Isu Semasa

Solidariti Buat Saudara Jufazli

jufazli-solidarity

Artikel ini akan menjadi titik tolak supaya belia dan anak muda Malaysia mengenali siapakah sebenarnya saudara Jufazli. Seorang yang fizikalnya kecil, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang besar.

“Sekarang saya dibawa ke Balai Polis travers”

Kita dikejutkan dengan status terakhir Saudara Jufazli pada Jam 8.34 malam pada 9 November, 3 hari yang lalu, bahawa beliau ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang malam tersebut.

Sehingga sekarang masih belum ada sebab khusus penahanan Saudara Jufazli oleh pihak polis. Dan kebarangkalian jenayah yang beliau lakukan adalah kerana mempersoal kebobrokan kritikal bekalan air di Sabah meskipun diperuntukkan belanjawan tertinggi sejak 5 tahun lalu untuk bekalan air (RM 715.36 juta), mempersoal kronisme projek air yang dianugerahkan selama 20 tahun kepada Hafez Musa, anak kepada Ketua Menteri Sabah yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Sabah, menuntut SPRM menyiasat dengan mendalam tanpa bertolak ansur bukan sahaja Pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah tetapi juga terhadap Musa Aman dan Pairin Kitingan dan sebagainya.

Anak kelahiran Sabah yang berjiwa besar

Saya bukanlah orang yang tepat untuk bercerita tentang anak muda ini. Berbekalkan beberapa pengalaman bersamanya dalam aktivisme mahasiswa dan belia, saya kongsikan serba sedikit. Saya juga pernah menjadi panelis forum bersama anak muda ini dan beliau pernah cerita kisah hidup beliau semasa kecil, sekolah rendah dan menengah sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bolehkah anda bayangkan betapa peritnya cabaran dan kesusahan yang beliau alami sejak kecil?

16 tahun yang lalu, insan bernama Jufazli ini adalah seorang anak kecil yang menjual kuih muih dari rumah ke rumah selepas Subuh. Beliau membantu nenek beliau mencari sesuap rezeki untuk makan dan menampung perbelanjaan sekolah. Dulu saudara Jufazli membawa kereta sorong dalam perjalanan melalui jambatan yang jauh bersama adik beradik untuk mencari upah sebelum ke sekolah pada tengah hari.

Saya masih ingat, dia pernah berkongsi bahawa beliau pernah berjauhan daripada ibu bapa sejak kecil lagi kerana kesusahan hidup yang dilalui. Sehingga klimaks kepada muflisnya bapa beliau, ia menjadikan satu kekuatan untuk beliau bangkit. Dengan ujian seberat ini Allah beri kepada ibu bapanya, beliau masih lagi mampu menjadikan ia sebagai faktor penolak yang paling kuat untuk sedar diri bahawa dia perlu berjuang sehabis-habisnya kerana Allah.

Kata beliau dalam satu post di laman sosial facebook, “Semoga teman lain yang berjuang di luar sana terus bangkit untuk kedua ibu bapa kita. Jika orang kaya mampu berjaya, kita orang miskin ini juga boleh berjaya”.

Saudara Jufazli memperoleh 2A1 1A2 3B3 dalam Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau mengakui ketika itu beliau bukanlah termasuk dalam kategori pelajar yang cemerlang seperti kawan-kawan yang lain. Bertitik tolak dari peristiwa ini beliau menyedari bahawa untuk menjadi pemuda yang terbaik untuk negara dan ummah, beliau perlu terus berjuang untuk berjaya dalam bidang akademik.

Berkat usaha beliau, seterusnya Allah mengurniakan beliau dengan keputusan STPM dengan PNGK 4.0 dan PNGK 3.97 untuk jurusan beliau dalam Sarjana Sains Politik. Beliau pernah menyebut, “Ia adalah momen terindah saya bersama kedua ibu bapa dan keluarga saya, yang akan menjadi permulaan untuk kami bangkit semula daripada kegagalan”.

Jiwa Memimpin

Saya pernah menyertai Persidangan Antarabangsa di Bangkok, Thailand pada Februari yang lalu bersama 4 delegasi dari Malaysia termasuk Saudara Jufazli yang merangkap ketua delegasi kami. Kegigihan beliau dalam menyusun atur perjalanan ke Bangkok meyakinkan kami bahawa beliau adalah ketua delegasi yang terbaik untuk kami. Kami melangkah dengan optimis dan yakin ke Bangkok, serba sedikit kerana yakin ada ketua yang menguruskan kami di sana.

Semasa di Bangkok, kami berkesempatan mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia-Bangkok dan di sana saudara Jufazli diberi peluang berucap di hadapan kedutaan. Ucapan beliau semasa sesi dialog bersama kedutaan cukup meyakinkan dan beliau ada misi dan visi yang jelas, bukan sahaja untuk perjuangan di Malaysia, bahkan juga untuk Rantau Asia Tenggara. Daripada ucapan beliau tersebut terserlah bakat kepimpinan beliau dan saya dapat belajar bahawa untuk menjadi seorang pemimpin, kita perlu berjiwa besar dan melihat masa depan negara dalam kaca mata beberapa tahun kedepan.

Di samping persidangan antarabangsa yang kami sertai di sana, kami juga berpeluang bertemu aktivis mahasiswa dan mahasiswi di Bangkok. Saya secara peribadi dapat melihat keramahan saudara Jufazli dan beliau melayani mahasiswa dan mahasiswi dengan baik walaupun kali pertama bertemu. Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan kata-kata semangat dan motivasi untuk mereka meneruskan perjuangan di negara bukan islam termasuklah motivasi dakwah dan sebagainya. Melalui pengamatan saya, beliau sentiasa menginspirasikan orang sekelilingnya, dimana sahaja beliau berada.

Bakat Berdebat dan berhujah

Sehingga saat ini, saya juga masih ingat pengalaman bekerja secara professional dengan beliau. Saya pernah mengendalikan satu program pelatihan pengucapan awam bersama beliau dan rakan aktivis yang lain. Bakat berdebat dan berhujah, kemahiran berfikir kritis, optimis dan sebagainya, sebati dalam jiwa beliau. Tidak hairan beliau lantang berkata-kata termasuklah membongkar skandal-skandal rasuah yang berlaku sehingga menyebabkan penahanan beliau oleh pihak polis.

Selain itu, saya selaku Timbalan Pengarah Program Debat Anak Muda pernah menguruskan jemputan saudara Jufazli sebagai pendebat sewaktu program tersebut. Semasa debat berlangsung, hadirin semua kagum dengan hujah yang beliau lontarkan, idea yang diutarakan cukup bernas dan saya belajar daripada cara lontaran idea, skill penyampaian dan minda kritis beliau.

Solidariti Buat Saudara Jufazli

Berita penahanan beliau itu cukup perit untuk diterima oleh banyak pihak termasuk keluarga beliau. Artikel ini akan menjadi titik tolak supaya belia dan anak muda Malaysia mengenali siapakah sebenarnya saudara Jufazli. Seorang yang fizikalnya kecil, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang besar.

Semoga semangat anak muda ini dan perjuangannya untuk tanah air dicontohi oleh anak muda dan belia di Malaysia. Kita sama-sama doakan supaya perbicaraan kes beliau diselesaikan dengan adil dan saksama. Teruskan berjuang sehingga akhirnya.

Solidariti buat Jufazli!

Like Page Solidariti4Jufazli sekarang!

Most Popular

To Top