Isu Semasa

Cinta Dua Benua 1963

hari-malaysia

Menjelang tarikh Hari Malaysia – 16 September. timbul kembali suara-suara yang mendesak supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Isu ini berbangkit disebabkan rasa tidak puas hati sebahagian warga Sabah dan Sarawak ke atas layanan yang diberikan kepada mereka oleh Kerajaan Persekutuan.

Jika diselak kembali Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 , kita akan dapati sememangnya terdapat penentangan oleh sebilangan rakyat Borneo untuk tidak menyertai Malaysia.

Buku teks Sejarah tersebut mengatakan mereka menentang kemasukan ke dalam Malaysia kerana ia adalah satu bentuk penjajahan baru oleh penjajah yang diberikan nama neokolonialisme. Mengikut definisi Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, neokolonialisme bermaksud perluasan pengaruh politik oleh sesebuah kuasa besar ke atas negara lain yang baru merdeka, terutamanya melalui tekanan ekonomi.

Persoalannya, apakah pendesak itu faham persoalan dan prosedur untuk keluar daripada Malaysia?
Terdapat perbezaan pandangan di kalangan sarjana dan ahli akademik. Sebahagian sarjana yang menjunjung ‘supremacy’ Perlembagaan Malaysia mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia. Jika mereka ingin menarik diri, ia adalah tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri lain dan juga Majlis Raja-Raja di dalamnya juga termasuk Yang Dipertua Sabah dan Sarawak

Di pihak yang lain, mereka mengatakan di dalam Perlembagaan Malaysia tiada perkataan nyata mengatakan mana-mana negeri tidak boleh menarik diri. Malah untuk merujuk kepada Perkara 7 Tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Memorandum 18 & 20 Perkara 7 Perjanjian Malaysia 1963 itu tidak mengikat. Malah persetujuan oleh rakyat Sabah dan Sarawak itu dikatakan berat sebelah kerana referendum yang dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold itu tidak sah disebabkan proses pungutan suara itu tidak sah kerana responden hanya diambil daripada sekitar 4000 orang sahaja sedangkan rakyat Borneo berjumlah 1.2 juta.

Jika dilihat kepada peruntukan perlembagaan bertulis pertama di dunia iaitu Piagam Madinah, Fasal 36 menyatakan tiada sesiapa boleh menarik diri daripada piagam ini melainkan melalui persetujuan daripada Muhammad. Ini membuktikan asas sesebuah negara memerlukan satu otoriti yang mengawal tadbir sesebuah negara. Jika salah seorang dari mereka sewenang-wenangnya dibenarkan menarik diri, ini akan menghancurkan asas pembinaan sesebuah negara.

Namun Fasal 36 ini hanya datang selepas fasal-fasal sebelumnya menjamin hak kesemua afiliasi,golongan malah suku kaum yang terlibat sama dalam perjanjian ini. Sebagaimana golongan Muhajirin daripada kota Mekah dipersaudarakan bersama golongan Ansar daripada kota Yathrib maka dibentuklah Muhammad pemimpin negara itu satu negara yang dinamakan kota Madinah.

Melihat kepada Persekutuan Malaysia, ia diasaskan atas sistem Demokrasi berasaskan Persekutuan. Sepertimana yang berlaku ketika pemisahan Singapura daripada Malaysia, ia adalah konsensus bersama antara Parlimen Malaysia dan Singapura bukannya permintaan daripada sebelah pihak.

Maka kita harus merenung kembali apakah Kerajaan Persekutuan telah menunaikan tanggungjawab untuk menjamin hak rakyat Sabah dan Sarawak sebagaimana hak rakyat di Semenanjung? Oleh itu, pihak Kerajaan Persekutuan wajib kembali sedar atas kealpaan dan kesilapan yang telah berlaku beberapa dekad ini.

Oleh yang demikian demi mengelakkan konflik yang berpanjangan, Kerajaan Persekutuan perlu menyemak kembali apakah janjinya kepada 2/3 majoriti rakyat Borneo pada tahun 1963 yang telah berbesar hati untuk membentuk Malaysia dengan syarat, melindungi dan menjamin hak mereka pada masa yang sama melakukan rundingan berterusan secara harmoni sepertimana yang termaktub di dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia.

Ditulis oleh Auzaie Shamsul Ma’arif, ahli iLegal IKRAM, Lulusan LLB (Hons.) dan LLB Shariah IIUM.

Most Popular

To Top