Wanita

Pedofilia, Pelacuran dan Keganasan Rumah Tangga

domestic_abuse

Pada zaman ini, jenayah semakin berleluasa di Malaysia kerana kepincangan fahaman agama dan moral dalam kalangan rakyat. Jenayah-jenayah yang berlaku melibatkan mangsa yang tidak mengira jantina, umur mahupun kaum.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan” (An-Nisa’ – 34)

Seringkali kita disajikan dengan ayat di atas jika berbincang tentang tanggungjawab lelaki terhadap isteri dan anak-anaknya dalam perkahwinan. Dalil ini juga sangat terkenal pada pos-pos Facebook yang berbaur cinta Islamik yang menggalakkan lelaki dan perempuan Muslim untuk berkahwin awal.

Tidak dinafikan bahawa dalil ini cukup sesuai dan padu untuk skop tanggungjawab lelaki seperti mana yang disebutkan tadi. Namun persoalannya, adakah pada skop perkahwinan dan keluarga sahaja? Bagaimana pula dengan skop tanggungjawab seseorang ar-rijal terhadap an-nisa’ yang lemah dan teraniaya terutama pada era globalisasi yang dikotori dengan pelbagai jenayah-jenayah keji yang melibatkan kanak-kanak dan wanita?

Maka dengan itu saya memberi gambaran terhadap kehidupan seorang wanita yang dianiaya oleh golongan lelaki dalam tiga buah puisi.

1) MY SISTER NAMED MIMI (Jenayah Pedofilia)

Pada tahun ini kita digemparkan dengan seorang warga British bernama Richard Huckle yang didapati melakukan jenayah terhadap lebih kurang (baca: lebih) 200 orang kanak-kanak yang dinamakan Pedofilia.

Apakah itu pedofilia? Pedofilia merupakan suatu orientasi seksual yang melibatkan rangsangan seksual terhadap golongan kanak-kanak. Mangsa kepada penjenayah tersebut adalah secara umumnya kanak-kanak yang berumur kurang dari 13 tahun. (Dipetik dari buku ‘Sisi Terlindung’, artikel dari Amir ‘Izzuddin)

Puisi MY SISTER NAMED MIMI adalah potret kehidupan seorang kanak-kanak perempuan bernama Mimi yang diratah oleh bapanya sendiri. Walaupun puisi ini hanyalah fiksyen dan dicipta sendiri tetapi sedikit sebanyak memberi gambaran tentang implikasi jenayah pedofilia terhadap fizikal dan emosi seorang mangsa.

Pemuisi ialah orang ketiga dan bukan Mimi sendiri. Hal ini menggambarkan bahawa Mimi terlalu muda dan kecil untuk berkata-kata tentang apa yang sedang dialami, mungkin disebabkan trauma yang memberi kesan buruk terhadap lisannya. Selain itu, fizikal Mimi juga terkesan dengan jenayah ini (… she looks thinner than the girls at her age) dan mengakibatkan kanak-kanak sebaya mengejeknya. Bukan itu sahaja, malah perhatiannya di dalam kelas juga terbantut (… she seems to have problems to solve that Math). Malangnya, guru-guru Mimi tidak memahami malah tidak mahu berusaha untuk mencari punca kelemahan Mimi. Ini menggambarkan sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu terjebak dalam hal orang lain.

Apabila di rumah, ketakutan Mimi memuncak kerana dia tidak mempunyai insan untuk bergantung, termasuklah ibunya sendiri yang tidak mempercayai aduannya (… she told Mama what Papa did but then she got nagged). Puisi ini juga mempunyai mesej tersirat di mana ianya memberitahu tentang kepincangan institusi keluarga Mimi yang tidak prihatin terhadap sesama sendiri. Jika Mimi dicabul oleh bapanya setiap malam, jadi di manakah ibunya pada waktu itu? Sama ada sibuk dengan perihal kerjaya, atau terlalu seronok berhibur dengan rakan-rakan, atau tidak redha dengan kelahiran Mimi. Faktor-faktor tersebut adalah tidak mustahil untuk berlaku dalam era ini.

2) SCRAWNY LITTLE BITCH (Gejala Pelacuran)

Tunggu, jangan melatah lagi! Kenapa saya menggunakan bahasa kasar seperti ‘Bitch’ untuk dijadikan tajuk puisi? InsyaAllah akan diterangkan sebentar lagi.

Gejala pelacuran bukanlah sesuatu yang baru muncul pada zaman ini. Ianya telah wujud sejak zaman Jahiliyyah lagi di mana wanita digunakan sebagai hamba seks. Perlakuan itu berlarutan sehingga sekarang kerana kurangnya kuasa dakwah dan tarbiyah seperti mana dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dan umat Islam yang digelar ar-rijal dalam memelihara maruah dan mengangkat darjat para wanita pada zaman itu. Jadi terbuktilah bahawa ar-rijal juga wajib membantu para wanita yang tertindas dan teraniaya.

SCRAWNY LITTLE BITCH adalah kesinambungan (baca: sekuel) bagi puisi MY SISTER NAMED MIMI dan kali ini pemuisi ialah diri Mimi sendiri yang membuktikan bahawa dia kian meningkat dewasa. Pada stanza pertama telah memberitahu bahawa Mimi pada waktu ini bukan lagi berada di rumah, tetapi sedang berada dalam darjah penglihatan lelaki-lelaki yang akan menyambarnya untuk memuaskan nafsu berahi mereka. Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah ‘kerjaya’ bagi seorang pelacur. Ya, Mimi sudah menjadi seorang pelacur!

Puisi ini bukanlah untuk membela gejala pelacuran tetapi untuk membuka mata para pembaca bahawa pelacur juga adalah manusia seperti kita semua yang memerlukan perhatian dan bantuan. Bukan semua pelacur memilih ‘kerjaya’ tersebut dengan rela hati, kemungkinan majoriti tidak bersetuju dengan ‘kerjaya’ ini tetapi tiada pilihan lain untuk meneruskan kehidupan. Salah satu faktor adalah penganiayaan terhadap darah daging sendiri di mana bapa Mimi menjual dirinya kepada bapa ayam (Mama left, Papa brought this mess; for some pathetic cash).

Apa yang digambarkan oleh Mimi dalam puisi ini adalah apabila mata-mata ‘sang suci’ menganggap dirinya sebagai seseorang yang menjijikkan dan tidak patut didekati (Neither a wide shawl lady; nor a long robe gentleman). Itulah sebabnya Mimi menggelarkan dirinya sebagai seorang jalang kerana dirinya tidak terbela oleh orang baik. Walaupun perit tetapi dia sudah lali dengan gelaran itu. Maka dia pasrah.

Jadi, berbalik pada tujuan saya menggunakan perkataan ‘Bitch’ dalam puisi ini adalah untuk mengajak para pembaca untuk membantah penggunaan gelaran-gelaran seperti itu pada pelacur yang juga manusia yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa seperti diri pembaca. Saya mahukan para pembaca untuk bangun dan berkata; “Tidak, Mimi! Kamu bukan seorang jalang! Malah kamu adalah seorang wanita seperti kami!”

3) PROPAGANDA (Keganasan Rumah Tangga)

Kisah hidup Mimi diteruskan lagi dengan sebuah puisi yang terakhir dalam trilogi ini di mana Mimi dihidangkan dengan pelbagai jenis janji-janji manis dari seorang jejaka. Disebabkan hatinya tertambat dengan kata-kata jejaka tersebut, terutama pada bab perlindungan dan cinta, maka Mimi memutuskan untuk menjadi isterinya.

Namun segala-galanya tidak seperti apa yang dijanjikan. Mimi telah menjadi seorang mangsa keganasan rumah tangga. Suaminya bertindak kejam dan memukulnya sehingga lemah. Mimi mengeluh sebanyak tiga kali secara berterusan dalam puisi ini menandakan dia sudah serik dengan penderitaan yang dialami. Dia berasa iri hati dengan kehidupan isteri-isteri di sekitarnya yang hidup bahagia bersama pasangan tetapi apa yang dia terima dari suaminya adalah kesakitan dan keperitan.

“Statistik menunjukkan pada tahun 2007 hingga Februari 2012 sebanyak 18,124 kes keganasan rumah tangga dilaporkan iaitu 3,756 kes (2007), 3,769 kes (2008), 3,643 kes (2009), 3173 kes (2010), 3,277 kes (2011) dan 506 kes pada dua bulan pertama 2012” (Dipetik dari Utusan Online, 14/03/2013)

Mengikut statistik di atas, bilangan kes keganasan rumah tangga tampak mendatar tetapi tidak bermakna ianya perlu dipandang ringan. Setiap maksiat yang berlaku di sekitar kita, terutama apabila ianya melibatkan golongan yang lemah seperti wanita, ianya harus dibanteras sehingga ke akar umbi!

Puisi diteruskan lagi menggambarkan kemurungan yang dialami oleh Mimi. Fikirannya terlalu kusut untuk memikirkan alasan untuk meneruskan kehidupan (I won’t survive another day). Memikirkan tentang kematian sebagai cara terbaik untuk menyelesaikan masalah adalah salah satu simptom kemurungan. Apabila pesakit sudah berfikir sehingga ke tahap itu, maka kemurungannya semakin kronik.

Akhirnya, Mimi memutuskan untuk lompat (I leap ~) dari tingkat sepuluh. Puisi tidak diakhiri dengan menyatakan bahawa Mimi berjaya membunuh diri atau tidak. Kisahnya tergantung, menyarankan para pembaca untuk berfikir dengan perkataan ‘Jika’ sebagai permulaan.

Jika dia hidup, apa akan terjadi?
Jika dia mati, apa akan terjadi?

Dan yang paling penting; Jika aku bertindak dari awal, adakah aku mampu menyelamatkan Mimi?

KESIMPULAN

Pada zaman ini, jenayah semakin berleluasa di Malaysia kerana kepincangan fahaman agama dan moral dalam kalangan rakyat. Jenayah-jenayah yang berlaku melibatkan mangsa yang tidak mengira jantina, umur mahupun kaum.

MY SISTER NAMED MIMI, SCRAWNY LITTLE BITCH, dan PROPAGANDA dikarang untuk membuka mata para pembaca bahawa mangsa-mangsa jenayah pedofilia, gejala pelacuran dan keganasan rumah tangga sedang menderita dan perlukan pembelaan dari semua pihak.

Apa gunanya kita hidup di dalam negara yang sama, berpijak di atas tanah yang sama, menjunjung langit yang sama tetapi tidak prihatin terhadap manusia-manusia yang terdesak memerlukan bantuan? Bukankah perpaduan rakyat yang utuh diperlukan untuk membina suatu negara yang harmoni? Di manakah keharmonian sesuatu negara jika rakyat bersubahat bersama maksiat dan jenayah dengan mendiamkan diri?

Berbalik kepada kalamullah dalam surah An-Nisa’ ayat ke 34. Kaum lelaki perlu berganding bahu dalam membela nasib kanak-kanak dan wanita di Malaysia. Walaupun terdapat sebilangan NGO, pertubuhan dan institusi tertentu seperti Wanita IKRAM dan Raudhatus Sakinah yang dikemudi oleh para wanita demi memperjuangkan hak asasi kanak-kanak dan wanita tetapi ianya tidak salah bagi kaum lelaki untuk berkolaborasi dengan mereka. Adalah tidak wajar bagi kaum lelaki untuk melepaskan tangan dan membiarkan kaum wanita sahaja yang memelihara kaum mereka sendiri.

Saya berharap agar penerangan tentang puisi-puisi ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan para pembaca bahawa kita semua perlu bertindak dalam menangani jenayah pedofilia, gejala pelacuran dan keganasan rumah tangga. Semoga negara Malaysia menjadi satu negara rahmah yang memelihara maruah dan keselamatan kanak-kanak dan wanita daripada dibelenggu oleh jenayah-jenayah keji.

Malaysia Menuju Negara Rahmah!

Muhammad Faris Nazrin bin Khairun Nazir,
A concerned teacher and a future husband/father.

Jemput baca puisi-puisi tersebut di Facebook saya, Muhammad Faris Nazrin. Untuk memudahkan pencarian, sila cari #mysisternamedmimi.

Gambar kredit: BK Reader

Most Popular

To Top