Video

Dari Mahasiswa kepada Mahasiswa

ums-prk

Menjelang Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah (PRK UMS) yang bakal tiba, sedikit sebanyak ada bahangnya terasa sungguhpun ada pihak mendakwa PRK UMS ini “hambar” dan “tidak berperisa”.

Sejujurnya, ada betulnya. Lihat sahaja tahun lalu, tidak sampai 40% mahasiswa/i yang turun mengundi. Jadi, apa hak kita yang tidak mengundi ini mengomen kerja mereka yang telah terpilih sebagail wakil kita sedangkan kita tidak memilih? ehh…

Tepuk dada, harap rasa.

Namun begitu, kita sudah mula melihat, ada warna yang sudah mula menggarang. Orang mula komen. Orang mula melihat. Orang mula mengenali dan memahami latar belakang parti-parti ini. Aspirasi Mahasiswa, Sinergi Mahasiswa dan Suara Mahasiswa. Tiga sosok yang bakal menggegarkan PRK UMS kali ini. (maafkan saya kalau ada yang saya tertinggal)

Hakikat yang terang lagi bersuluh, pertandingan mereka mewakili kumpulan-kumpulan tertentu. Tidak mahu saya menyebut pro mana dan mana kerana sudah kalian tahu.
Pertembungan yang dilihat seperti mewujudkan mimik politik nasional. Ada kerajaan, ada pembangkang.

Kita lihat suasana politik nasional sekarang, adakah mimikan ini cara yang terbaik buat warga mahasiswa? Yang mana pada akhirnya, mereka yang menang bukanlah mewakili pihak masing-masing lagi dalam sebuah Parlimen. Tetapi, menjadi satu pasukan yang bekerja bersama-sama dan menjadi milik mahasiswa.

Memetik daripada penulisan Saudari Nik Fatma Amirah,

“Menyebut tentang pengamalan budaya politik nilai dalam pilihanraya, suka untuk saya sebutkan bahawa mahasiswa lebih cenderung untuk melihat suasana politik yang berasaskan nilai, jauh dari unsur-unsur yang tidak sihat, pembunuhan karakter, fitnah-memfitnah dan sebagainya.

Politik nilai adalah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dan difokuskan dalam Pilihanraya Kampus.Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh mahupun pembunuhan karakter.

Mahasiswa universiti juga tidak berminat dengan cara perebutan kuasa antara mana-mana kelompok mahasiswa yang bertanding, bahkan apa yang mereka harapkan ialah sejauh manakah calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya itu mampu menjadi suara mereka dalam apa jua perjuangan dan masalah yang dihadapi.

Politik nilai juga membawa mahasiswa supaya lebih fokus untuk menabur khidmat yang terbaik kepada masyarakat kampus, termasuklah isu-isu kewangan yang berlaku dalam kalangan siswa seperti contoh kesempitan kewangan, gagal membayar yuran pengajian dan sebagainya.

Sesiapa sahaja yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka dialah yang layak untuk diundi, tidak kiralah datang dari kelompok mana sekalipun.Selain itu, mahasiswa perlu matang dalam memilih pemimpin mereka, meletakkan asas dan prinsip yang betul, bukannya memilih disebabkan mengikut rakan sekelas, memilih berdasarkan wajah dan sebagainya.

Mahasiswa yang juga bergelar insan minda kelas pertama haruslah bijaksana dalam meletakkan kriteria calon yang dipilih. Pilihlah calon yang mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, tidak agresif sebaliknya professional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan dan rahmah untuk semua, beramanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul dan yang paling penting adalah ‘qawiyyul amin’ seperti yang disebutkan di dalam Al-quran.

“Oleh itu, marilah kita semua para mahasiswa UMS membulatkan hati dan tekad menjalankan tanggungjawab kita untuk turun memilih calon yang kita yakini akan mencerminkan hasrat dan aspirasi kita di universiti kecintaan kita ini.

Kepada semua yang bertanding, SEMOGA BERJAYA!!

Siti Aisyah Binti Sabarudin penuntut sarjana muda Sosiologi dan Antropologi Sosial serta aktivis IKRAM Siswa Sabah

Most Popular

To Top