Pendidikan

Pemerkasaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS)

pendidikan-seks-biologi

20 November 2016, seorang wanita dicabul oleh tiga remaja yang mengekorinya semasa pulang ke rumah. 25 Oktober 2016 pula kes upah junior RM 3 untuk buat seks oral ! . Perbuatan ini dilakukan oleh seorang pelajar junior Maahad Tahfiz di Pasir Puteh yang telah menjadi mangsa pemuas nafsu kepada seorang pelajar senior berusia 13 tahun dengan upah RM 3. Pada 13 Oktober 2016, dua lelaki berusia 60-an dan 30-an ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes rogol dan cabul pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Batu Berendam. Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit adalah datuk dan bapa saudara mangsa !

Saban hari, setiap helaian akhbar pasti ada mencoretkan kisah gangguan seksual yang berlaku di kalangan masyarakat kita. Lebih membimbangkan, mangsanya terdiri daripada mereka yang masih bersekolah rendah dan awal sekolah menengah.

Apa yang mengejutkan lagi, pemangsanya terdiri daripada mereka yang sepatutnya melindungi mangsa seperti datuk, bapa saudara, bapa sendiri dan kaum kerabat yang ada pertalian persaudaraan. Masalah ini perlu dipandang serius agar keharmonian masyarakat dapat dipelihara dan institusi kekeluargaan dapat diperkukuhkan.

Pendidikan Seksual di Sekolah

Sebelum kita melangkah lebih jauh, ingin penulis menyatakan di sini, masalah yang diutarakan di atas telah pun diambil peduli oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mana Pendidikan Jasmani Kesihatan telah pun dijadikan subjek yang wajib dipelajari di sekolah menengah mahupun rendah.

KPM telah melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan sejak 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti Bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Istilah “Pendidikan Seks” tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi yang negatif dalam kalangan masyarakat kita.

Istilah “Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial” digunakan susulan daripada kelulusan Kabinet pada 20 Disember 2006 untuk menggantikan nama “Pendidikan Kesihatan Keluarga” (1989 – 2002) dan “Pendidikan Seksualiti” (2003 – 2005) yang digunakan sebelum ini.

Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Kandungan PEERS dalam Pendidikan Kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran. Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

Selari dengan keutamaan Maqasid Syariah bagi mencapai negara rahmah, perkara yang ke keempat : Menjaga dan memelihara keturunan. Untuk mengukuhkan lagi perpaduan umat, penerapan akhlak mulia dan kawalan diri perlu berlandaskan syariat Islam. Tindakan memelihara dan menjaga keturunan ini perlu di ambil berat oleh setiap individu. Tidak cukup sekadar itu sahaja, setiap individu juga hendaklah bertanggungjawab menggalas tanggungjawab ini demi menjaga institusi keluarga dan masyarakat. Tugasan menjaga dan memelihara keturunan ini juga hendaklah melihat kepada skop yang mencakupi hal akhlak hubungan sesama manusia. Unsur seperti hasad, fitnah, mencela mengadu domba dan lain lain lagi antara puak-puak tertentu hendaklah dijauhkan. Kerana itu bukanlah cerminan Islam.

Oleh kerana itu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ini wajib diajar di sekolah bagi tujuan membentuk peribadi manusia bagi mencapai matlamat falsafah pendidikan, mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PUTERI UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2016

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), perlu diajar dengan penuh kejelasan dan ketelusan. Segala istilah yang digunakan wajib difahami oleh semua murid baik diperingkat prasekolah hinggalah menengah. Tanpa kefahaman yang jelas murid akan keliru dalam setiap aspek perubahan diri dan sekelilingnya. Hal ini akan membawa kepada sifat ingin tahu yang akan mereka lakukan sendiri di rumah atau di luar rumah bersama rakan-rakan.

Ramai masyarakat di luar sana masih lagi tertanya-tanya, bagaimana bentuk pengajaran guru-guru di sekolah dalam menerapkan ilmu ini kepada murid-murid. Sehinggakan ada di antara mereka cepat menyanggah dan menyalahkan guru-guru apabila berlakunya masalah-masalah yang tidak di ingini.

Tambahan lagi, baru-baru ini di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2016, seorang ahli Puteri UMNO, Norrulhuda Marsidin menyatakan “Ketika ini, pendidikan seks tidak diajar secara serius dan perlu dikaji semula supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan generasi akan datang supaya berwaspada dengan perkara yang terjadi kepada diri mereka sendiri.”

Kata-kata ini sedikit sebanyak telah mengguris hati guru-guru di sekolah, seolah-olah guru-guru tidak mengajar dan memberi kefahaman tentang isu yang sedang berlaku. Penulis, tanpa segan silu mencabar Puteri UMNO khususnya, untuk turun padang dan membantu guru-guru di dalam membasmi masalah yang kian parah ini.

Jangan sekadar datang ke sekolah dan melaksanakan program 2 hingga 3 jam kemudian berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan. Ayuh, hadir ke sekolah dan lakukan sedikit analisa serta pelan tindakan seterusnya berganding bahu dengan pihak sekolah dengan harapan, kefahaman PEERS ini dapat dihadamkan oleh murid-murid dengan baiknya.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran PEERS

Setiap tahun, guru-guru yang mengajar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan mengikuti kursus penambahbaikan di dalam mengajar subjek ini. Apa yang penting, objektif pengajaran dan pembelajaran perlu dicapai dalam apa jua bentuk dan teknik.

Pada permulaan setiap tajuk dan pengajaran, guru hendaklah menerang dan menjelaskan skop pelajaran yang hendak dipelajari. Setelah itu guru hendaklah memberitahu murid apa yang dikehendaki daripada mereka. Strategi ini adalah untuk membangkitkan minat dan kesedaran terhadap apa yang hendak di ajari ketika itu. Guru pula, hendaklah sentiasa senyum, menghadap kelas dan bercakap dengan pelajar termasuk pelajar di barisan belakang semasa mengajar subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Mengapa hal ini perlu dilaksanakan ? Kerana subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ini memerlukan kesediaan mental dan fizikal yang cukup. Bukan sahaja murid yang perlu menyediakannya, malah guru yang mengajar juga perlu kukuh mental dan fizikalnya. Guru hendaklah menyampaikan informasi yang tepat dan penerangan yang mantap pada setiap istilah PEERS.

Contoh, bagi kemaluan lelaki guru tidak boleh sama sekali membuat analogi ‘burung’, ‘angry bird’ atau anu. Tetapi perlu menggunakan istilah zakar. Guru wajib menerangkan sehingga mereka faham. Begitu juga dengan perihal fizikal perempuan. Tanpa ada rasa selindung, guru perlu menjelaskan dengan hikmah.

Antara persembahan yang boleh dilakukan dalam mengajar subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ialah suara guru hendaklah kuat tetapi nada mesra. Tanpa suara yang kuat dan jelas kemungkinan murid tidak akan dapat memahami setiap pembelajaran yang dijalankan. Kemesraan di dalam penyampaian juga hendaklah wujud semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan agar murid-murid berasa selesa dan dapat mencapai objektif yang di rancang.

Selain itu, guru-guru hendaklah memilih perkataan yang sesuai, menghuraikan istilah yang digunakan, bercakap dengan semua pelajar, menggunakan teknik-teknik lain seperti penyoalan, papan tulis, demonstrasi dan lain-lain. Guru juga perlu mengulang butiran penting dan tidak ketinggalan menyelitkan unsur kecindan atau lawak jenaka.

Bagi penutup setiap sesi pengajaran dan pembelajar pula, guru hendaklah mengulangi poin-poin utama, menggalakkan perbincangan dan meneguhkan poin yang lemah.

Nampak mudahkan ? tetapi dihadapan guru-guru ada 1001 macam perangai yang perlu diraikan agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kesimpulan

Kurikulum pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) perlu disesuaikan mengikut perkembangan awal kanak-kanak hingga remaja serta trend teknologi semasa. Hal ini kerana generasi zaman globalisasi tidak lekang daripada dunia tanpa sempadan. Mereka boleh menerokai dunia ini dengan mudah walaupun mereka hanya berdiam diri di dalam bilik atau rumah.

Maka menjadi tangunggajawab semua pihak, ibu bapa, guru-guru, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik dan masyarakat sekeliling berganding bahu memperkasakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) ini di sekolah terutamanya, dengan harapan keharmonian dan kesejahteraan insan dapat dipelihara, seterusnya matlamat atau objektif Maqasid syariah tercapai.

Gambar kredit: SekolahAgama.my

Most Popular

To Top