Gaya Hidup

Wajarkah Pokémon GO diharamkan di Malaysia?

pokemon-go-malaysia

Baru-baru ini, pihak mufti Wilayah Persekutuan sendiri memutuskan untuk mengharamkan permainan Pokemon GO di Malaysia.

Baru-baru ini Pokémon GO telah dilancarkan di Malaysia setelah ia dilancarkan di US dan UK pada awal bulan Julai. Maka timbullah beberapa isu sehinggakan pihak mufti Wilayah Persekutuan sendiri memutuskan untuk mengharamkan permainan tersebut.

Saya sendiri telah mencuba bermain Pokemon GO yang baru dilancarkan di Malaysia. Saya mendapati permainan ini ada kelebihan dan kekurangannya sendiri.

Senaman berjalan kaki

Pemain perlu keluar dari rumah dan digalakkan berjalan kaki untuk mengumpul sebanyak mungkin Pokemon. Jika selama ini, peminat komik sebegini hanya akan duduk di rumah menonton anime atau membaca komik sendirian, maka dengan game ini, mereka akan dipaksa untuk keluar rumah. Dengan berjalan kaki, para pemain boleh dianggap melakukan senaman ringan tanpa disedari.

Interaksi dengan pemain lain

Pemain juga boleh berkenalan dengan pemain yang lain. Walaupun ada orang yang kurang selesa bercakap dengan orang yang tak dikenali, tapi atas dasar perkongsian maklumat, mereka perlu untuk bersosial sesama mereka.
Membazir masa

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa faktor yang saya rasa permainan ini tidak baik untuk individu. Antaranya ialah dalam usaha mengumpul 140+ watak digital Pokemon ini, pemain perlu meluangkan masa berhari-hari sehingga berminggu-minggu untuk mencarinya.

Penggunaan data yang tinggi

Selain itu, permainan ini juga akan memakan bandwidth data yang tinggi. Jika berada di dalam rumah atau pejabat, boleh guna wifi. Tapi di luar rumah, pemain perlu menggunakan data. Sekaligus pemain perlu membayar bil atau topup tambahan hanya disebabkan penggunaan data tambahan.

Elemen perjudian?

Secara ringkas, itu kebaikan dan kelemahan daripada permainan Pokemon GO ini. Saya tidak nampak sebarang masalah seperti melibatkan elemen perjudian seperti yang didakwa. Ada permainan yang betul-betul melibatkan judi seperti kasino online dibiarkan saja. Di tempat saya sendiri, pusat judi beroperasi seperti biasa.

Kenapa tidak wajar diharamkan?

Segala-galanya bermula dari didikan anak-anak di rumah. Jika selama ini, ibubapa hanya membiarkan anak-anak bermain game melalui console seperti PlayStation, Xbox dan Wii. Bagaimana mereka ingin meninggalkan hobi ini jika ibubapa buat tidak endah sahaja?

Saya juga akui saya sendiri berminat untuk bermain permainan video suatu masa dahulu sehingga berjam lamanya. Tapi setelah meningkat dewasa yang penuh dengan komitmen, saya tidak lagi bermain permainan video seperti dulu.

Solusi

Ibubapa zaman sekarang hendaklah mendidik supaya anak-anak faham keutamaan dalam menguruskan masa.

Main game tak salah. Ibubapa pun perlu pantau apa jenis permainan. Bukan hanya Pokemon GO. Banyak lagi game lain yang mengandungi elemen yang ganas dan lucah seperti GTA dan sebagainya.

Ibubapa juga boleh menggantikan aktiviti di rumah dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti membaca buku, kesenian, riadah ringan dan lain-lain. Anda boleh ambil pengajaran dari surah Al-Asr yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.”

Ibubapa yang memberi didikan agama yang baik, boleh menerangkan kepada anak-anak apakah perkara yang tidak baik dalam sesuatu permainan. Adalah mustahil seseorang dengan akidah yang betul, akan tergugat dengan Pokemon yang didakwa boleh jatuh syirik, kononnya mempercayai kewujudan makhluk dan teori evolusi. Ia hanyalah sebuah permainan.

Kesimpulan

Tak perlu haramkan. Populariti game tersebut akan menurun dan manusia akan teruskan hidup seperti biasa. Jika sebagai ibubapa, anda perlu pantau dan nasihat anak anda untuk buat aktiviti yang berfaedah.

Sebagai orang dewasa, ada perkara yang perlu diutamakan berbanding bermain permainan seperti ini. Nak main tak salah. Jika ada masa lapang, boleh la main. Tetapi kadang-kadang masa lapang itu lebih baik diluangkan bersama keluarga dan yang tersayang.

Most Popular

To Top