Mahasiswa

7 Cadangan Azam Tahun Baru Buat Mahasiswa

azam-baru

Tirai 2016 dilabuhkan dengan pelbagai kisah pahit manis dunia mahasiswa. Bagi yang mahu meneruskan pengajian ke alam kampus, dihujani dengan pembekuan biasiswa, pengurangan penghantaran pelajar ke luar negara juga pengurangan bantuan pelajaran.

Bagi yang masih di alam kampus, kedengaran isu “siswa ikat perut” dek kerana kenaikan kos sara hidup juga pemotongan budget kebanyakan universiti awam. Awal tahun lalu, heboh kisah hidup seorang siswa UKM ikat perut hingga menghidap sakit usus dek kerana duit pinjaman PTPTN dikirim ke kampung halaman.

Yang baru menamatkan pengajian pula, berdepan dengan masalah mendapatkan pekerjaan dan ada juga yang berhadapan dengan masalah pembayaran semula wang pinjaman pelajaran.

Selain itu, tahun 2016 juga begitu signifikan tentang mahasiswa berperanan dalam menjadi agen perubahan sesuatu isu. Kita menyaksikan pentas aktivisme mahasiswa disulami dengan pelbagai perjuangan mahasiswa di pentas nasional seperti Himpunan MahasiswaTangkap MO1, Mahasiswa dan pencerahan tentang RUU 355, Mahasiswa bersama isu kemanusiaan Rohingya dan Syria dan tidak kurang juga peranan mahasiswa dalam menjuarai pentas kesukarelawanan.

Semestinya dalam mendepani pelbagai isu ini, kita dahagakan mahasiswa holistik yang terkehadapan dalam pelbagai aspek. Soalnya, setelah beberapa siri perjuangan mahasiswa mutakhir ini, masih punya harapankah buat mahasiswa untuk membuat satu-satu perubahan besar kepada negara? Atau juga mahasiswa hari ini sekadar buih-buih dilautan, ramai tapi kosong jiwa dan akal?

Menyoroti pengakhiran tahun 2016, Malaysia dikejutkan dengan kes 4 mahasiswa daripada Universiti Malaya yang dijatuhkan hukuman atas penganjuran himpunan tangkap MO1 . Rentetan kes ini, mahasiswa tersebut telah mengambil langkah memfailkan kes saman pemula terhadap Universiti mereka justeru melihatkan beberapa persepsi positif juga negatif warga Malaysia menyatakan sokongan juga bantahan terhadap tindakan mereka.

Maka lahir pula persoalan baru, apa perjuangan mahasiswa mesti berakhir dengan dijatuhkan hukuman? Justeru, apakah mekanisma terbaik untuk mahasiswa berjuang selari dengan pindaan AUKU 2012?

AZAM BARU MAHASISWA PADA TAHUN 2017

Setelah pelbagai pengalaman jatuh bangun dunia mahasiswa menghiasi memori 2016, ayuh mahasiswa kita bina azam baru dan berusaha sedaya mungkin menterjemahkannya dalam bentuk amal. Berikut merupakan beberapa cadangan azam baru yang boleh sama-sama mahasiswa perhalusi ke arah 2017 yang lebih baik:-

1- Memberdaya sehabis baik potensi mahasiswa dalam segenap bidang dan lapangan dengan berusaha menjadi mahasiswa yang cemerlang akademik, terbaik sahsiah, matang berkeputusan dan akhirnya kembali berkhidmat buat masyarakat.

2- Menjadi mahasiswa yang berjiwa masyarakat, bersama masyarakat, bekerja kuat untuk membangun masyarakat serta menjadi pencerah buat masyarakat tentang ilmu, isu semasa, polemik politik, kewangan dan sebagainya.

3- Mahasiswa perlu mencari solusi tentang isu kewangan, kos sara hidup yang makin menghimpit, pembekuan dan pengurangan pemberian biasiswa serta bantuan pelajaran. Ini kerana kemelut kewangan dalam kalangan mahasiswa perlu segera diselesaikan kerana mahasiswa aset berharga pewaris kepimpinan akan datang justeru pendidikan adalah soal penting bagi pemimpin negara.

4- Memperkasa komunikasi dan perhubungan strategik (networking) agar dapat mengenali lebih ramai orang untuk bertukar pandangan dan pengalaman. Sebagai mahasiswa, ini masanya untuk menambah kenalan dan belajar dengan lebih ramai orang kerana pengalaman adalah guru yang terbaik.

5- Berazam untuk mencari mentor dan guru dengan orang yang lebih lama makan garam dalam bidang-bidang yang diminati seperti ilmu hartanah, keusahawanan, pemasaran etc. Mencari ilmu sebaik-baiknya sebagai persediaan di masa akan datang.

6- Mendidik diri menjadi mahasiswa yang ambil tahu tentang perkembangan semasa, masalah, program dan berita yang berlaku di kampus masing-masing. Ingin mengubah negara semestinya bermula dengan kampus! Peduli!

7- Jika Pilihanraya Umum (PRU) akan dilaksanakan pada 2017 ini, maka perlunya mahasiswa berazam menjadi tentera utama dalam membentuk negara demokrasi yang baik, sebagai suara utama memilih kepimpinan negara yang lebih baik dan seterusnya memacu Malaysia ke arah negara rahmah.

Sebagai kesimpulannya, Kita tidak kekurangan tukang angguk, kita juga tidak kekurangan tukang geleng, tetapi kita kekurangan orang yang mahu membuat apa yang sudah diangguk dan kita juga kekurangan orang yang bertindak mencegah apa yang sudah digeleng.

Justeru, lambakan mahasiswa hari ini harus dimanfaati sebaiknya. Ayuh mahasiswa, jadikan tahun 2017 ini untuk anda beraksi sebaiknya!

Rujukan:
1- Kesempitan wang, pelajar UKM ikat perut hingga ‘usus terkoyak’ , the malaymailonline.com, 8 januari 2016
2- Peribadi, Prof Dr. HAMKA, 2007, Pustaka Dini.
3- Bajet 2017: Sekali lagi pendidikan menjadi mangsa, http://niknazmi.com/bm/2016/10/24/bajet-2017-sekali-lagi-pendidikan-menjadi-mangsa 24 Oktober 2016.
4- Kajian Persepsi Pindaan Rang Undang-Undang Anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia. Laman web Gamis Malaysia, 6 November 2016.
5- UM4 fail tuntutan isytihar universiti langgar hak asasi pelajar. http://www.freemalaysiatoday.com/ 27 Disember 2016
6- https://selangorkini.my/2016/12/mahasiswa-bersama-syria-kutuk-kekejaman-rejim-bashar-assad/ 30 Disember 2016
7- http://www.sinarharian.com.my/kampus/tambang-naik-mahasiswa-tertekan-jejas-kos-sara-hidup-1.464960 23 Disember 2015

Most Popular

To Top