Pendidikan

Pendidikan Seksual Untuk Kanak-Kanak: Suatu Pandangan

pendidikan-seks

MUKADDIMAH

Penulisan ini dikarang adalah bertujuan untuk memberikan sedikit pencerahan ke atas isu seperti dinyatakan pada bahagian tajuk. Isu ini mulai timbul semula apabila keluarnya cadangan agar pelajaran seksual dilaksanakan sejak seawal peringkat tadika. Pada artikel ini, penulis akan memberi pendedahan berkenaan sejarah yang berkaitan, salah faham, silibus, serta diakhiri dengan pandangan umum penulis dan kesimpulan.

SEJARAH

Pendidikan Seksual sebenarnya telahpun diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sejak seawal tahun 1989 lagi pada peringkat sekolah menengah. Seterusnya, diikuti dengan peringkat sekolah rendah pula pada tahun 1994. Namun, ianya dilaksanakan secara merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani. Berkenaan istilah pula, “Pendidikan Seks” tidak digunakan sama sekali sebagai istilah dalam konteks pendidikan kerana ianya jelas memberikan konotasi yang negatif khususnya kepada masyarakat di Malaysia.

Pada awalnya, ianya dinamakan sebagai Pendidikan Kesihatan Keluarga daripada tahun 1989 hingga tahun 2002. Kemudian, ianya ditukarkan kepada Pendidikan Seksualiti pada tahun 2003 hingga 2005. Dan akhirnya pada 20 Disember 2006, Kabinet telah meluluskan untuk menggantikan nama sebelumnya kepada “Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS)”.

Bermula tahun 2011 pula, Pendidikan Kesihatan diajarkan secara berasingan sebagai satu mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Pendidikan Kesihatan diperuntukan satu waktu (30minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1, serta 40 minit sebulan bagi peringkat sekolah menengah.

SILIBUS

Kurikulum Pendidikan Kesihatan disebutkan, terdiri daripada elemen PEERS (75%), Pemakanan (15%) dan Pertolongan Cemas (10%). Aspek PEERS yang ditekankan adalah berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif serta kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran. Hasil pembelajarannya adalah, kanak-kanak akan dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang, “Antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu (Tahun 1,2,3) ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan. Bagi tahap dua yang membabitkan murid tahun empat, lima dan enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.”

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula berkata, “Bagi pelajar sekolah menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psiko-sosial atau lifeskill menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah. Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan psiko-sosial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah.”

Terdapat 7 aspek yang ditekankan melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) antaranya adalah:

1) Kesihatan Diri dan Reproduktif iaitu mengenai aspek perkembangan dan perubahan fizikal kanak-kanak, fisiologikal serta psikologikal semasa akil baligh, dan juga tentang penjagaan kesihatan reproduktif.

2) Penyalahgunaan Bahan iaitu berkenaan kesan buruk pengambilan bahan berbahaya seperti rokok, dadah, inhalan dan alkohol, serta kemahiran untuk berkata TIDAK.

3) Kemahiran Pengurusan Mental dan Emosi seperti kemahiran pengurusan konflik dan stres dalam diri, keluarga, rakan sebaya serta masyarakat.

4) Kekeluargaan iaitu tentang kepentingan institusi perkahwinan, kekeluargaan, serta peranan dan tanggungjawab ahli keluarga.

5) Perhubungan iaitu berkenaan kepentingan etika dalam perhubungan, serta kemahiran berkomunikasi yang positif dalam persaudaraan dan persahabatan.

6) Pencegahan Penyakit iaitu ilmu pengetahuan serta kemahiran mengurus kesihatan daripada serangan penyakit berjangkit, tidak berjangkit, genetik, keturunan dan mental.

7) Keselamatan seperti langkah-langkah keselamatan diri di rumah, sekolah, taman permainan dan tempat awam, serta akta perlindungan bagi kanak-kanak, gadis dan wanita, termasuklah kemahiran keselamatan diri. Antaranya adalah berkenaan kemahiran mengelakkan diri daripada ancaman orang yang tidak dikenali serta pihak yang perlu dihubungi apabila berlaku gangguan, ancaman serta kecemasan.

Tujuan perlaksaannya adalah bagi memberi kesedaran serta bantuan kepada murid dalam membentuk perspektif yang positif berkenaan kesihatan reproduktif dan sosial, maklumat yang perlu diketahui supaya mengambil berat tentang kesihatan diri, serta kemahiran untuk berbuat keputusan yang bertanggungjawab pada masa kini serta akan datang.

SALAH FAHAM

Pertama: Adakah pendidikan seksual itu bermakna pembelajaran tentang hubungan seksual?

Tidak. Pendidikan Seksual yang diterapkan melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tiada langsung membabitkan pembelajaran tentang hubungan seksual. Jika diteliti kepada kata-kata pihak terbabit serta 7 aspek yang ditekankan dalam PEERS, tidak ada pun disebutkan tentang hubungan seksual.

Kedua: Bukankah apabila para pelajar didedahkan kepada perkara-perkara seperti sentuhan selamat dan tidak selamat, mereka akan cenderung untuk mempraktikkannya?

Tidak semestinya begitu. Didikan yang tepat dan ketat boleh mengelakkan hal itu berlaku. Kanak-kanak memerlukan bimbingan daripada yang lebih matang darinya kerana mereka masih tidak mengerti yang mana boleh dan tidak boleh. Malah, bukankah lebih baik kanak-kanak mengetahui sentuhan itu adalah tidak selamat dan mungkin memberi reaksi negatif, berbanding mereka tidak mengetahuinya lalu hanya membiarkannya?

Ketiga: Kenapa tidak membiarkan sahaja ibubapa yang mengajarkan mereka berkenaan hal ini? Bukankah mereka lebih mengetahui berkenaan anak-anak mereka?

Ya. Peranan ibubapa tersangatlah dituntut untuk membimbing mereka. Kanak-kanak ini bukan sahaja terdedah kepada bahaya dari luar, malah juga daripada diri mereka sendiri. Sifat ingin tahu yang menjadi fitrah dalam diri mereka pasti akan menatijahkan mereka untuk meneroka untuk mengetahuinya. Namun, adakah ibubapa tahu apakah yang harus diajarkan kepada anak-anak mereka? Atau ibubapa sendiri masih keliru sedangkan anak-anak semakin lama semakin membesar? Maka, disitulah tugas para guru menggalas tanggungjawab ini bagi membantu ibubapa.

Keempat: Bukankah sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif memantau laman sesawang serta hiburan-hiburan yang ada di negara kita supaya bebas daripada unsur-unsur negatif atau lucah?

Benar. Kerajaan memang sepatutnya dan telahpun memantau dan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan lucah atau negatif atau pornografi. Dan, sepatutnya juga memantau hiburan-hiburan yang semakin membimbangkan. Namun, hal ini tidaklah bermakna tiada keperluan untuk melaksanakan matapelajaran pendidikan seksual. Hal ini yang demikian kerana, kanak-kanak tetap perlu mengetahui berkenaan diri mereka seawal mungkin bagi memberikan mereka pengetahuan yang sepatutnya mereka ketahui.

Malah, ini penting supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas mereka kerana kenaifan mereka. Tambahan lagi, masalah pedofilia juga agak tenat di negara kita. Bahkan, tanpa pengetahuan sepatutnya, tidak pelik jika mereka diambil kesempatan oleh pemangsa.

Kelima: Selain mengadaptasikan Pendidikan Seksual, bukankah lebih baik memberikan mereka pendidikan agama yang secukupnya? Jika agama mereka kukuh, tidak akan berlaku hal-hal yang tidak sepatutnya.

Benar. Jika pengetahuan agama mereka kukuh, mereka bakal mampu menepis segala anasir-anasir yang hadir. Namun, tidak benar juga. Sepatutnya, kedua-duanya haruslah dilaksanakan. Pendidikan agama dan juga pendidikan seksual seperti yang dilaksanakan oleh pihak KPM. Hal ini yang demikian kerana, didikan agama memberikan mereka ruh dan kekuatan untuk menolak serta melawan gejolak nafsu yang hadir. Didikan pendidikan seksual melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) pula memberikan maklumat yang sepatutnya berkenaan diri mereka seperti yang dinyatakan pada bahagian SILIBUS.

PANDANGAN UMUM

Secara umumnya, penulis bersetuju dengan cadangan untuk dilaksanakan pendidikan seksual seawal sejak peringkat tadika lagi. Penulis berpandangan sedemikian kerana menilai silibus yang telahpun dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang penulis nilaikan relevan serta selari dengan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak. Oleh yang demikian, apabila melihat kepada cadangan di dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2016 baru-baru ini, penulis pasti pihak KPM akan menetapkan silibus yang sesuai dengan tahap pemikiran kanak-kanak tadika. Dan, pembelajarannya adalah yang bersifat mudah dan senang difahami oleh kanak-kanak tadika.

Penulis juga tertarik dengan apa yang disebutkan oleh Norrulhuda Marsidin di PAU 2016 tempoh hari, “Mangsa merasakan perbuatan yang dilakukan itu tidak salah selain menyeronokkan. Akibatnya akan ada kitaran pedofilia, ketagihan seks dan kesan jangka panjang yang terjadi dalam senyap.”

Perkara ini lebih jelas bagi penulis akan keperluan pendidikan seksual seawal tadika! Malah, tahukah kita kebanyakan pemangsa pedofilia ini menyasarkan mangsa-mangsa dalam kalangan ahli keluarga terdekat atau yang rapat dengan mereka? Bayangkan, jika yang menjadi mangsa itu adalah anak anda, anak saudara anda, adik anda dan sebagainya yang baru seusia kanak-kanak tadika? Bayangkan, jika mereka menjadi mangsa pedofilia luar sedar kerana tanpa mereka tahu itu merupakan sentuhan tidak selamat? Lebih buruk lagi jika ianya menjadi suatu ketagihan!

Selain itu, penulis juga bersetuju apabila memperhatikan keseriusan pihak Norrulhuda Marsidin melalui kata-katanya, “..kurikulum pembelajaran pendidikan seks juga perlu disesuaikan mengikut perkembangan awal kanak-kanak hingga remaja serta trend teknologi semasa.” Bagi penulis, cadangan itu boleh diterima dan masih berpijak di bumi yang nyata sebagai salah satu langkah mendepani permasalahan yang berlaku. Namun, silibus yang hendak dilaksanakan haruslah tepat dan perlu melalui sistem pembelajaran yang ketat. Hal ini memerlukan kajian yang lebih serius daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Walaupun begitu, penulis juga ingin melahirkan rasa terkilan terhadap pernyataan Norrulhuda Marsidin yang berikutnya, “Ketika ini, pendidikan seks tidak diajar secara serius dan perlu dikaji semula supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan generasi akan datang supaya berwaspada dengan perkara yang terjadi kepada diri mereka sendiri.” Pernyataan ini seolah-olah ingin menggambarkan kepada umum bahawa para guru setakat ini mengambil sikap sambil lewa sewaktu mengajar di sekolah. Hal ini tersangatlah penulis tidak bersetuju, bahkan penulis yakin para guru telahpun melakukan yang terbaik. Justeru, sepatutnya mereka diberikan pujian serta penghargaan dan bukan sebaliknya.

Terdapat kritikan bahawasanya silibus yang dilaksanakan oleh pihak KPM adalah tidak sesuai dan tidak menampakkan kesan. Namun, amatlah tidak adil bagi penulis apabila setiap satu kegagalan itu ditudingkan kepada pihak KPM semata-mata. Bagi penulis, apa yang dilaksanakan oleh pihak KPM itu ibarat suatu langkah pencegahan semata-mata. Oleh itu, usaha pihak KPM akan jadi sia-sia sekiranya pihak-pihak lain seperti ibubapa, masyarakat sekeliling dan sebagainya tidak turut sama memainkan peranan membantu usaha ini.

KESIMPULAN

Penulis memandang baik akan usaha yang dicadangkan oleh Norrulhuda Marsidin di dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2016. Oleh itu, penulis berharap pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil perhatian serius terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Perwakilan Puteri UMNO berkenaan. Seterusnya, berusaha mengkaji dan melaksanakan silibus yang terbaik bagi kanak-kanak tadika khususnya yang merupakan bakal-bakal pemimpin dan peneraju negara suatu masa kelak. Wallahua`lam.

RUJUKAN

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm
http://www.moe.gov.my/v/surat-kepada-pengarang-view?id=1575&
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/pendidikan-seks-perlu-diperkenalkan-segera-1.477010
http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/14/pendedahan-awal-pendidikan-seks-penting-diajar-di-sekolah/
http://www.bharian.com.my/node/219720?m=1

Gambar kredit: Detik Perubahan

Most Popular

To Top