Gaya Hidup

Yuna vs Melayu Hipokrit – Fahmi Hassan

yuna-usher

Jika kita pandang dari kaca mata realiti Melayu Islam kini, apa bezanya apa yang Yuna lakukan dengan apa yang berlaku dan kita lihat sehari-harian.

“People say, ‘You should let you hair out; you shouldn’t be oppressed – you’re not in Malaysia anymore. You should show your curves and be proud of it.’ But I am proud – it’s my choice to cover up my body. I’m not oppressed – I’m free”

19 Julai yang lalu telah heboh di Malaysia tentang Yuna, seorang penyanyi Melayu Islam yang dikatakan telah mencemarkan kesucian agama dengan membenarkan dirinya dipeluk oleh seorang lelaki ajnabi bernama Usher. Pelukan yang berdurasi beberapa saat itu tampak amat lama sehingga lahirlah perasaan marah kepada para ‘peminat’ yang selama ini telah bertungkus lumus menjaga dan membimbing Yuna ke arah jalan yang lurus.

Dan selepas penat meluahkan kecaman-kecaman dan caci maki tersebut, mereka akhirnya penat dan mencari jalan untuk merehatkan diri. Dikenakan baju-baju yang cantik dan menarik. Berbibir merah, bertumit tinggi. Meluangkan masa bersama kekasih hati, ingin membincangkan hal Yuna yang semakin hanyut. Sambil berbicara, tangan masing-masing terjalin mesra. Jari tersimpul sebagai tanda simpulan kesucian cinta yang terjalin.

Yang si lelaki setelah kering idea mencaci, mula berasa lapar. Keluar dari bilik untuk mencari makanan di dapur. Terlihat anak suntinya yang sedang bersiap keluar. Berambut panjang, berseluar dan berbaju ketat. Terdetik rasa bangga di hatinya berjaya mendidik anak gadis yang cantik dan berjaya. Memanglah anak gadisnya tidak bertudung, tapi tak mengapa. Dia masih muda. Lagipun jika ditegur takut kecil pula hatinya. Yuna tak mengapa, dia tiada hati.

Hipokrit

Tidaklah maksud saya menulis untuk mengatakan bahawa halangan persentuhan lelaki dan perempuan di dalam Islam adalah sesuatu yang kolot. Dan bukan juga tujuan saya menulis untuk mengatakan penjagaan aurat di dalam Islam sesuatu yang jumud.

Mungkin jika kita lihat dari kaca mata Islam yang ideal, apa yang Yuna lakukan tidak kena dengan syariat. Banyak yang boleh ditambahbaik. Namun jika kita pandang dari kaca mata realiti Melayu Islam kini, apa bezanya apa yang Yuna lakukan dengan apa yang berlaku dan kita lihat sehari-harian. Keluar saja dari rumah telah dapat kita lihat ‘Yuna-Yuna’ yang melakukan perkara yang lebih tidak shar’ie berbanding Yuna Zarai.

Di mata Barat, di negara yang sedang sibuk dengan keceluparan Donald Trump menghina Islam sebagai sebuah agama yang kolot, Yuna disanjungi dalam keadaan dia yang patuh menutup rambut. Dalam negara yang menyatakan Islam sebagai agama keganasan, Yuna tidak kekok mengaku Muslim sambal membawakan nyanyian keharmonian. Yuna bagi saya mempunyai sumbangan yang tersendiri terhadap Islam dengan cara yang unik.

Ingatlah, menghukum dosa dan pahala adalah tugas tuhan. Pulangkanlah tanggungjawab itu kepada yang berhak.

Most Popular

To Top