Politik

Gula-gula Patriotik

gula2patriotik

Saya kurang ingat bilakah kali terakhir saya dan kawan-kawan berlari ke kedai Ah Tong untuk membeli Jalur Gemilang plastik berisi gula-gula berwarna-warni. Kami kemudiannya berlari di sepanjang denai bersebelahan ban parit yang laju airnya, mengibar bendera itu menyeberangi estet Pak Cik Muthu sambil berkejaran tertawa riang.

Itu nostalgia lama. Sewaktu lagu rakyat masih meniti di bibir kami; bahawa merahmu bara semangat waja, putihmu bersih budi pekerti, kuning berdaulat payung negara, biru perpaduan kami semua. (Saya percaya anda membacanya mengikut rentak dan tempo yang sepatutnya!)

Seusia itu, kami berbangga dengan tanah air kami, sekalipun sudut pandang kami hanyalah terhad seputar panorama kampung di sekeliling kami, lorong-lorong yang bertar cantik beberapa tahun sekali, tandas jauh di luar rumah bermentol kuning berganti yang selesa di dalam bilik, sumbangan atap zink oleh pak cik yang sesekali kelihatan, serta potret-potret bandar yang maju melatari lagu rakyat di kaca saluran televisyen rasmi kerajaan.

Jalur Gemilang plastik itu, saya tak pasti adakah masih dijual di kedai-kedai runcit hari ini. Jalur Gemilang plastik bertiangkan gula-gula itulah gula-gula patriotik kami, seusia itu. Suatu kemanisan yang menyeronokkan dilampirkan bersama kebanggaan yang dikibarkan. Demikian jugalah pada pembangunan yang mampir di kampung kami.

Sehinggalah kini, apabila saya tersedar bahawa kebanyakannya lebih merupakan rahmat yang menyamar (blessing in disguise), atau kita arif sebagai gula-gula politik.

Garisan nipis

Ada perbezaan yang besar antara gula-gula patriotik dengan gula-gula politik. Ada jurang yang besar antara mencintai negara dengan mencintai kerajaan yang memerintah. Ada jarak yang memisahkan antara istilah wang negara dengan wang rakyat.

Tiada rakyat yang tidak mahukan negaranya bertambah maju secara menyeluruh dari aspek material mahupun pembangunan insannya, tidak kiralah pada tahun 2020 atau terlambat sedikit. Sudah pasti kita akan memerlukan kepimpinan negara yang mampu menguruskan wang rakyat yang diperoleh melalui cukai yang gigih dikutip sana-sini dan hasil tanah air milik kita semua untuk disalurkan kepada kemajuan negara itu sebijaknya.

Namun, kemajuan dan pembangunan boleh dibalut berupa gula-gula patriotik dan politik pada masa yang sama.

Pembangunan adalah gula-gula patriotik, apabila menyebabkan negara bertambah maju dan muhibah, keperluan rakyat dipenuhi dengan efisyen dan berkualiti, sara hidup sesuai dengan keringat yang diperah, negara mempunyai minimum jenayah dan sifar rasuah daripada kasta bangsawan teratas sehinggalah rakyat terbawah. Kita tidak memerlukan syarat kemajuan untuk mencintai negara, namun kemajuan itu adalah hasil kemanisan daripada agungnya cinta negara.

Pembangunan adalah gula-gula politik, apabila pembahagian manfaat kekayaan tanah air kita diberatkan kepada satu dua golongan sahaja, lebih-lebih lagi kepada tabung pemegang amanah wang rakyat itu sendiri. Apabila pembangunan digembar-gemburkan agar pemegang amanah diingati jasanya, seolah-olah wang rakyat itu milik dia.

Apabila pengurusan pembangunan itu tiris di setiap tingkat birokrasi, sehingga mereka yang tiada dalam birokrasi perlu membuat rayuan dan melampirkan pelbagai dokumen untuk setitis harapan. Apabila pembangunan singgah menjenguk di muka pintu sesekali dua, tersengih berbasikal bersama mengacau dodol bersama di hadapan lensa media arus perdana.

Oportunis #sehatisejiwa

Seusia hari ini, apabila saya terkenangkan Jalur Gemilang berisi gula-gula patriotik, saya meyakini bahawa rakyat harus bersifat oportunis, berbekalkan semangat #sehatisejiwa. Oportunis maksud saya, kita bersepakat ‘mempermainkan’ semula gula-gula politik menjadi gula-gula patriotik.

Kita harus membebaskan minda daripada terhutang budi dengan mana-mana parti yang memerintah. Pelaksanaan pembangunan negara adalah kewajipan pemerintah, bukannya jasa baik pemerintah. Pembangunan negara adalah hak rakyat, bukannya berkat keprihatinan pemerintah. Kita yang sering tersalah lihat pada penyamaran gula-gula politik berupa patriotik ini.

Kita tidak harus terpesona dengan sehelai kain batik dan sekeping wang hijau untuk melepaskan satu pangkah. Strategi yang sama diulangi saban tahun kerana kita mudah dilaparkan oleh gula-gula politik. Gagalkan strategi semurah ini; kita lebih berhak kepada gula-gula patriotik berupa sistem perhubungan yang efisyen dan murah, imej negara yang positif dan aman, serta sistem pembangunan insan yang tidak melahirkan sejumlah pedofil tahfiz yang mengerikan.

Gula-gula patriotik itu jauh lebih bernilai daripada gula-gula politik yang sementara. Manisnya gula-gula patriotik daripada Jalur Gemilang itu saya masih kecapi maknanya apabila menyapa rakan daripada berlainan bangsa dan agama. 59 tahun #sehatisejiwa; manisnya sampai ke hati, indahnya sampai ke jiwa.

Gula-gula politik pula, adalah kemanisan individualistik seketika yang membuahkan penderitaan semua pihak – sama ada yang sedar mahupun tidak – untuk satu tempoh selepasnya.

Most Popular

To Top