Agama

Generasi Muda vs Dunia Digital

ryc-forum

“Tiada yang mustahil untuk mencipta kejayaan melalui dunia digital asalkan berani mencuba dan memulakan usaha” – Shakirah Abdul Karim, CEO Minda Trafik.

Pada 10-11 November 2016 lalu telah berlangsung Regional Youth Convention 2016 yang bertemakan “Youth in a Digital World” dianjurkan oleh World Assembly of Muslim Youth (WAMY). Tema generasi muda dan dunia digital yang diangkat pada tahun ini begitu sinonim dengan masa kini dimana segalanya kini hanya berada dihujung jari.

Dunia digital merupakan wadah maya yang membolehkan manusia saling berhubung melalui alat atau peranti digital. Manfaatnya inklusif buat semua warga dunia kerana ia adalah dunia yang penuh dengan idea, pendapat, pembelajaran, maklumat dan peluang tanpa henti selama 24 jam sehari apatah lagi untuk 365 hari setahun.

Generasi muda pula didefinasikan kepada golongan berumur antara 15-40 tahun dan menurut Ahmad Handawi, demografi generasi muda adalah seramai 65% daripada keseluruhannya pada tahun 2014. Maka, mereka merupakan antara golongan paling berpengaruh mutlak dalam mengawal dunia digital ini bilamana merekalah sebenarnya pemain utama dalam gelanggang dunia digital.

Persoalannya, dimanakah kedudukan generasi muda kini dalam menggunakan dunia digital? Adakah sekadar sebagai pemain tegar permainan online seperti clash of clan (COC) atau terus-terusan menghabis masa dengan window shopping di butik-butik online, atau mungkin menjadi penggodam maklumat di alam siber, atau juga sekadar meriuhkan lagi “sembang-sembang kosong” di media sosial persendirian?

Mendepani zaman dunia tanpa sempadan ini, tidak lari untuk setiap generasi muda dibekalkan dengan ilmu dunia digital yang juga seharusnya tanpa sempadan. Konsep Digital-savvy Youth perlu dimaknai dan dipraktikkan sebaiknya oleh semua generasi muda kini. Kajian pada tahun 2015 tentang kompetensi pekerja dalam kalangan belia oleh Universiti Putra Malaysia bersama Institut Kajian Belia menyimpulkan bahawa setiap pekerja perlu mengembangkan kemahiran media sosial yang merupakan keperluan semasa kini terutamanya sebagai medium untuk berhubung dalam kehidupan seharian. Cuba sahaja dibayangkan, bila mana semua staf di sebuah syarikat berhubung menggunakan aplikasi whatsapp, dan anda seorang sahaja yang tidak menggunakannya? Bagaimana mungkin produktiviti pekerjaan akan meningkat?

Peranan generasi muda amat penting dalam pembangunan dunia digital yang lebih baik. Saudara Jufitri Bin Joha mewakili Majlis Belia Malaysia menyimpulkan daripada pembentangannya bahawa generasi muda perlu lebih daripada sekadar menjadi pengguna dunia digital. Mereka perlu mara setapak lagi untuk menjadi pengeluar produk inovasi digital agar mampu menyumbang kepada ummah. Justeru, belia perlu kreatif dan inovatif dalam menyahut seruan ini bagi menjadi generasi pengeluar tidak lagi sekadar pengguna. Kritikan juga diberi kepada belia yang menyalahgunakan dunia digital seperti pembulian siber, penipuan, pornografi dan aplikasi yang tidak bermanfaat. Beliau berharap bahawa generasi muda perlu menerokai capaian yang baik yang mampu membangun ummah seperti e-commerce, kesukarelawanan, keusahawanan dan dakwah digital.

Seterusnya, pembentangan daripada Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid mewakili Fakulti Kejuruteraan, Universiti Multimedia (MMU) menekankan tentang cabaran utama pembentukan dunia digital yang inklusif adalah bagaimana mahu mendekati golongan di kawasan pedalaman dan juga golongan bukan elite yang kurang celik ICT. Justeru, beliau menekankan tentang ini adalah peranan bersama antara generasi muda, golongan akademik, badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Akhirnya, kita sudah lihat bagaimana Dr. Zakir Naik melalui dakwah digital mampu menarik saudara baru Islam.

Kita sudah lihat bagaimana butik Elrah exclusive, telah menjana pendapatan dengan menggunakan media sosial.

Kita sudah lihat beberapa negara lain mampu menuntut keadilan kepada kerajaan mereka juga melalui kuasa viral dunia digital.

Kita juga sudah lihat bagaimana netizens mempunyai pengaruh besar dalam penyampaian pandangan dan idea melalui dunia digital.

Justeru, ayuh generasi muda kita bangkit bersama membawa agenda kesedaran yang lebih baik melalui dunia digital dan seterusnya menginspirasikan masyarakat dunia dan seisinya.

Akhirnya, dunia digital mempunyai peranan penting dalam mencorak negara bangsa. Namun, jika baik penggunaanya, maka baik lah kesannya. Jika buruk penggunaannya, maka binasalah impaknya.

Gambar: Facebook Regional Youth Convention

Penulis: Husna As Saedah Bain, aktivis ASEAN Young Leaders Forum (Malaysia Chapter) . Graduan Fakulti Sains dan Teknologi, USIM Nilai.

Most Popular

To Top