Isu Semasa

Antara Jalan Tar Yang Dikhuatiri Najis Dan Nora Danish

Membaca satu laporan berita dari sebuah akhbar tempatan yang bertajuk ‘Tak ada cara lain ke?’ membuatkan saya jelek. Isu yang dibawakan adalah berkenaan pelajar-pelajar yang lewat hadir ke sekolah dan didenda dengan duduk diatas jalan tar. Paling menarik sekali isu ini sudah sampai sehingga kemeja Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanatahan.

Bagi saya ini hanyalah isu picisan yang tidak perlu kita beritakan.

Duduk atas tar sahaja pun, bukannya duduk di dalam longkang. Dan ini sudah cukup bagus dibenarkan untuk duduk di atas tar. Selalunya pelajar yang datang lambat disuruhnya beridiri di hadapan di atas pentas dan dimalukan secara berjemaah. Diberinya gelaran yang buruk-buruk sebagai sekian-sekian pelajar yang tidak patut dicontohi.

Adapun ibu bapa yang dikhuatiri anaknya terduduk diatas najis, eloklah kita ajarkan mereka satu hadis Nabi sallallahu’alaihi wasallam;

“dan dijadikan bumi seluruh tanahnya masjid dan suci. Maka di mana sahaja aku berada, aku akan menunaikan solat padanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari hadis di atas bolehlah kita fahami bahawa, seluruh bumi ini boleh dijadikan tempat solat, kecuali di tempat-tempat yang ada najis yang nyata.

Ibu bapa pelajar itu, tidaklah salah sepenuhnya kerana saya rasa dia berbicara perkara yang dia tiada ilmu tentangnya.

Yang lebih salah adalah ulama, intelektual dan orang-orang yang punya ilmu yang tidak berjaya mendidik masyarakat sehingga sekecil-kecil perkara-perkara asas sebegini yang sepatutnya sudah selesai ketika mana kita di sekolah rendah lagi.

Syed Hussein Al Attas di dalam makalahnya Intelektual Masyarakat Membangun telah membahaskan dengan panjang lebar mengenai fungsi intelektual. Beliau menukilkan “Kaum intelektual yang harusnya menjelaskankan masalah masyarakat dan mencuba menyelesaikannya. Selain itu, kaum intelektual menghasilkan idea-idea dan menyebarluaskannya kepada anggota masyarakat lainnya.”

Selagi mana orang-orang cerdik pandai hanya berada di bilik dengan buku-buku kesayangannya, selagi itulah kita akan lihat isu-isu sampah ini berleluasa. Mereka ini perlu keluar bercakap dan mengajarkan kita apa yang lebih utama. Ke depan sebelum bermula. Mencegah sebelum mengubatinya.

Jika tidak, keluarlah manusia yang jahil yang menjadi jurucakap kepada masyarakat. Misalnya ahli politikus yang bercakap untuk kepentingan dirinya sendiri, media-media, artis-artis dan lain-lainnya.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan kita juga perlu sedar bahawa ini hanya isu picisan. Tidak perlu diberitakan dan tidak perlu dibawa ke kementerian. Tiada siapa yang mati atau terluka jika duduk diatas tar.

Yang lebih utama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) perlu tanyakan dan perjuangakan adalah mengapa kedudukan penguasaan pelajar bawah 15 tahun kita dalam subjek Sains dan Matematik berada di kedudukan ke 52 daripada 76 negara yang terlibat dari hasil kajian OECD pada tahun 2015? Kenapa semakin ramai pelajar kita tidak berminat dengan sains dan matematik? Kenapa silibus di sekolah semakin sukar? adakah ini untuk meningkatkan penguasaan pelajar kita dalam sesuatu subjek?

Soalan-soalan seperti ini yang perlu dibawa dan ditanyakan kepada kementerian. Isu-isu sebegini yang sebenarnya perlu kita beritakan.

Kredit gambar: Cikgu Zuhairi Manong

Penulis: Faiz Abd Talib, merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Seorang aktivis IKRAM Siswa dan juga aktivis Projek Kehidupan. Cenderung berbicara mengenai sejarah dan politik dan juga meminati band rock England era 70-an ‘Led-Zeppelin’.

Most Popular

To Top