Isu Semasa

Pengajaran vs Penderaan

penderaan

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita-berita tentang golongan ibu bapa yang memberi “pengajaran” kepada anak-anak mereka setelah mereka melakukan kesalahan.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita-berita tentang golongan ibu bapa yang memberi “pengajaran” kepada anak-anak mereka setelah mereka melakukan kesalahan. Hukuman berbentuk “pengajaran” tersebut adalah seperti menambat pada pokok, merantai pada tiang dengan rantai besi dan merotan sehingga lebam dan berdarah.

Perlakuan-perlakuan tersebut telah diviralkan di Facebook dan telah mendapat komentar-komentar dari rakyat Malaysia. Ada yang tidak bersetuju tetapi yang malangnya majoriti rakyat Malaysia bersetuju dengan perlakuan barbarik itu!

Maka dengan itu saya mengambil alternatif untuk memberi penerangan tentang pendidikan yang lebih sesuai apabila seseorang kanak-kanak melakukan kesalahan. Namun apabila penerangan diberi, ianya menjadi suatu perbahasan yang kurang sihat; pada pandangan saya; apabila mereka menyindir dan menyatakan sesuatu yang saya anggap kurang matang.

Jadi saya mengambil peluang ini untuk merekod semula perbahasan kami untuk menerangkan bahawa ada metod yang lebih berhikmah selain daripada penderaan;

______________________________________________________________

(Statement: Stmt, Refutation: Rft)

Adegan 1:

Stmt: “Dulu aku kena bantai dengan tali pinggang, getah paip, kayu dan sebagainya. Alhamdulillah jadi manusia juga”

Rft: “Manusiakah anda jika hanya melihat kanak-kanak yang baru mengenal dunia dihukum seperti itu? Manusiakah anda jika tiada rasa simpati dan empati? Manusiakah anda jika tiada timbul rasa kasih sayang dan cinta pada kanak-kanak? Jadi adakah anda seorang manusia seperti apa yang anda maksudkan selepas dihukum seperti itu? Adakah anda golongan yang dimaksudkan oleh para Malaikat dalam surah al-Baqarah ayat ke 30 yang sukakan keganasan sehingga menumpahkan darah?”

Adegan 2:

Stmt: “Islam juga menentukan hukuman-hukuman tertentu, contohnya mencuri akan dipotong tangan dan berzina akan direjam sampai mati”

Rft: “Hukuman tersebut untuk jenayah berat bagi orang yang sudah mempunyai akal yang waras tetapi masih membuat jenayah. Hukum hudud adalah hukuman yang adil dan wajib disokong oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, kita sedang berbicara tentang golongan kanak-kanak yang masih keliru antara perbuatan baik dan buruk! Wajarkah dikenakan pada kanak-kanak? Jangan pantulkan imej hukum hudud sebagai suatu hukuman yang buruk dan tidak adil!”

Adegan 3:

Stmt: “Orang dulu-dulu pun lakukan seperti ini untuk mendidik anak”

Rft: “Tradisi sesuatu bangsa tidak menjamin bahawa perbuatan itu betul. Sudah-sudahlah hidup di bawah tempurung. Jika benar ingin mengikut tradisi, maka perbaiki tradisi tersebut demi kemaslahatan generasi masa akan datang”

Adegan 4:

Stmt: “Budak-budak sekarang terlampau manja! Tak boleh disentuh sikit!”

Rft: “Ada perbezaan antara sentuhan dan penderaan. Jika benar ingin menyentuh kanak-kanak, maka sentuh hatinya dengan penuh berhikmah supaya dapat mendidik mereka serta memupuk akhlak yang baik. Hukumlah mereka dengan berhikmah jika masih berdegil, bukan dengan keganasan. Keganasan hanya akan membiakkan keganasan yang lain pada waktu akan datang. Jika berhikmah, insyaAllah akan mendatangkan rahmah”

Adegan 5:

Stmt: “Habis tu takkan tak boleh hukum langsung?”

Rft: “Siapa kata tak boleh? Boleh tetapi bersyarat. Hukuman yang mendidik, bukan mendera. Misal kata hukuman rotan. Seperti suami kepada isteri, hukuman itu perlu tegas dan tidak akan mencederakan isteri. Sama juga seperti seorang ayah kepada anaknya. Cukup sekadar menyedarkan mereka bahawa perbuatan itu salah dan tidak wajar diulang kembali”

______________________________________________________________

Oleh kerana itu, saya menganggap bahawa rakyat Malaysia masih keliru dengan metod-metod (atau hukuman/denda) yang sesuai untuk dijadikan pengajaran. Untuk mengukuhkan pendirian saya dalam mengatakan bahawa penderaan bukan pengajaran, maka saya mengambil inisiatif untuk menemu ramah beberapa orang pelajar saya yang cemerlang, bukan hanya pada akademik, malah pada akhlak dan budi pekertinya.

Pelajar 1 (Aurivillia Fauziah Wibowo):
Saya: “Pernahkah awak terbuat silap apabila berada di rumah? Apa yang ibu bapa awak lakukan jika awak terbuat silap?”

Aurivillia: “Pernah! Ibu bapa saya akan menegur saya. Mereka tak pernah memukul saya dengan kuat, cukup sekadar menyedarkan saya bahawa kesalahan itu tidak boleh diulangi”

Pelajar 2 (Aidil Azam):
Saya: “Aidil, pernah tak ibu bapa awak berlaku kasar dengan awak apabila awak melakukan kesilapan?”

Aidil: “Tidak pernah. Tetapi mereka tegas dalam teguran dan mereka menyuruh saya untuk memperbaiki kesilapan saya”

Pelajar 3 (Amir Hadi):
Saya: “Bagaimanakah awak meluangkan masa dengan ibu bapa awak? Jika awak terbuat silap, bagaimana ibu bapa awak menegur awak?”

Amir Hadi: “Kami makan bersama, berbual tentang sekolah, dan kami menunaikan solat bersama-sama. Selalunya mereka akan menegur saya dengan lembut dan tidak pernah berkasar dengan saya. Namun saya faham bahawa mereka bertegas untuk mengajar saya supaya tidak melakukan kesalahan yang sama”

Pelajar 4 (Qaisara Ruvian)
Saya: “Apa kesalahan yang pernah awak buat ketika di rumah dan apakah yang ibu bapa awak lakukan terhadap diri awak?”

Qaisara: “Pernah suatu ketika saya memecahkan sudu kaca ibu saya dan mengganggu ayah saya ketika dia bekerja di rumah. Mereka ada menegur saya supaya tidak melakukannya lagi. Pernah juga saya berdegil lalu dipukul tetapi pukulannya tidaklah kasar sehingga menyakiti saya”

______________________________________________________________

Konklusi

Ibu bapa dan guru adalah golongan yang mulia dan sanggup lakukan apa sahaja untuk menjadikan anak mereka sebagai seseorang yang berguna pada masa hadapan. Tidak dinafikan bahawa kanak-kanak juga akan membuat kesilapan sama ada kesilapan kecil atau besar. Namun sebagai ibu bapa dan guru yang berstatus Islam, kita harus belajar cara-cara yang lebih berhikmah untuk mendidik anak-anak bangsa kita. Jangan terlampau gopoh sehingga sanggup merosakkan fizikal dan mental mereka. Penderaan adalah suatu bentuk kekejaman yang wajib diperangi oleh setiap manusia.

“The children today are the hope of tomorrow. Don’t turn them to be the people we despise in the future. Save the Children of Hope”

Malaysia Menuju Negara Rahmah!

Contributed by Muhammad Faris Nazrin bin Khairun Nazir, a concerned teacher, and a future father.
#stopchildabuse

Kredit gambar: Recovery.org

Most Popular

To Top