Politik

Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah: Satu Nafas Baru Untuk Malaysia

mmnr

Hari ini kita melangkah ke tahun baru 2017 selepas kita lalui pelbagai pengalaman pada tahun 2016. Episod suka dan duka yang dihadapi negara dan ummah amnya hendaklah dijadikan sebagai pengajaran untuk kita melangkah ketahap yang lebih baik tahun ini.

Tahun baru kali ini disambut dengan suasana suram dengan peristiwa kejatuhan Aleppo ditangan musuh dan tahun 2016 juga kita dapat saksikan kezaliman dan penindasan yang berlaku terhadap saudara seislam kita di Rohingya.

Di negara kita pula, rakyat terus resah dan gelisah dek pelbagai krisis yang melanda. Pertama adalah berkenaan urus tadbir ekonomi negara yang tidak transparen dan tidak berintegriti, hutang negara terus meningkat dan kos sara hidup menjadi semakin tinggi. Kita juga berhadapan dengan fenomena kemiskinan yang semakin mencengkam, jurang pendapatan yang bertambah luas, kejatuhan ringgit yang mendadak dan ramai yang berhadapan risiko kehilangan pekerjaan kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kedua, isu yang besar juga dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu isu Politik. Pemerintah mengamalkan politik kepartian yang sempit, penyalahgunaan kuasa dan politik dan selama kita merdeka, kita dimomokkan dengan politik perkauman sehingga menafikan hak kaum-kaum lain di Malaysia.

Ketiga, isu Sosial. Pendidikan negara kita yang masih gagal dalam menuju pembangunan modal insan kelas pertama. Isu perpaduan nasional melibatkan perpaduan antara kaum dan kesatuan merentas negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Seterusnya, keruntuhan institusi keluarga yang semakin meningkat dan keruntuhan sosial serta akhlak generasi muda yang semakin tenat.

Mengapa semua ini berlaku?

Di dalam Al-quran, Allah telah menyebut di dalam Surah Arrum: 41, “Telah tampak kerosakan di darat dan dilaut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia”. Dan Rasulullah SAW juga pernah bersabda “jika urusan negara pada tangan orang tidak amanah, tunggulah kehancuran”.

Berdasarkan keadaan negara kita yang sebegini, ia sangat memerlukan pembaikan dan pengislahan yang menyeluruh, perubahan yang mendasar mesti dilakukan oleh gabungan organisasi masyarakat madani atau NGO bersama gabungan parti-parti politik yang mampu memiliki keupayaan untuk memenangi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang serta mampu menguruskan perjalanan pentadbiran negara dengan lebih baik.
Jika sebelum ini kita fokus mengislahkan masyarakat, sekarang adalah masanya kita membaikpulih negara.

Pemimpin perlu mencontohi Kepimpinan Umar Alkhattab R.a dalam urus tadbir negara

“Orang yang paling sakit siksaan dihari kiamat adalah pemimpin yang zalim dan curang (Hr Tabrani dari Abdullah Bin Mas`ud).

Sebuah kisah yang signifikan dan perlu kita ambil iktibar ialah tentang kisah Umar Alkhattab ra yang mana berlaku selepas peperangan dengan kerajaan Parsi. Umar membahagikan harta rampasan perang iaitu kain kepada rakyatnya. Keesokan hari, rakyatnya masing-masing memakai baju daripada kain yang dibahagikan termasuk Umar Alkhattab ra. Tiba-tiba bangun seorang sahabat dan membantah, “Kami tidak mahu mendengar dan taat pada tuan”. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?”. Kemudian dia membalas, “Dari mana kamu mengambil baju yang kamu pakai ini sedangkan jika ikut pembahagian semalam, kain yang kamu dapat tidak cukup untuk tubuh kamu”. Maka Umar menyuruh anaknya Abdullah bangun untuk menjelaskan. Maka kata Abdullah “Saya beri bahagian saya kepada ayah saya”.

Inilah contoh terbaik dari seorang pemimpin. Membenarkan rakyat bertanya seperti Saidina Umar Alkhattab yang terbuka kepada muhasabah dan mempraktikkan ketelusan dan integriti dalam pemerintahan.

Sebuah gagasan yang menjadi nafas baru untuk Malaysia

Sempena Tahun baru 2017 ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah NGO masyarakat madani terus komited membawa dan merealisasikan idea atau gagasan yang dinamakan “Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah” (Gagasan MMNR).

Gagasan MMNR ini sangat signifikan dan ia merupakan ciri-ciri negara yang kita impikan bersama pada masa akan datang dan usaha untuk merealisasikannya perlu bermula daripada sekarang, bukan sahaja usaha dari pihak pemerintah, tetapi juga rakyat. Kedua-dua pihak harus bergandingan dan bekerjasama dalam membentuk negara yang lebih sejahtera dan makmur dengan menggerakkan amal dakwah dengan pendekatan rahmatan lil alamin, memelihara hubungan baik dengan masyarakat muslim dan bukan muslim dan membangunkan tapak politik ummah yang kuat di dalam negara untuk kelangsungan demokrasi yang matang.

12 Ciri Asas Negara Rahmah, yang menjadi impian setiap jiwa rakyat Malaysia:
1-Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2- Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan Imbang yang berkesan
3- Tadbir Urus yang baik
4- Undang-undang yang adil
5- Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang
6- Institusi keluarga yang utuh
7- Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni
8- Ekonomi yang mampan
9- Agihan kekayaan yang saksama
10- Pembangunan yang lestari
11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
12- Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Memetik kata-kata Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam ucaptama beliau pada Perhimpunan Tahunan IKRAM 2016, “Negara Rahmah Mithali yang ingin kita bangunkan di Malaysia ialah sebuah negara rahmah yang menaungi penduduknya, melebarkan naungan tersebut ke bahagian lain dunia secara berperingkat-peringkat pada masa hadapan agar dunia sepenuhnya berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni semua penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban”.

Ayuh rakyat Malaysia, bangkit dan terus mendokong gagasan yang akan kita realisasikan bersama ke arah pembentukan negara Rahmah!

Malaysiaku Rahmah! Selamat Tahun Baru!

Penulis: Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad (Ahli Biro Penyelidikan IKRAM)

Gambar kredit: WallpaperClicker

Most Popular

To Top