Ekonomi

Tadbir urus negara, adakah ditahap yang baik? – Nik Fatma Amirah

husni-hanadzlah

Semalam telah berlangsungnya satu Ceramah bersama Yb Dato’ Seri Haji Ahmad Husni Bin Mohamad Hanadzlah bertajuk Kepentingan Tadbir Urus yang Baik dalam Pengurusan Kewangan Negara.

Semalam 31 Oktober 2016, berlangsungnya satu Ceramah Khas bersama Yb Dato’ Seri Haji Ahmad Husni Bin Mohamad Hanadzlah (Ahli Parlimen Tambun dan Mantan Menteri Kewangan 2) bertajuk “Kepentingan Tadbir Urus yang Baik dalam Pengurusan Kewangan Negara” anjuran Biro Penyelidikan IKRAM di SpaceU8 Shah Alam.

Mencontohi Kepimpinan Umar Alkhattab R.A.

Sebelum kupasan Yb Dato` Seri Ahmad Husni semalam, Hj Nahar Md Nor (Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia) merangkap moderator, membuka majlis dengan satu hadis iaitu “Orang yang paling sakit siksaan dihari kiamat adalah pemimpin yang zalim dan curang (Hr Tabrani dari Abdullah Bin Mas`ud).

Beliau turut berkongsi sebuah kisah tentang Umar Alkhattab ra yang mana berlaku selepas peperangan dengan kerajaan Parsi. Umar membahagikan harta rampasan perang iaitu kain kepada rakyatnya. Keesokan harinya masing-masing memakai baju daripada kain yang dibahagikan termasuk Umar Alkhattab ra. Tiba-tiba bangun seorang sahabat dan membantah, “Kami tidak mahu mendengar dan taat pada tuan”. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?”. Kemudian dia membalas, “Dari mana kamu mengambil baju yang kamu pakai ini sedangkan jika ikut pembahagian semalam, kain yang kamu dapat tidak cukup untuk tubuh kamu”. Maka Umar menyuruh anaknya Abdullah bangun untuk menjelaskan. Maka kata Abdullah “Saya beri bahagian saya kepada ayah saya”.

Inilah contoh terbaik dari seorang pemimpin. Membenarkan rakyat bertanya seperti Saidina Umar yang terbuka kepada muhasabah dan mempraktikkan ketelusan dalam pemerintahan.

Kegelisahan Rakyat Marhaen

Rakyat Malaysia pada hari ini semakin gelisah dengan situasi ekonomi negara. Rakyat merasakan ditipu oleh pemimpin yang salah guna kuasa. Selain itu, tekanan dan kesempitan hidup dirasai sehingga hari ini seperti mana semalam kita dikhabarkan dengan kenaikan harga minyak dan secara tidak langsung akan membawa kepada kenaikan barang dan sebagainya.

Cukuplah tragedi yang menimpa Allahyarham Sukri Saad sebagai pengajaran, kerana tekanan dan kesempitan hidup. Ya, kita tahu peristiwa itu bukanlah cara terbaik untuk keluar daripada kepompong kesusahan dan kesulitan, tetapi ia menggambarkan bagaimana sistem menghimpit rakyat marhaen dari terus mendapatkan hak mereka, sebaliknya kroni-kroni dan penguasa terus bebas untuk ‘merompak’.

Kata YB Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataannya berhubung kes ini, “Pemimpin kerajaan hari ini belum menjawab skandal 1MDB, 2.6B, skandal angkara kelompok elitis politik dan sebagainya. Rakyat dibawah hidup susah, jurang ketaksamaan semakin meluas. Allahyarham Sukri adalah sebahagian mangsa kefasadan politik dan rasuah yang membengkak”.

Urus Tadbir yang baik

‘Good Governance’ atau Tadbir Urus yang baik wajar dijadikan tunjang dalam pengurusan negara, tidak kira pengurusan kewangan, pendidikan, politik dan sebagainya demi menjamin sebuah negara yang rahmah dan sejahtera.

Masa depan negara yang baik adalah negara yang menuju ke arah menjamin kesejahteraan rakyat. Di Malaysia hari ini, kita dapat lihat berlakunya jurang kemiskinan yang jauh antara yang berpendapatan tinggi dan rendah di negara kita dengan kadar 46.2% dan dicatatkan antara yang tertinggi didunia. Ini cukup membimbangkan.

YB Dato Seri Ahmad Husni menyebut, 3 perkara perlu menjadi asas kepimpinan negara iaitu “Dignity, Integrity dan Good Governance”. “Setiap sen yang kerajaan terima, mesti digunakan untuk kemaslahatan rakyat”. Tambahnya.
“Kita juga harus mengambil pengajaran daripada negara Korea Selatan yang membina kapasiti bangsa mereka. Mereka muncul dengan sekolah terbaik, kapasiti dibina utk masyarakat, membentuk patriotisme dan membina kekuatan generasi baru”. Jelas Dato` Seri Ahmad Husni.

Di akhir sesi ceramah beliau sebelum sesi soal jawab, beliau menjelaskan kita mengharapkan pimpinan negara yang mempunyai mindset bagaimana untuk membangunkan rakyat. Kerana pimpinan negara dibayar gaji oleh rakyat, tetapi sampai bila rakyat mahu menangis dan menangis dek kesempitan hidup?

Most Popular

To Top