Mahasiswa

Kembali Memanusiakan Mahasiswa!

mahasiswa-4

Ilmu bernegara adalah ilmu bagaimana untuk hidup dalam sebuah negara. Konotasi ‘negara’ dalam erti kata yang mudah adalah, bagaimana untuk kita hidup bersama masyarakat disekeliling kita. Mengambil realiti negara Malaysia yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan adat budaya seolah memberi satu hukum wajib kepada mahasiswa untuk mempelajari dan mempraktikkan ilmu bernegara dalam kehidupannya.

Kesannya apabila mahasiswa kita tiada ilmu bernegara, maka lahirlah mahasiswa-mahasiswa yang mementingkan diri sendiri. Asal dirinya boleh makan nasi, orang sekeling terus tidak dipeduli. Merbahayanya penyakit ini, mahasiswa kita akan rasa masyarakat kita ini tiada masalah. Walaupun wujudnya masalah itu, mahasiswa kita akan merasakan itu bukan masalah mereka. Selagi mana kepentingan peribadi mereka tidak terganggu.

Kemuncaknya? Mahasiswa akan hilang sensitiviti dengan masalah sekeliling mereka. Lahirlah mahasiswa yang hidupnya hanya untuk industri.

Ilmu bernegara tak lengkap tanpa ilmu membina negara. Ilmu ini penting kerana ilmu inilah yang akan menambahbaik kedudukan negara kita. Ilmu membina negara ini sangat luas. Merentasi pelbagai lapangan dan bidang; ekonomi, politik, agama, undang-undang, bahasa, etika, sastera dan sebagainya. Semua ini adalah Ilmu membina negara yang diakhir matlamat kita adalah untuk menambahbaik kedudukan negara. Maka, tiada alasan sebenarnya untuk mahasiswa kita tidak menyumbang apa-apa kepada penambahbaikan negara kita.

Ilmu bernegara adalah ilmu yang mengajak mahasiswa belajar cara hidup bermasyarakat. Maka nilai ambil berat dan prihatin sepatutnya wajib ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa akan menjadi masyarakat yang tahu, sedar dan peduli dengan apa-apa yang berlaku sekeliling mereka. Ilmu membina negara pula akan mengajak mahasiswa untuk berfikir dan merealisasikan solusi terbaik terhadap masalah yang mereka kesani daripada pemerhatian dan kajian. Dengan satu matlamat akhir, sebuah negara yang lebih baik untuk masyarakatnya!

Dua ilmu inilah yang akan mengembalikan nilai manusia dalam diri seorang mahasiswa!

Gambar kredit: Huffington Post

Most Popular

To Top