Gaya Hidup

Apabila Rakyat Malaysia Malas Membaca & Tidak Bersetuju Dengan Mufti WP Mengenai Pokemon GO

pokemon-go-mufti2

Penulis secara peribadi, senada dengan kenyataan Mufti Wilayah, perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

Alhamdulillah, pertama saya bersyukur kerana kita semua masih punya seorang Mufti yang sangat cakna dan sayang akan ummah ini. Mufti tersebut ialah Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sohibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Baru-baru ini, Sohibus Samahah telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Aplikasi permainan Pokemon GO. Namun apa yang menjadi kekesalan apabila media-media alternatif atas talian sewenang-wenang menukar tajuk atau maksud sebenar fatwa Mufti sehingga mengelirukan masyarakat. Sementelahan itu, sikap sebahagian rakyat Malaysia yang hanya sekadar membaca tajuk tanpa meneliti penerangan Mufti mengeruhkan lagi keadaan. Ini belum lagi melibatkan sikap negatif sebahagian rakyat Malaysia yang sangat cepat menghukum & menghina kewibawaan seorang Mufti.

Meneliti kenyataan Mufti Wilayah dalam Bayyan Linnas, Mufti Wilayah menyebutkan “perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat” tanpa menyebut atau menghukum terus dengan perkataan ‘HARAM’ seperti yang digembar-gemburkan.

OLEH ITU, WAHAI RAKYAT MALAYSIA SEKALIAN! MENGAPA KALIAN CEPAT SANGAT MENGHUKUM? CEPAT SANGAT MENGHINA? TANPA MEMBACA DAHULU, MENGENALPASTI DAHULU, TABAYYUN DAHULU PENERANGAN MUFTI?

TEKNOLOGI DAN POKEMON GO

Teknologi telah memudahkan banyak urusan manusia. Ya! Teknologi berfungsi sebagai alat. Bukannya matlamat. Silapnya apabila Muslim menyangkakan teknologi itu tempatnya di hati sedangkan ia sepatutnya di tangan.

Pokémon Go ialah applikasi permainan telefon mudah alih yang menggunakan teknologi augmented reality (realiti berperantara) dan location-based (perisian berasaskan lokasi). Permainan ini dibangunkan oleh Syarikat Niantic Inc. dengan kerjasama Syarikat Pokemon Antarabangsa dan Nintendo Co. Ltd dan boleh dimuat turun melalui peranti mudah alih yang menggunakan Android dan iOS.

Bermula 6 Julai 2016, permainan ini telah dilancarkan di sebahagian benua seluruh dunia seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat,  German, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Portugis, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Greek, Greenland, Hungary, Iceland, Ireland, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands, Norway, Poland, Romania, Slovakia, Slovenia, Sweden, Switzerland,  Canada, dan Puerto Rico.

Di rantau Asia, hanya di Jepun dan Indonesia sahaja, para pengguna telefon mudah alih boleh bermain Pokemon Go, manakala negara-negara Asia lain seperti Malaysia, Thailand, Filipina, permainan ini masih belum dilancarkan secara rasmi. Pun begitu, di China, contohnya, para pemain masih bermain dengan memuat turun aplikasi yang tidak rasmi dan menggunakan aplikasi GPS Spoofing, yang memanipulasi perisian GPS untuk menggunakan peta negara lain yang sudah dilancarkan peta Pokemon Go.

INSIDEN BURUK MELIBATKAN APLIKASI PERMAINAN POKEMON GO

Sejak dilancarkan pada 6 Julai yang lalu, ratusan insiden melibatkan aplikasi Pokemon Go telah direkodkan. Penggunanya yang rata-rata golongan muda, sering menjadi mangsa di setiap insiden yang dilaporkan.

Pertama, seorang remaja, Jerson Lopez de Leon, 18, ditembak mati selepas memecah masuk sebuah rumah di Guatemala bersama sepupunya, Daniel Moises Picen, 17, untuk ‘memburu’ karakter Pokemon. Kematian itu adalah yang pertama melibatkan aplikasi permainan yang semakin popular ini.

Menurut Jabatan Metropolitan Polis Las Vegas, Elvis Campos, 18, cuba untuk merompak seorang pemain Pokemon Go di Las Vegas sebelum berlaku aksi tembak-menembak yang menyebabkan Elvis lari dan pemain tersebut cedera. Elvis kini menghadapi tuduhan konspirasi, rompakan dan serangan dengan senjata berbahaya.

Di Redding, California pula, seorang gadis remaja cedera ditikam ketika asyik memburu Pokemon pada pukul 2 pagi. Kejadian berlaku selepas mangsa didatangi sekumpulan penyerang yang mahu menyamunnya.

Berita lain pula melaporkan tentang seorang lelaki yang sedang memandu terlanggar kereta polis gara-gara leka bermain Pokemon Go ketika memandu. Tiada yang cedera dalam insiden itu, namun kejadian berkenaan berjaya dirakam.

Akibat mengabaikan tanda-tanda amaran dan memanjat pagar, dua lelaki jatuh lebih daripada 50 kaki dari tebing curam semasa memburu Pokémon mereka di luar San Diego. Juga, pasukan Bomba telah dikerah untuk menyelamatkan pemain tersebut dengan tali.

Di Missouri, rentetan dari rompakan bersenjata dikaitkan dengan sekumpulan empat remaja. Polis berkata, remaja ini menggunakan ‘lure feature’ untuk menarik mangsa mereka, dan pegawai berjaya menghubungkan mereka kepada 10 hingga 11 kes jenayah di dua daerah.

Banyak lagi insiden buruk yang berlaku namun yang paling merisaukan penulis ialah se­siapa sahaja boleh mengguna aplikasi itu termasuk kanak-kanak. Maka, secara tak langsung, kanak-kanak yang paling berpotensi untuk terdedah kepada bahaya kerana pe­main perlu ke Pokestop ter­tentu untuk memburu raksasa digital Pokemon.

Pokestop itu pula tidak terhad kepada tempat awam, malah boleh jadi lorong-lorong gelap, rumah ibadat, pangkalan tentera, kelab malam, rumah pelacuran, landasan kereta api dan tempat-tempat lain yang berisiko.

Maka tidak hairanlah apabila se­buah Pertubuhan Imam di Turki memohon pihak berkuasa mengharamkan permainan itu atas alasan bertentangan dengan Islam. Pengerusi Ke­satuan Imam Diyanet-Sen, Mehmet Bayraktutar berkata, permainan itu menjejaskan nilai murni dan kesucian rumah ibadah apabila pemain Pokemon GO memasuki masjid semata-mata mencari raksasa Pokemon.

KENYATAAN MUFTI BERKAITAN POKEMON GO YANG RAKYAT MALAYSIA MALAS UNTUK BACA

Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

Atas dasar ini, maka benarlah sabda Rasulullah SAW:

لَا ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Janganlah seseorang itu melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan itu kepada orang lain.
(Hadis riwayat Ahmad)

Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat. Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku, membawa kepada:

  1. Bahaya dari segi pengintipan pihak luar
  2. Pencerobohan ruang peribadi
  3. Faktor keselamatan seperti kemalangan
  4. Kelalaian
  5. Ketagihan melampau terhadap gajet
  6. Kehilangan fokus terhadap realiti sekeliling
  7. Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan.
  8. Membawa kepada akhlak yang buruk
  9. Ancaman kepada pekerjaan dan pelajaran.

Ini selari dengan kaedah Sadd al-Dzari’ah (menutup pintu-pintu menuju kerosakan). Kami syorkan pilihlah bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.

Semoga dengan pencerahan ini, kita diberi kefahaman yang baik dan jelas berkenaan dengan kehidupan ini agar selari dengan neraca Syarak.

Ingatlah kita diciptakan bukan sia-sia tetapi ada asas tujuan da matlamatnya iaitu hamba Allah dan pemegang amanah-Nya di bumi ini sebagai khalifah Allah.

Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Surah al-Mukminun, 23:115

Kami akhiri dengan berdoa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارزُقنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارزُقنَا اجتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

Penulis mengesyorkan agar seluruh rakyat Malaysia merujuk penulisan penuh Mufti di website Bayyan Linnas untuk keterangan sahih dan jelas.

KESIMPULAN

Penulis amat kesal dengan penyelewengan tajuk berkenaan fatwa Pokemon Go oleh beberapa media alternatif atas talian yang semberono meletakkan kesimpulan tanpa kajian mendalam. Perbuatan memanipulasi tajuk yang dibuat sedemikian memancarkan imej yang negatif kepada institusi Mufti dan kefatwaan serta imej juga kewibawaan para agamawan Muslim keseluruhannya di mata umat Islam dan juga di mata saudara-saudara senegara non-Muslim yang kita kasihi.

Mari sama-sama kita teliti dalam fatwa yang dikeluarkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Sohibus Samahah Mufti sama sekali tidak menggunakan istilah ‘Haram’. Apa yang jelas, beliau menggunakan kalimah-kalimah yang menzahirkan KECENDERUNGAN beliau ke arah pengharamannya iaitu “PERLU DIJAUHKAN permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.”

Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur selagi mana hiburan itu masih berada dalam batas-batas yang dibenarkan syarak. Penulis secara peribadi, senada dengan kenyataan Mufti Wilayah, perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat. Sememangnya, bahkan tidak dinafikan banyak keburukkan telah direkodkan saat daripada awal Pokemon GO dilancarkan.

Sebagai Muslim, kita harus bersyukur kerana masih ada di sisi kita seorang Mufti, yang sentiasa memandu ummah dengan pena, dengan ilmu & pengalaman beliau, tidak mengambil upah, berkorban masa, keringat, jiwa raga, kerana amanah terhadap ilmu juga kasih & sayang beliau terhadap ummah, tidak sanggup melihat ummah rosak, tidak sanggup melihat ummah semakin jauh daripada Islam, tidak sanggup melihat Malaysia tercinta ditawan anasir-anasir negatif, meskipun masih wujud sebahagian rakyat Malaysia yang malas membaca ataupun cepat menghukum, beliau berdakwah semata-mata kerana Allah SWT.

Dengan itu, penulis ingin mengucapkan,

Jazakallah ahsana jaza Sohibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri! Kami semua akan senantiasa terhutang budi serta ternanti-nanti penulisan Sohibus Samahah.

Most Popular

To Top