Global

Syria: Peperangan yang Mengelirukan Dunia.

syriaaaa

Konflik peperangan di Syria semakin hari semakin meruncing. Tambahan pula, kini berlakunya campur tangan daripada pihak asing yang terus-menerus mensasarkan bom di Syria terutamanya kawasan Aleppo. Oleh kerana itu, terdapat sebilangan dari kita tidak dapat memahami situasi sebenarnya yang berlaku di sana. Masyarakat tidak jelas siapakah golongan yang berjuang mempertahankan bumi Syria dan siapakah pula golongan yang menghuru-harakan keadaan di sana.

Sejarah Syria

Sebelum pemerintahan rejim Hafiz Asad, Syria telah ditakluk oleh Perancis pada tahun 1920. Perancis terpaksa berundur dari Syria selepas Perang Dunia II, dan Syria akhirnya menerima kemerdekaan pada tahun 1946. Namun demikian, Perancis telah meninggalkan Syria dalam keadaan yang tidak stabil dan sering terdedah kepada konflik.

Setelah kemerdekaan pemerintahan Syria dikuasai oleh kaum Syiah akibat tindakan Perancis yang meletakkan ramai golongan syiah dalam organisasi tersebut. Rampasan kuasa pada tahun 1966 menunjukkan peningkatan mendadak Asad dalam berkuasa dan ia merupakan kemenangan bagi Pasukan Tentera dan sayap Parti Ba’th yang diwakili oleh Hafiz Asad. Bermulanya pada tahun 1968, Ba’th Syria telah dibahagikan kembali kepada dua puak iaitu Salah Jadid dan Hafiz Asad. Pada 25 Febuari 1969, Asad telah berusaha membuat rampasan kuasa yang mana ianya tidak berjaya sama ada menyatukan kuasa ditangannya atau menjatuhkan Salah Jadid. Namun kedudukan Hafiz Asad itu tidak lemah dan setahun setengah kemudian pada 23 November 1970, dia meluaskan kuasanya melalui rampasan kuasa tentera yang mana Hafiz Asad menganggapnya sebagai “perkembangan yang normal dalam parti kami”. Ketika Hafiz Asad berumur 44 tahun, dia berjaya mencapai kawalan penuh di Syria. Rejim Hafiz Asad yang diktator itu telah menumpahkan kebenciannya terhadap Islam dan kaum Muslimin di Syria. Dia berusaha keras dan giat untuk menghancurkan keperibadian Islam dan menghapuskan sesiapa yang menentangnya.

Kebangkitan melawan rejim Hafiz Asad bermula pada tahun 1974 yang mana seorang pemuda bernama Marwan Hadid telah menyiapkan pemuda Islam menghadapi perang jihad. Pada tahun 1975, bermulanya pembunuhan terhadap unsur-unsur yang menyokong pemerintah dengan meletupkan kereta Ahmad El Ghazawi yang merupakan anggota pimpinan nasional Parti Ba’th. Berikutan kejadian itu, bermulalah pertembungan antara parti pemerintah dan Marwan bersama sahabat-sahabatnya. Marwan Hadid juga merupakan seorang pejuang yang pertama syahid menentang kezaliman Hafiz Asad.

Revolusi Kebangkitan Rakyat Syria 2011

Basyar Asad telah memerintah Syria pada usia 34 tahun seminggu setelah ayahnya Hafiz Asad meninggal dunia pada tahun 2000. Pada zaman pemerintahan Basyar, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat terus berlaku. Sebagaimana ayahnya yang bersifat diktator dalam memerintah negara, maka ia juga masih berlaku pada zaman Basyar.

Segalanya bermula pada bulan Mac 2011, kanak-kanak berusia sembilan antara lima belas tahun di Daraa menconteng di dinding sekolah mereka dengan menulis “anti-regim”. Setelah dibebaskan, badan-badan dan muka kanak-kanak tersebut menunjukkan tanda-tanda penyeksaan yang teruk iaitu mempunyai kesan terbakar dan kuku mereka ditarik keluar. Marah atas nasib yang menimpa kanak-kanak itu, orang-orang di Daraa turun ke jalan melakukan demonstrasi aman bagi menegakkan kebenaran. Situasi bertambah buruk apabila tanpa sebarang amaran, pasukan keselamatan melepaskan tembakan, membunuh beberapa orang dan mengawal disekitar kawasan tersebut. Disebabkan itu, penyokong pembangkang mula mengambil senjata untuk mempertahankan diri dan mengusir pasukan keselamatan dari kawasan tempatan mereka. Protes demostrasi pada mulanya aman telah bertukar menjadi perang apabila terjadinya siri pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Bashar Assad.

Kezaliman Tentera Basyar

Pada mulanya, peperangan di Syria berlaku antara 2 pihak iaitu Mujahidin Syria yang ketika itu dikenali juga sebagai FSA dan rejim Basyar Asad. Pada September 2013, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa senjata kimia telah digunakan dalam kejadian 21 Ogos 2013 di kawasan Ghouta pinggir bandar Damsyik di mana beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh. Bahan kimia yang digunakan tentera Basyar merupakan bahan yang paling berbahaya dan telah dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Sebagai contoh, OFAB 250-270 sejenis bom pesawat milik kerajaan Syria, boleh menyebabkan kerosakan dan kecederaan dalam radius 155 meter dari mana serangan tersebut dilakukan. Penggunaan bahan kimia fosforus juga boleh direka yang boleh menembusi badan dan memasuki organ-organ dalaman sehingga menyebabkan kecederaan yang mengancam nyawa. Tidak cukup dengan mengorbankan jutaan nyawa rakyat Syria, rejim Basyar telah mengadakan sekatan-sekatan keperluan asas kehidupan terutamanya makanan dan minuman. Namun masih terdapat juga jual beli di sana, akan tetapi dengan harga 3 kali ganda sehingga rakyat Syria sendiri tidak mampu membelinya. Dengan itu, rakyat terpaksa menanggung kelaparan sehinggakan ada yang kurus tinggal tulang kemudiannya meninggal dan anak-anak kecil hanya memakan daun di tepi jalan untuk mengisi perut yang kosong. Bekalan air bersih juga telah disekat dan ini membuatkan keadaan bertambah teruk apabila kulit-kulit badan mereka dijangkiti kuman dengan menggunakan air yang tidak bersih.

Hampir seluruh rumah-rumah, bangunan serta masjid menjadi sasaran bom Basyar. Antara salah satu masjid yang dimusnahkan dan membuat seluruh masyarakat Islam merasa sedih adalah masjid Khalid al-Walid kerana di situ terdapat makam sahabat Nabi Khalid al-Walid yang telah hancur berkecai. Hospital juga menjadi salah satu tempat sasaran rejim dan disebabkan itu, mangsa-mangsa serangan tidak mengetahui untuk dipindahkan ke mana apabila tiada lagi tempat berlindung. Lebih zalim lagi, bilamana tentera mengebom sekolah-sekolah ketika sesi persekolah sedang berlangsung. Penderaan secara fizikal turut dilakukan oleh Basyar dan sekutunya apabila wanita-wanita dirogol di hadapan abang, ayah, anak dan ahli keluarga mereka. Sebelum dirogol, wanita tersebut akan digari tangannya terlebih dahulu. Lelaki juga turut menjadi mangsa kezaliman kerana tentera Basyar ini khuatir jika lelaki daripada kaum sunni menentang mereka lalu apa yang mereka lakukan adalah memotong kemaluan lelaki-lelaki tersebut. Bayi juga tidak ketinggalan menjadi mangsa kezaliman Basyar seperti yang diceritakan seorang pelarian Syria di Malaysia, rejim memasukkan bayi ke dalam kuali yang sedang panas dihadapan ahli keluarga bayi tersebut. Kini, semuanya telah menjadi sasaran Basyar, satu per satu dimusnahkan dengan zalimnya.

Kemunculan Banyak Kumpulan dan Pihak di Syria

Kini, rakyat sudah bingung dengan apa terjadinya di Syria apabila telah banyak kumpulan dan negara-negara luar mencampur tangan urusan di sana. Jika di Palestin, zahirnya kita telah mengetahui siapakah musuh sebenar Palestin iaitu Israel. Namun kini, di Syria peperangan semakin menjadi rumit, tegang dan sukar di fahami siapakah di pihak yang benar dan siapakah di pihak yang salah.

151118-isis-propaganda-victory-over-al-qaeda-yh-1115a_97488d8474eaebd0d68799081cbf89b6.nbcnews-fp-1200-800

Ketika Syria hampir kepada kemenangan muncul pula ISIS (Islamic State in Iraq and Syria) atau nama umumnya IS (Islamic State). Ketua ISIS, Abu Bakr Baghdadi melebarkan sayap ISIS dengan mengisytiharkan penubuhan ISIS di Syria pada 8 April 2013 dan mengisytiharkan penubuhan khilafah 29 Jun 2014 dengan dia bertindak sebagai khalifah. Keadaan bertambah huru-hara dengan campur tangan kezaliman ISIS di Syria. (Rujuk artikel http://www.sinarharian.com.my/rencana/malaysia-berhenti-sertai-jihad-di-syria-1.368369) maklumat lanjut mengenai ISIS di Syria. Setelah munculnya ISIS, muncul pula banyak kumpulan atau gerakan yang mana masing-masing antara mereka mengaku pejuang tanah Syria seperti Ahrar Syam, Nuruddin Zanki, Brigade Tauhid, dan Jabhah Nusrah. Namun, tidak mengetahui sejauhmanakah kebenarannya setiap kumpulan perjuangan tersebut kerana yang pasti pergolakan dan kematian terus berlaku. ISIS semakin hari menjadi sepi. Kemudian terkini, muncul pula Iran, Rusia (Serangan Rusia ke atas Syria bermula pada September 2015) dan Amerika Syarikat yang menjatuhkan bom di Syria terutamanya bandar Aleppo dengan alasan ingin memusnahkan kubu IS Militan. Namun hakikatnya yang musnah dan menjadi mangsa serangan adalah masyarakat awam.

Mengapa Aleppo??

Antara dalam banyak kota di dalam Syria, serangan teruk di lakukan oleh Rusia dan sekutunya adalah bandar Aleppo. Aleppo merupakan kota kedua yang terbesar di dalam Syria selepas Damsyiq (Damascus). Kota Aleppo kaya dengan hasil bumi seperti minyak, sayur-sayuran dan buah-buahan berbanding kota-kota lain. Kekalahan Basyar adalah apabila dia tidak dapat menguasai Aleppo. Bahkan, jika dia ingin menguasai Syria sepenuhnya, dia perlu menakluk kota Aleppo terlebih dahulu. Antara faktor lain mengapa Aleppo sering menjadi sasaran adalah Basyar dan sekutunya tidak mahu adanya sebarang bentuk bantuan di bawa masuk terutamanya bantuan makanan dari Turki, ini kerana Aleppo adalah kota yang paling hampir dengan sempadan ke Turki. Dengan itu, Basyar mengambil langkah dengan membuat kepungan di bandar Aleppo sehinggakan mereka tidak dapat bergerak dan tiada bantuan makanan dapat dibawa masuk ke sana.

Harapan

Untuk menceritakan situasi di Syria, tidak cukup hanya dengan menulis atau menonton. Ceritanya rumit bahkan sukar dibayangkan betapa dasyatnya keadaan di sana. Hampir setiap hari adanya mangsa korban puak-puak zalim. Walau apa pun yang berlaku, teruskan sokongan kita kepada rakyat Syria. Bantulah mereka dengan sedaya yang mampu melalui NGO-NGO Syria di Malaysia (Malaysia Life Line for Syria, IKRAM4SYRIA, Syria Care, Pertubuhan Sinar Damsyik). Semoga kesengsaraan yang dialami oleh mereka dapat kita kongsikan bersama. Harapannya adalah satu! Syria bebas dari segala cengkaman kejahatan manusia!

Penulis ialah Noor Atika Syafinaz, pelajar Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa, UniSZA dan Aktivis NGO Malaysia Life Line for Syria.

Most Popular

To Top