Mahasiswa

4 Tips Mudah Untuk Memilih Calon Pemimpin Anda

prk-kampus-universiti

Bahang pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) UNIMAS 2016/2017 kian terasa di mana pada 20 Oktober nanti mahasiswa UNIMAS akan turun untuk mengundi. Pemilihan majlis perwakilan pelajar ini merupakan satu platform yang baik untuk mahasiswa tampil ke hadapan bersama idea dan buah fikiran yang matang serta menunjukkan kesediaan mereka untuk menawarkan khidmat dan transformasi kepada mahasiswa di kampus.

Dalam kehangatan PMPP ini, antara amalan yang wajar diketengahkan dan diberikan perhatian ialah amalan politik nilai. Pengamalan budaya politik nilai dalam pilihan raya kampus merupakan salah satu daripada lapan Gagasan Harmoni yang telah diperkenalkan IKRAM Siswa yang terdiri daripada :

  1. Gaya Hidup Warga Kampus yang Sihat, Mesra dan Berakhlak;
  2. Warga Kampus Bebas Bersuara dan diiktiraf;
  3. Pentadbiran Kampus yang Cekap dan Berintegriti;
  4. Pengamalan Budaya Politik Nilai dalam Pilihanraya Kampus;
  5. Penyuburan Budaya Ilmu dan Intelektualisme;
  6. Penghasilan Mahasiswa Berkualiti, Berkepimpinan dan Berdaya Saing;
  7. Kampus Selamat, Berkebajikan dan Mesra Mahasiswa; dan
  8. Peranan Kampus dalam isu-isu Masyarakat, Negara dan Antarabangsa diiktiraf.

Gagasan Harmoni bukan milik IKRAM Siswa sahaja, malah ia merupakan gagasan milik semua yang wajar disokong oleh semua pihak dan memerlukan sinergi kerja bersama agar kampus harmoni dapat direalisasikan.

Berbalik kepada amalan politik nilai, amalan politik nilai merupakan budaya politik baru yang berdasarkan hujah, berasaskan merit, berpaksikan khidmat dan kemampuan menjadi suara kepada masyarakat kampus. Hal ini demikian kerana masyarakat kampus memerlukan suasana pilihanraya kampus yang baru yang jauh daripada budaya jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, fitnah memfitnah dan apatah lagi budaya pembunuhan karakter.

Bagi mahasiswa yang lainnya, penting bagi kita untuk cakna dan terlibat dalam proses demokrasi PMPP ini. Mahasiswa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan turun mengundi untuk memilih pemimpin kita. Hal ini demikian supaya kita dapat memastikan pemimpin yang kita pilih adalah pemimpin yang benar-benar layak, berintegriti, berkualiti dan mampu menjadi suara kita pada masa akan datang. Lantas, bagaimanakah caranya untuk mengetahui siapakah pemimpin yang layak dipilih ini?

1. Cakna dan berusaha untuk mengenali calon-calon yang bertanding

Pada masa kini, semua maklumat sudah boleh didapatkan di hujung jari. Mahasiswa hendaklah berusaha mengenali kesemua calon-calon yang bertanding dengan singgah di laman sosial mereka atau mana-mana platform yang sesuai. Kenali, nilai dan buat timbang tara.

2. Ketahui dan fahami manifesto dan idea yang hendak dibawa

Untuk mengetahui manifesto dan idea yang hendak dibawa, tidak cukup sekadar membaca poster-poster elektronik dan bercetak yang disediakan calon. Mahasiswa seharusnya melapangkan masa untuk menyertai rapat umum sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh berkempen. Hal ini kerana melalui rapat umum ini kita boleh mengetahui calon mana yang mampu membentang dan memberikan hujah yang terbaik apa yang ingin calon perjuangkan. Melalui penyertaan kita di dalam rapat umum ini membolehkan kita menilai dan memilih calon yang kompeten dan layak diundi.

3. Menilai penglibatan dan prestasi yang lepas

Menilai penglibatan dan prestasi lepas sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa untuk memilih calon pemimpin mereka. Pilihlah calon yang banyak dan berlumba-lumba memberikan khidmat yang terbaik kepada kampus. Siapa yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, dialah yang layak untuk menang walau daripada kelompok mana sekalipun dia datang.

4. Melihat disiplin calon dan jenteranya

Antara indikator awal untuk melihat kemampuan calon untuk memimpin dengan berdisiplin ialah dengan melihat bagaimana beliau memimpin jenteranya. Sekiranya beliau berjaya memimpin jenteranya, maka ia merupakan petanda baik kepada kebolehannya untuk memimpin mahasiswa di kampus

Kepada seluruh mahasiswa UNIMAS, selamat menjalankan tanggungjawab anda. Pilihlah dengan bijak dan semoga calon yang telah dipilih oleh mahasiswa ini mampu menebarkan khidmat dengan sebaiknya kepada masyarakat kampus serta mampu untuk menggalas tanggungjawab yang dipikul dengan penuh amanah dan berintegriti.
Selamat memilih. Satu undian yang anda lakukan dengan bijak, besar nilainya ke arah merealisasikan kampus harmoni.

Ditulis oleh Jasmin Jaraee, pelajar Master Sains (Mikrobiologi) dan ahli IKRAM Siswa Kota Samarahan.

Most Popular

To Top