Isu Semasa

Jufazliku Pahlawanku

jufazli-solidarity

Melihat tajuk diatas mungkin ada yang teringatkan lagu hits dari negara seberang dendangan Wali Band.  Lagu itu menceritakan perihal seorang cucu yang mempunyai masaalah (putus cinta) dan menjadikan kata-kata neneknya sebagai penguat semangat.  Namun kali ini bukan saya ingin bicara soal cinta.  Tapi tentang yang besar lagi dari itu, namun dalam konteks yang sama iaitu, inspirasi.

SAHABAT YANG TERTANGGUH

Takdir Allah saya mula mengenali ‘insan logam’ ini pada sekitar 2010 dalam siri pertandingan debat anjuran Majlis Debat Antara Universiti Malaysia (MADUM).   Ketika itu saya mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) dan beliau mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) yakni universiti idaman saya, yang saya pilih sebagai pilihan pertama ketika mengisi borang ke universiti, tapi saya dipilih oleh UUM sebagai pelajarnya bukan UMS.  Mungkin inilah yang ceritera Allah yang ingin simpan dulu Jufazli agar kami bertemu di tempat yang lebih sesuai.

Dalam setahun, ada sekitar 5-8 kali pertandingan debat.  Maka kami adalah antara muka yang selalu menyertainya mewakili universiti masing-masing pada waktu itu.  Saya selalu melihat kelibatnya namun tidak pernah bertegur,  sehinggalah ditakdirkan Allah, pasukan saya kalah pada penentuan ke suku akhir.  Saya menunduk lama di bangku di dalam surau kerana sedih yang teramat.  Tiba-tiba ada tangan yang menepuk bahu saya dan membisik ‘sabar-sabar.’  Terharu menyelubungi, kerana yang memujuk itu orang yang tidak pernah saya kenal secara dekat, tapi datang seperti orang yang rapat dengan tujuan memujuk.  Realitinya, pasukan beliau adalah antara pasukan yang boleh dikatakan tidak pernah tidak ke suku akhir.  Namun beliau merendah diri. Itulah orangnya Jufazli Shi Ahmad!

DITEMUKAN DI BUMI BANGI

Pada tahun 2013, saya menyambung sarjana dalam bidang Sains Politik di UKM.  Sebelum ke sana, ada teman yang juga pendebat dari UMS (rakan sepasukan Jufazli) memberitahu saya bahawa Jufazli juga sambung sarjana di universiti sama dalam bidang yang sama.  Hati berasa lega kerana ada juga teman yang akan saya cari sebaik tiba disana.

Hari pertama daftar, mata saya mula meliar mencari sosok Jufazli, akhirnya dari jauh saya nampak dia berseluar slack hijau muda, dan ber’T-shirt kolar’ sedang bercakap telefon di luar dewan.  Gayanya seperti orang lama di situ padahal beliau juga pelajar baru.  Sejurus kami terserempak, kami terus melambai gembira.  Maka bermula dari situ, di mana ada saya di situ ada dia.  Semua tugasan berkumpulan tidak ada yang kami tidak satu kumpulan.  Andai pun satu kumpulan hanya dua orang, dan dua orang itu saya dan dia. Dala. Kelas kalau saya atau beliau lambat kami akan jaga tempat ‘spare’ untuk pastikan kami duduk bersebelahan.

Jufazli tiada kenderaan, tapi saya berkenderaan pemberian kedua orang tua saya.  Mana sahaja tempat yang kami mahu pergi kami akan pergi.  Dalam kereta, pernah dia tanya saya, ”ginkk, apa kereta idamanmu?” Saya jawab, ”aku mo Honda City jakk.” saya rasa saya sudah merendahkan jawapan kerana memilih kereta kelas pertengahan.  Tapi jawapannya lagi mengharukan, dia jawab ”kalo aku pula kereta idamanku Myvi macam ko ni syakk tokk.” Jawab dia dengan nada berharap. Allah, malunya saya.  Rupanya dibalik soalan dia ada sesuatu yang dia mahu sampaikan iaitu, bersyukurlah dengan apa yang kita ada sedangkan ada orang yang mengidamkan kesenangan seperti kita disaat kita mula mencongak kemewahan lain.  Inilah peribadi sahabat dunia akhirat saya Jufazli.  Hidupnya susah tapi dia bukan orang yang putus asa.

Kami menyiapkan tugasan, menelaah pelajaran bersama-sama sehingga subuh.  Banyak benda yang saya tidak mampu buat Jufazli pasti akan jadi orang yang bantu saya.  Dia risaukan saya, bila dirisau bukan kita diumpat, tapi dia tolong dengan penuh ikhlas walau dia terpaksa korbankan masa dan tenaganya. Saya sudah mengenali ramai teman sebelum ini di medan begini.  Saya tidak pernah jumpa insan seikhlas ini dalam bersama-sama menuntut ilmu.  Jika saya mengaku kalah dia yang akan bangkitkan saya. ”Besar harapan mak bapak kita di kampung mo tinguk kita berjaya disini.”  Inilah antara pesanan beliau.

Beliau seorang yang gigih. Mungkin begitulah kerisauan dia kepada ‘Sabah Tanah Airku’ dan ‘Malaysia Tanah Tumpah Darahku’ ketika ini sehingga beliau terperosok ditempat sekarang. Cintanya kepada negara ini tinggi. Kau ilhamku!

Pernah satu hari, dia hubungi saya ”gink, ko di mana? Aku rindu kau, aku mo jumpa ko sekarang.” (dalam nada seperti menangis).  Saya pecut kereta macam orang gila dari Putrajaya ke Pusanika UKM (kedai dan tempat kegiatan pelajar UKM).  Saya jemput dia masuk kereta, sebaik sahaja pintu kereta ditutup, terus dia menangis dan menghulurkan tab usangnya untuk menunjukkan sebuah ”screen shoot.”  Rupanya ada sekumpulan kenalan kami yang sindir dia di media sosial seolah dengki dengan dia.  Yang amat menyedihkan dia kerana mereka itu adalah orang yang terdekat dengan kami juga pada masa itu dan yang dia tidak sangka.  Saya pujuk dia agar bersabar.

Banyak lagi kisah duka dia, dalam keadaan susah sebagai pelajar, beliau pernah dirompak ketika tidur didalam bilik.  Sedih beliau tidak terhingga apabila semua kegunaan eltroniknya hilang termasuk wang.  Ada tugasan kuliah yang sudah disiapkan di dalam laptop juga hilang dan memaksa beliau buat semula.  Saya membayangkan kalau ia berlaku ditempat saya memang sangat berat.  Tapi beliau tabah menyiapkan kembali tugasan itu walau saya tahu dia sangat sedih.  Pernah dia buat tugasan kerja sambil menangis kerana mengenang kesusahan keluarganya di kampung dicampur rindu pada mereka di ‘Negeri Bawah Bayu.’

Inilah Jufazli, orangnya tegas tapi mempunyai hati yang sangat lembut.  Saya tidak dapat membayangkan bagaimana dia melalui hari-hari dalam penjara, bagaimana pula jika dia ditengking dalam soal siasat, sedangkan dia seorang yang sangat lembut hati. Allah, sedihnya!

DULU HANYA SEEKOR ULAT

Minat kami sama, memang dari dulu kami ‘gila politik.’ Memandangkan kami berlainan latar belakang, maka kami hadir dari dua cabang politik yang berbeza, dan kami kedua-duanya adalah fanatik kepada fahaman masing-masing.  Namun, biarpun kami sering berdebat isu kami tidak pernah bergaduh dan kami tetap saling sayang dan hormat antara satu sama lain tanpa ada secebis pun rasa benci.  Malah perbezaan inilah membuatkan perbincangan kami makin dalam.  Di akhir perbincangan kami, mesti ada satu rumusan yang kami buat dan kami sepakati.  Politik matang itu jiwa kami. Situasi ini tidak semua orang boleh melalui malah ini yang akan menambahkan keruhan dalam silaturahim.

Ketahuilah, bahawa dulu Jufazli sangat menyanjungi Musa Aman dan dia kuat ke’BN’annya.  Saya pula kuat sanjungan kepada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.  Maknanya kami ‘thiqah’ kepada ketua menteri dan menteri besar kami.  Pernah saya cakap, kalau nanti saya mahu jadi ahli politik dan bertanding di Sabah atas lambang ‘bulan.’  Terus dijawabnya ‘ah, matilah ko tu oleh pengikut Musa Aman, dorang kuat sokongan pada Musa Aman.’  Sebenarnya dialah antara ‘Dorang’ yang dimaksudkan itu.  Begitu tinggi harapannya pada Musa Aman dulu agar terus memajukan Sabah.

Seperti biasa, kalau saya berdebat dengan dia, dia akan menyentuh sentimen jasa kerajaan seperti pemberian infrastruktur kerajaan dan sentimen ke’bumiputera’an yakni segala ‘kepentingan’ bangsa Bumiputera Malaysia (Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau, Dayak, Iban, Bugis dan lain-lain) yang telah dilindungi oleh kerajaan sekarang, dan belum tentu ianya kekal jika bertukar pemerintah, Jufazli waktu itu masih merasakan Bumiputera sedang selamat dan bersyukur dengan keadaan semasa yang dirasakan cukup baik berbanding jika perubahan tampuk kerajaan itu berlaku. Padahal usaha tukar pemerintah sebenarnya juga untuk lebih melindungi Bumiputera Malaysia disamping kaum lain tetap dijaga haknya.

Manakala, saya pula akan gunakan sentimen agama untuk dipertahankan, disamping menyelitkan hadis dan ayat quran yang telah diratib oleh pemimpin parti sanjungan untuk jadi senjata matikan hujah lawan.  Bila dengar sahaja ayat quran dia akan mati akal dan akhirnya kami ketawa.  Begitulah hormatnya Jufazli pada agama.  Sekali lagi kami telah mengamalkan politik rahmah, perbezaan itu bukan perbalahan tapi bersedia untuk jadikan perbincangan.  Dulu dia cukup ‘alergik’ dengan beberapa nama pemimpin pembangkang.

Pernah dia beritahu, suatu hari nanti dia mahu saya dan dia ada dalam pentas politik negara.  Itulah azam yang kami pasang. Kau cahayaku!

PASCA PRU 13

Pasca PRU 13, selepas kami sempat mencalit undi kepada kepercayaan masing-masing dengan penuh harapan.  Kami menyaksikan akan realiti keboborokan kepada parti yang kami berikan kepercayaan.  Mahu tidak mahu, yang buruk perlu diakui buruk yang baik mesti dipertahan baik.  Berbanding kami yang dulu lebih kepada hanya mempertahankan sebelah pihak.  Dalam tidak sedar pendirian masing-masing mula berubah.

Selepas tamat pengajian, kami tidak pulang ke kampung halaman kerana masing-masing sudah dapat kerja.  Waktu ini kami mula giat aktif sebagai aktivis.  Kami berjumpa tidak sekerap dulu tapi masih meluangkan masa untuk membaca quran dan tidur serta qiyam di masjid bersama, paling tidak sekali atau dua kali seminggu kami akan jumpa.

Seiring suhu dan perkembangan politik, suhu pendirian kami juga berubah.  Kami mulai faham berpolitik ini bukan hanya ingin menyatakan fahaman kita benar fahaman orang salah.  Politik ada matlamat yang lebih besar iaitu disamping melawan kezaliman, kita perlu membina masyarakat.

Akhirnya, dalam tidak sedar Jufazli sudah mula meninggalkan fahaman lama begitu juga saya.  Antara kami, tiada sesiapa cuba mengkonstruk pemikiran sesiapa.  Tetapi kami mendapat pendedahan tentang maksud perjuangan sebenar adalah untuk membina masyarakat. Mungkin ini yang akhirnya secara tidak sengaja telah membawa kami kepada hala tuju yang sama.  Walaupun begitu, semangat beliau dan usaha beliau beribu ganda lebih dari saya.  Ingin menjadi pemimpin bererti mewaqafkan diri untuk ummah.  Agaknya inilah harga yang sedang dibayar kini dalam berdepan pemerintah, sedang rakyat hanya bercagarkan tulang empat kerat.

ANAK MUDA TIDAK DILAHIRKAN BEGINI

Kepada pemerintah, Jufazli, penulis dan jutaan anak muda yang lain seperti hari ini bukan kerana memang kami dilahirkan begini.  Malah kami dilahirkan dari pelbagai latar belakang. Di kalangan kami kini dulunya ada penyanjung tetap kerajaan hari ini.  Dari anak muda yang begini hari ini ada yang dulunya pemuja tegar pasukan yang kini menggelarkan diri sebagai ‘blok ketiga.’  Tetapi kenapa kini kami semua beralih?  Kerana kami telah menggunakan akal melebihi ketaksuban kami kepada anda.  Ubahlah cara anda, percayalah Jufazli bukan kelahiran bongsu dalam negara ini.  Jika negara berterusan begini akan tumbuh beribu lagi anak muda seperti ini.  Bukan siapa yang memerintah tujuan kami, tapi siapa yang boleh menjaga perut kami dan negara kami itu utama.

JUFAZLI SANG RAMA-RAMA TERBANG

Saudaraku Jufazli, janganlah dirisaukan atau berduka lara, di negara yang indah ini penjara bukan lagi sepenuhnya untuk orang jahat, tapi disanalah tempat yang mengumpulkan orang yang hebat.  Iya, anda akan jadi orang yang hebat selepas ini.  Kenangilah Nabi Yusuf a.s, Imam Hassan Al Banna, bukankah mereka juga pernah menginap di ‘tirai besi’ itu?  Yakinlah, penahanan ini akan menguntungkan anda kerana memberi lonjakan percuma sedang lawanmu tiada apa yang dapat, melainkan berdepan cemuhan rakyat yang bersedia menghukum mereka dalam pilihan raya.  Kita dulu bersama bagai seekor ulat.  Tapi kini kamu bagai rama-rama yang indah. Terbanglah kamu sepuasnya disaat kami masih lagi sebagai kepompong yang baru ingin membentuk bunga.

Kalau ”Dulu enta inspirasi ana, kini enta pahlawan anak muda seluruh negara.”  Anda adalah Jufazli yang sudah tinggi. Kami menunggu kepulanganmu.

SOLIDARITI BUAT SAHABATKU JUFAZLI!

Mohd Sufian Bin Zahari.
(Sahabat Seperjuangan Masters 2013-2015)

Most Popular

To Top