Mahasiswa

10 Pesan Untuk Anak Muda: Catatan Ucaptama Syeikh Ali Qaradaghi di Perhimpunan Belia Antarabangsa

aliqr

10 panduan untuk pemuda yang ingin membangunkan negara dan tanahair yang tercinta.

Alhamdulillah, menjadi sebahagian dari delegasi Malaysia, kami tiba di Ankara, Turki pada petang 19 Ogos baru-baru ini untuk majlis pembukaan Perhimpunan Belia Antarabangsa anjuran Youth Board of Union of NGOs of Islamic World (Genç İDSB).

Tanpa disangka, Syeikh Profesor Dr. Ali Al-Qaradaghi dijadual menyampaikan ucaptama. Kini beliau menjawat Setiausaha Kesatuan Ulama Antarabangsa. Ternyata pesan-pesan beliau didalam majlis tersebut bukan cuma buat delegasi belia yang hadir semata, tetapi mesej kepemudaan yang sifatnya ilmiah, universal dan memayungi sekalian yang bergelar anak muda.

Berikut adalah antara inti ucapan beliau yang sempat dicatat, bersama sedikit huraian kerdil oleh pencatat.

1. Sedar bahawa peranan anak muda adalah penting dalam pembangunan ummah

Sebagai pendukung masadepan ummah, anak muda harus meneroka peranan dalam menjadi ejen advokasi dan penambahbaikan. Apatahlagi rata-rata masih menuntut di universiti, golongan ini seharusnya menyusun langkah dengan citra keilmuannya memimpin ummah. Golongan yang sentiasa bersemangat, punya masa, kesihatan dan kekuatan, zaman ini bukan untuk anak muda yang cuma menyibukkan diri dengan hiburan remeh.

Ini adalah zaman untuk anak muda sentiasa terkehadapan dalam memberi khidmat kepada masyarakat – baik dari sudut keilmuan, siasah, kebajikan mahupun dialog yang menjambatani kelompok-kelompok masyarakat awam.

2. Fahami mesej penting melalui ayat 13 dan 14 Surah Al-Kahfi

Golongan muda adalah kuat jati dirinya dan keimanannya, serta sentiasa berani berdiri mempertahankan kebenaran. Diceritakan kepada kita kisah Ashābul Kahfi, sekumpulan anak muda yang tidak redha dengan kekufuran yang dilakukan pemerintah ketika itu. Jelas dalam kisah ini Allah mengangkat watak anak muda yang diberi ilmu dan kesedaran tentang keadaan masyarakat.
Dan disebalik itu Allah juga memberikan hikmah, keberanian dan petunjuk yang ditambah-tambah untuk mereka teguh diatas neraca kebenaran melawan kezaliman menentang kebatilan.

3. Punyai daya fikir yang tinggi

Anak muda harus mempunyai kemampuan akal yang tinggi, buat mendepani pebagai jenis aliran pemikiran semasa. Pendedahan kepada lingkung perbincangan serius dan ilmiah adalah perlu dalam membentuk corak fikir kita.

Kita harus membiasakan diri, bukan sahaja dengan bahan bacaan subjek-subjek tertentu sahaja, jauh lebih daripada itu, kita harus berani menjengah teks-teks pembinaan sosial Ibn Sina, teori peradaban Malik Bennabi, serta sumbangan filasuf Al-Ghazali dan Al-Attas terhadap falsafah dan teologi.

4. Sentiasa memadukan diantara qawli (kata-kata) dan ‘amali (perbuatan)

Syeikh Qaradhawi juga pernah menekankan hal yang sama, perihal pentingnya perlaksanaan kata-kata. Agar tidak cuma ‘lemas’ dalam kebanjiran kata-kata, kita perlu sentiasa diingatkan agar berusaha menterjemah kata retorik kepada praktikaliti. Bukankah pesan yang sama juga diangkat melalui awal Surah As-Sāf yang selalu kita baca?

5. Jadilah anak muda yang sentiasa bersemangat menyebar rahmat

Melakukan kebajikan dalam menzahir konsep rahmatan lil ‘alamin – antara yang ditekankan beliau. Tanpa diheret semangat dan keberanian semata-mata, berdirinya mereka bersama pijakan asas keimanan dan keilmuan yang kukuh. Tidak goyah digertak. Inilah model gagasan kepemudaan yang merangkumi 4 elemen penting – intelektualisme, spiritualisme, idealisme, dan aktivisme.
Kesemuanya saling bergantungan. Intelektualisme memandu idealisme dengan kekuatan ilmu dan akal. Aktivisme pula gerakan mencapai cita-cita, manakala spiritualisme sebagai aspek kawalan bagi kesemua elemen lain.

6. Berbuat ihsan kepada semua

Melalui pesan ini, kita diingatkan agar berlaku ihsan seadilnya, sesuai dengan perintah Allah Ta’ala melalui ayat 148 Surah Al-Baqarah. Pesan Fadhilatus Syeikh, berbuat ihsan harus bersifat menyeluruh dan berterusan – bukan cuma terhadap Muslim, tetapi juga rakan-rakan bukan Muslim, bahkan juga bukan cuma terhadap manusia, tetapi haiwan dan alam sekitar.

7. Sedar bahawa masyarakat yang baik bermula melalui pembangunan individu yang baik

Menurut Imam Asy Syahid Hasan al-Banna, membaiki sesebuah ummah tidak akan terwujud kecuali dengan pembaikan individu, dalam hal ini adalah terfokus kepada golongan muda. Pembaikan anak muda tidak akan berhasil kecuali dengan mendidik diri, dengan membangun dan mengisi akal dengan ilmu yang bermanfaat,mengarahkan hati dengan doa dan perjuangan, serta memurnikan dan menggiatkan jiwa melalui introspeksi (muhasabah) diri.

8. Berusaha untuk perbaiki 3 aspek utama:

Beberapa perkara penting perlu diusahakan untuk ditambahbaik kerana ia merupakan antara tonggak penting yang memayungi ummah. Justeru dengan meletakkan keutamaan kepadanya, akan membantu proses menambahbaik keadaan masyarakat awam. 3 aspek utama tersebut adalah:

  • perbaiki sistem pendidikan ( نظام التربية )
  • perbaiki sistem fikir ( نظام الفكري )
  • perbaiki sistem politik ( نظام السياسي )

9. Berpegang kepada manhaj yang benar

Manhaj yang benar boleh dicapai melalui dua aspek: فهم الصحيح و عمل الصحيح (1) kefahaman yang benar, dan (2) pelaksanaan yang benar. Pelaksanaan yang menyimpang adalah asalnya bermula dari kefahaman yang juga menyimpang. Justeru dengan memahami Al-Quran, hadith, sirah dan sebagainya melalui kefahaman yang benar, akan berturutan pula dengan perlaksanaan yang benar.

Bahkan, kata beliau, perbuatan keganasan melampau yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan untuk berpegang kepada manhaj yang penting tersebut

10. Sentiasa amanah dengan ilmu dan jadilah mu’tadil

Pesan akhir melalui ucaptamanya, agar anak muda sentiasa memegang amanah terhadap ilmu dengan tidak membelakangi peri penting kefahaman yang benar, serta menjadi golongan yang sentiasa bersifat mengadili sebelum bertindak – dengan meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul. Tambahan, kata mu’tadil ( معتدل ) didalam kamus Al-Ma’āni diertikan sebagai berada di pertengahan.

Bersifat mu’tadil dengan meletakkan keutamaan ilmu dan kebenaran mengatasi rasa dan emosi. Kita tidak perlu menunggu untuk berada di kedudukan tertentu untuk bertindak. Jika tidak mampu dalam skala yang besar kepada pembinaan tamadun, apakah tidak mampu untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan dalam diri sendiri?

Syeikh Mustafa al-Ghulayaini dalam kitabnya Jami’u ad-Durusi al-Arabiyyati (2007) menasihati kita, “Dalam genggam tanganmu itulah masa depan ummah, wahai pemuda!”
______________

Catatan asal bertarikh 19 Ogos 2016
Ankara, Turki.

Penulis ialah Kamil Yazid, penuntut Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang USIM. Gemarkan teh, buku dan ketenangan.

Most Popular

To Top