Global

Surat buat Ibu Fauziah

women-boat-gaza

Assalaamualaikum Ibu,

Moga Ibu dan teman-teman Ibu yang bersama Zaytouna-Oliva sihat sejahtera.

Izinkan saya membahasakan diri saya sebagai anakanda, boleh ya Ibu?

Ibu,

Rasanya kita tidak pernah bertemu. Mungkin juga kita pernah terserempak di mana-mana cuma anakanda pada waktu itu belum cukup mengerti untuk menghargai pengorbanan Ibu atas nama kebebasan serta kemuliaan insan bagi rakyat Palestin yang jaraknya puluhan ribu batu dari Malaysia itu. Dan belum juga dikurniakan kekuatan untuk mendekati Ibu dan menadah selaut pengalaman serta hikmah dari Ibu sepanjang mewakafkan diri untuk tujuan kemanusiaan.

Nama Ibu pernah saya dengar dari sahabat-sahabat yang berkhidmat di organisasi kemanusiaan yang Ibu sertai, Mycare. Disebut-sebut oleh sahabat-sahabat anakanda itu akan kesungguhan Ibu dalam memperjuangkan keyakinan Ibu itu. Biarpun hanya dari khabar mulut, anakanda sudah pun terkesima akan teladan yang Ibu contohkan itu.

Ibu,

Anakanda mengikuti perjalanan Ibu dan teman-teman misi Women’s Boat to Gaza yang bertolak dari Barcelona, Sepanyol yang kemudiannya berlabuh di Ajaccio, Perancis sebelum terus ke Messina, Itali dengan harapan dapat mengakhiri perjalanan di Pelabuhan Gaza, Palestin. Kalau tak silap anakanda, ada 2 kapal yang terlibat dalam misi ini kan Ibu?

Amal-Hope dan Zaytouna-Oliva. ‘Amal’ membawa simbolik kepada ‘harapan’ yang akan dibawa oleh misi ini ke persisiran pantai Gaza dan ‘Zaytouna’ pula menekakan kepentingan zaitun dalam pertanian di Palestin. Namun dikhabarkan pada 4 Oktober bahawa Amal-Hope tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan kerosakan enjin dan 12 orang teman seperjuangan Ibu terpaksa digugurkan dari meneruskan misi itu.

Ibu,

Semalam berita memaklumkan bahawa kapal Zaytouna-Oliva yang membawa Ibu dan teman-teman dijadualkan tiba di Pelabuhan Gaza dalam tempoh 24 jam untuk merempuh kepungan lautan rejim Israel. Ketika laporan itu dibuat, Zaytouna-Oliva berada kurang 100 batu nautika barat laut dari Pelabuhan Gaza.

Membaca berita itu mengingatkan anakanda kepada peristiwa Mavi Marmara pada tahun 2010 yang juga bertujuan untuk merempuh kepungan lautan oleh tentera laut Israel yang bermula pada tahun 2007. Jika anakanda tak silap, kepungan itu mengehadkan jarak perikanan kepada hanya 3 batu nautika dari persisiran pantai Gaza. Betul kan Ibu?

Pagi ini pula sebaik saja anakanda terjaga dari tidur, anakanda bingkas mencari berita terkini kedudukan Ibu di lautan. Berderau darah anakanda tatkala menonton video rayuan Ibu kepada masyarakat antarabangsa yang muncul di garis masa Facebook anakanda. Rupa-rupanya video itu telah dirakam lebih awal dan disebarkan setelah berita penangkapan anak kapal Zaytouna-Oliva disahkan benar.

Ibu,

Anakanda tidak pasti keadaan Ibu dan teman-teman kini bagaimana. Dikhabarkan bahawa tahanan yang ditempatkan di penjara-penjara Israel melalui penyiksaan yang tidak dapat dibayangkan oleh mana-mana akal manusia yang mempunyai kesedaran manusiawi. Untuk disenaraikan cara tahanan rejim Israel disiksa dalam surat yang pendek ini pun tidak mampu untuk anakanda bingkiskan dan cukuplah sekiranya anakanda membaca laporan Human Rights Watch tentang kaedah-kaedah penyiksaan yang dilaksanakan oleh rejim Israel itu Ibu.

Tambahan pula, kisah penahanan tanpa bicara juga turut diperincikan dalam himpunan pengalaman bekas tahanan Israel dalam buku The Prisoner’s Diaries. Cuma anakanda yakin Ibu menyertai misi ini dengan kesedaran yang jelas akan kesan sekiranya ditangkap oleh rejim Israel. Doa anakanda, pengalaman Pak Hasan yang berada di atas Mavi Marmara pada Mei tahun 2010 tidak berlaku kepada Ibu.

Ibu,

Ada sahabat yang bertanyakan kepada anakanda, kenapa Ibu sanggup bersusah-payah merentas lautan untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin sedangkan ramai lagi rakyat Malaysia yang masih memerlukan bantuan? Anakanda sedih kerana tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati sahabat itu.

Anakanda katakan pada sahabat itu bahawa kita sebenarnya perlu memberi bantuan secara menyeluruh kepada semua mereka yang memerlukan. Jika sahabat itu terlebih dahulu membuat pembacaan, rupa-rupanya Mycare telah dan sedang memberikan bantuan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Tambahan pula, isu Palestin sudah berlarutan hampir 70 tahun ini dan masakan hendak diendahkan sahaja.

Ibu,

Anakanda menceritakan pula kepada sahabat itu bahawa kepungan Israel itu menafikan rakyat Palestin di Gaza daripada menikmati hak-hak asasi mereka sebagai manusia! Ini jelas sekali bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Kepungan itu juga mengekang proses import-eksport dan perjalanan keluar-masuk ke negara mereka.

Lebih memburukkan, kepungan itu menafikan rakyat Palestin dari menggunakan tanah pertanian dan melakukan aktiviti perikanan. Malangnya, kepungan itu juga adalah sebagai satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Gaza yang menghalang mereka daripada mendapat pendidikan, bantuan perubatan, air minuman, makanan dan pertukaran budaya. Harapnya sahabat anakanda itu faham realiti ini.

Ibu,

Anakanda menanti Ibu kembali ke tanah air untuk menyampaikan mutiara pengalaman yang Ibu timba sepanjang perjalanan melalui jalan laut ke Gaza itu untuk anakanda jadikan pedoman dalam mengikuti jejak langkah Ibu di atas jalan perjuangan kemanusiaan ini. Anakanda sedar akan perlunya Ibu dan para pendahulu perjuangan ini memberi tunjuk ajar kepada anakanda dan sahabat-sahabat anakanda dari kalangan anak muda yang merindui bimbingan Ibu.

Ramai dari anak muda kini mula mencari identiti diri, mereka ingin meletakkan diri di dalam senarai panjang pahlawan yang menyumbang kepada kesejahteraan kemanusiaan tetapi ramai yang tergelincir lalu memilih jalan ekstremisme yang membawa kerugian berbanding manfaat.

Ibu,

Anakanda sering merenung bersendirian tentang apakah yang menyebabkan Ibu dan teman-teman membelah lautan membawa mesej kemanusiaan itu? Sahabat anakanda memaklumkan bahawa gelora badai yang menggiring Zaytouna-Oliva di sepanjang lautan itu bukanlah suatu mainan anak-anak yang tenggelam dalam khayalan tapi adalah satu kejadian yang benar.

Bahkan semangat perjuangan teman-teman Ibu di Malaysia turut membingungkan anakanda. Sekadar menyebutkan beberapa contoh – Pak Hafidzi yang pidatonya yang membakar semangat dan Pak Syed Radhi dengan penulisannya yang mencetus kesedaran. Rugi andainya kami anak-anak muda tidak mengambil peluang untuk berguru dengan maestro-maestro ummat ini.

Ibu,

Ingin sekali anakanda panjangkan lagi warkah ini namun anakanda fikir biarlah ianya dinoktahkan setakat ini sahaja. Doa dari anakanda dan seluruh warga dunia yang mengimpikan suburnya keamanan sejagat dan terkuburnya kezaliman terhadap sesiapa, di mana jua untuk keselamatan pulang Ibu serta teman-teman ke tanah air.

Sekian, assalaamualaikum.

Dari anakmu.

Ditulis oleh Awang Ilham, petugas Pertubuhan IKRAM Malaysia dan penggerak komuniti di Sri Serdang, Selangor.

Most Popular

To Top