segera, kerana sungguh, ianya sangat bertentangan dengan asas-asas Islam. Kita meyakini bahawa hudud dan undang-undang jenayah Islam merupakan satu kewajipan bagi sesebuah kerajaan Islam. Tetapi dengan keadaan semasa, takut-takut akan berlaku fitnah yang lebih besar, apabila rakyat dihukum, sedang pemimpin Islam terus melakukan penindasan. Dalam buku Generasi Kedua Politak Islam, penulis menyebutkan:

“Terdapat ramai sarjana Muslim kontemporari dan pemimpin gerakan Islam yang bersetuju untuk menangguhkan perlaksanaan hudud berdasarkan kepada faktor semasa dan realiti politikal Islam itu sendiri. Generasi Baru Politikal Islam kini memfokuskan pendekatan yang mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat dan masyarakat dan tidak lagi hanya berlegar di sekitar cita-cita menegakkan Undang-undang Syariah. Usaha melaksanakan hudud secara berhikmah merupakan perjuangan mendaulatkan syariah. Tanggapan negatif terhadap Undang-undang Syariah harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberi kefahaman menerusi pendekatan berhikmah. Pelaksanaan hudud juga perlu dilakukan menerusi pendekatan secara rahmah dan al-rifq atau kasih sayang serta mengambil pendekatan yang lebih mudah dan realistik dengan keadaan semasa.”

Maslahah membangunkan negara, membina kekuatan ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat, memberikan hak-hak dengan adil, dan membina suasana harmoni merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius. Kita ingin negara Malaysia ini dalam suasana yang aman dan rahmah seperti firman Allah yang menyebutkan,

“Sungguh, bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Allah) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri, (kepada mereka dikatakan), “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” [Saba’ : 15].
بلدة طيبة ورب غفور

Most Popular

To Top