Mahasiswa

Apakah Erti Mahasiswa Yang Merdeka?

cucms-sambutan-merdeka

Bagaimana merdeka memberi kesan dan impak yang besar pada pembangunan jiwa, intelek dan produktiviti bagi mahasiswa?

​Kita dan merdeka, kedua-duanya adalah suatu perkara yang sangat berkait rapat malahan secara peribadinya kemerdekaan adalah suatu perkara yang diingini oleh setiap manusia. Buktinya, hari ini kita sentiasa melaung-laungkan tentang hak kebebasan bersuara, hak demokrasi, hak itu dan ini. Maka segala perjuangan mencapai hak-hak itu tidak mungkin berlaku, sekiranya kita terikat atau terkongkong dengan sesuatu yang menghalang kita dari mencapai hak-hak tersebut.

Ironinya, merdeka adalah signifikan dan sangat hampir dengan kita. Tetapi persoalan yang harus berlegar pada jiwa kita selaku mahasiswa abad ini adalah bagaimana merdeka memberi kesan dan impak yang besar pada pembangunan jiwa, intelek dan produktiviti? Persoalan ini tidak hanya terletak pada mahasiswa muslim bahkan aktivis gerakan massa. Landskap dan corak pemikiran umum pra dan pasca merdeka seharusnya menjadi indikator penting dalam menilai sejauh mana sebenarnya kita mengambil pelajaran daripada perjuangan menuntut kemerdekaan.

Erti Merdeka

Rubaie ibn Amir telah memberikan kita gambaran yang jelas akan erti jiwa merdeka yang sebenar ketika beliau berhadapan dengan pemerintah Rom bernama Rustum;

“Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada Tuhan yang Esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam”.

Kenyataan ini adalah paksi yang cukup jelas tentang jiwa merdeka. Peribadi yang memahami erti kemerdekaan adalah individu yang kukuh jati dirinya. Lihat sahaja peribadi Bilal bin Rabah dalam kekuatan mempertahankan erti kemerdekaan. Sakit kesan kezaliman manusia adalah nikmat yang menganugerahkan kekuatan untuk menggapai erti kejayaan hakiki.

Ternyata kesempitan, kesusahan dan keperitan hidup kesan penjajahan membuatkan generasi ketika itu terus kuat berjuang menggapai erti kemerdekaan, menghayatinya dan menghargainya. Sejarah yang memahatkan kisah Tok Janggut, Dato’ Bahaman dan semua tokoh pembebasan negara tidak wajar dilupakan. Malahan sekiranya kita melihat konteks perjuangan yang diwarisi Nabi Muhammad SAW yang lebih luas, ternyata ramai reformis sepanjang zaman berjuang habis-habisan demi mencapai erti kemerdekaan. Mereka ini yang disebut dalam al-Quran sebagai yang membenarkan iman dan janji mereka untuk berjuang di jalan Allah SWT:

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” Al-Ahzab: 23.

Maka erti merdeka pada seorang muslim itu tercapai apabila seseorang itu menjalankan tugasnya menjadikan dunia ini tempat yang paling terbaik untuk didiami. Al-Faruqi (1989) ada menyebut perihal seorang Muslim yang benar-benar memahami peranannya sebagai khalifah adalah seorang ‘Homo-Islamicus’ (manusia Islam) yang menjalani kehidupannya bertunjangkan paksi Tawhid menjayakan misi utama kehidupan, iaitu sebagai hamba kepada Tuhan yang taat akan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya serta melakukan Imarah dengan memakmurkan, membangunkan dunia serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya.

Cabaran kita

Maka cabaran sebenar mahasiswa zaman kini adalah bagaimana kita keluar dari kepompong ‘hidup nafsi-nafsi’ kepada menjadi seorang yang mampu bermanfaat kepada yang lain. Berhadapan pula dengan masyarakat majmuk bangsa Malaysia, membuatkan kita harus keluar dari tabiat aku-aku kepada kita-kita. Mahasiswa yang jelas akan keberadaannya untuk bersama-sama mencorak diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia pastinya akan cakna serta prihatin akan perihal disekelilingnya.

Mahasiswa merdeka

Selaku mahasiswa Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), kita patut bersyukur kerana di sini kita belajar bahawa pendidikan itu bukan hak esklusif untuk kaum Melayu, tapi juga milik sahabat Cina, India, sahabat Sarawak juga Sabah. Warni-warni ini membuatkan kampus kita cukup harmoni. Secara tidak langsung kita belajar budaya toleransi, inklusif dan bersikap terbuka dalam aktiviti mahasiswa di kampus, yang cukup signifikan. Menjadi mahasiswa sains perubatan juga membuatkan kita sudah alergik untuk mendengar perkataan rasis dan permusuhan kaum. Ini kerana apabila berhadapan dengan pesakit, segala masalah perkauman, perbezaan agama, kefahaman, ideologi, parti politik hatta warna kulit sekalipun tidak lagi menjadi keutamaan melainkan yang paling utama adalah keselamatan dan nyawa pesakit yang berada di hadapan mata!

Kebanggaan kita dalam menjadi mahasiswa CUCMS sebenarnya adalah bukan milik kita seorang tetapi milik kita bersama. Kemerdekaan negara adalah bukan milik peribadi tapi ianya adalah milik kita bangsa Malaysia. Selaku mahasiswa merdeka marilah kita bersatu dalam mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian.

Akhir sekali semoga erti kemerdekaan yang sebenar sentiasa terpelihara dalam setiap jiwa kita khasnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Salam kemerdekaan dan salam sehati sejiwa!

Penulis:  Wan Aiman Khudzri bin Wan Ab Rahman Khudzri, seorang pelajar tahun 3, Sarjana Muda Homeopathy (Bachelor of Homeopathy Medical Sciences [BHMS]) Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS)

Most Popular

To Top